Google+ Followers

Monday, 7 January 2013

Astacanggih jadi konduit bagi tutup mulut Deepak

Venue : Ibupejabat PKR, Merchant Square, Damansara, Selangor

Event : Sidang media Rafizi Ramli

Date : 7/1/2013 @ 11.30 am


1.
 2.



BAYARAN RM160 JUTA DANA PENCEN ANGKATAN TENTERA KEPADA ASTACANGGIH & AWAN MEGAH TIADA ASAS

Kenyataan Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Tan Sri Dato’ Sri Mohd Anwar Mohd Nor bahawa urusan pembelian Astacanggih dan Awan Megah oleh Boustead Holdings Berhad (“Boustead”) merupakan satu pelaburan yang baik adalah tidak masuk akal.

Sekiranya LTAT benar-benar berminat untuk mengambilalih syarikat ini, ada dua perkara penting yang perlu dipertimbangkan dalam menentukan nilaian syarikat-syarikat ini, iaitu:

1.      Tanah yang dimiliki oleh Awan Megah yang menentukan bayaran kepada Awan Megah. Nilaian yang dibuat oleh Boustead adalah RM130 juta kononnya untuk membeli tanah 223 ekar yang didakwa milik Awan Megah
2.      Nilai projek penswastaan dan keuntungan yang bakal diperolehi dari projek penswastaan Puspahanas. Nilaian yang dibuat oleh Boustead adalah RM30 juta untuk membeli saham Astacanggih dan RM130 juta kepada Awan Megah

Saya telah meneliti dokumen-dokumen yang diserahkan kepada saya untuk menentukan nilaian yang adil bagi urusan ini, jika LTAT dan Boustead benar-benar berminat mengambilalih syarikat ini berdasarkan pertimbangan komersil.

NILAIAN TANAH 223 EKAR

Saya merujuk kepada surat bertarikh 17 Julai 2009 dari Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan) kepada Pengarah Tanah dan Galian Negeri Selangor yang dilampirkan bersama.

Kandungan surat tersebut menyatakan rayuan Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak kepada keputusan Kerajaan Selangor yang menolak permohonan Kerajaan Persekutuan untuk memindahmilik tanah seluas 223 ekar kepada Awan Megah.

Ini bermakna, tanah seluas 223 ekar yang kononnya dibeli oleh Boustead itu masih lagi hakmilik Kerajaan Persekutuan dan tertakluk kepada kebenaran Kerajaan Selangor bagi kelulusan pindahmilik dan kelulusan pelan pembangunan.

Status terkini tanah 223 ekar itu adalah jelas: ia bukan hakmilik Awan Megah dan Kerajaan Selangor telah menetapkan bahawa ia tidak boleh dibangunkan kecuali bagi tujuan pembinaan markas, seperti mana tujuan asal tanah itu dipohon oleh Kerajaan Persekutuan dahulu.

Oleh yang demikian, pembayaran RM130 juta oleh anak syarikat Boustead kepada Awan Megah yang dimiliki Raja Ropiah Raja Abdullah, Ketua Wanita Umno Selangor samalah dengan memberi wang RM130 juta kepadanya tanpa ada apa-apa hasil kepada Boustead.

Jika urusniaga ini tetap berlaku, Boustead akan menyalahgunakan RM130 juta dana pencen anggota tentera untuk membayar 223 ekar tanah kepada Awan Megah yang tidak mempunyai hakmilik tanah itu.

PROJEK PENSWASTAAN PUSPAHANAS

Boustead terpaksa menyiapkan Puspahanas yang kini tergendala mengikut perjanjian dengan Astacanggih dan Awan Megah. Salah satu pertimbangan nilaian berjumlah RM160 juta (iaitu RM30 juta kepada Astacanggih dan RM130 juta kepada Awan Megah) adalah kos projek yang telah dilaksanakan oleh Awan Megah.

Tanggungan Awan Megah kepada Kerajaan Persekutuan untuk menyiapkan projek ini boleh dirujuk kepada Perjanjian Penswastaan muka surat 13, Perkara 3.3 mengenai Bon Tanah (“Land Bond”) yang perlu dibayar oleh Awan Megah.

Bon Tanah ini adalah satu bentuk jaminan kewangan yang bersamaan dengan jumlah keseluruhan projek penswastaan, iaitu pembinaan Puspahanas yang perlu dilaksanakan oleh Awan Megah. Sekiranya Awan Megah gagal menyiapkan projek, Kerajaan Persekutuan berhak menuntukan Bon Tanah ini untuk digunakan bagi menyiapkan projek tersebut.

Perjanjian Penswastaan secara jelas menyatakan bahawa Bon Tanah sebagai jaminan Awan Megah untuk menyiapkan Puspahanas hanyalah RM72.5 juta sahaja. Ini bermakna, kos keseluruhan Puspahanas hanyalah RM72.5 juta sahaja.

Dalam keadaan Puspahanas masih belum disiapkan dan nilainya RM72.5 juta sahaja, pembayaran RM160 juta oleh Boustead sudah tentu satu harga yang tidak masuk akal.

Oleh yang demikian, jelas bahawa urusniaga membabitkan RM160 juta ini hanyalah bayaran rasuah oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk menutup mulut Deepak dan memadamkan skandal ini.

Pembayaran sedemikian rupa bagi membeli tanah yang hakmiliknya tidak wujud dan projek yang jumlahnya jauh lebih rendah adalah satu pengkhianatan kepada anggota tentera dan penyelewengan yang melibatkan kepimpinan tertinggi negara.


RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN


No comments:

Post a Comment