Saturday 9 March 2013

BN khuatir kalah mula pindah syarikat untung?

Lokasi : Dewan Keadilan, Merchant Square, Damansara, Selangor

Acara : Sidang Media

Tarikh : 8/3/2013 @ 11.00 am






KENYATAAN MEDIA
8 Mac 2013


HENTIKAN PENSWASTAAN PINTU BELAKANG GLC KEPADA TAN SRI SYED MOKHTAR ALBUKHARY

Saya sertakan surat Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Incorporated atau MKD) bertarikh 30 Ogos 2012 kepada YBhg Datuk Wira Syed Ali Tan Sri Syed Abbas Alhabshee, Pengerusi Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM).

Surat itu menyampaikan keputusan MKD bertarikh 24 Ogos 2012 untuk melupuskan pegangan ekuiti sebanyak 96.8% di dalam CTRM kepada DRB-HICOM Defense Technologies Sdn Bhd, salah satu syarikat yang dikuasai oleh Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

CTRM adalah syarikat Malaysia yang paling terkedepan dalam bidang pembuatan dan teknologi penerbangan (aerospace). Jumlah kontraknya dengan syarikat-syarikat penerbangan danaerospace terkemuka dunia adalah berjumlah RM8.26 bilion di antara tempoh 2012 hingga 2017. Portfolio pelanggannya termasuklah syarikat-syarikat terbesar di dunia seperti Airbus, Eurocopter, Spirit UK dan Goodrich.

CTRM juga adalah salah sebuah syarikat milik kerajaan yang mempamerkan prestasi kewangan yang membanggakan, dengan keuntungan di peringkat kumpulan berjumlah RM13 juta (2010) dan RM11 juta (2011). Perolehan kumpulan CTRM juga meningkat dari RM256 juta (2010) kepada RM293 juta (2011).

Prestasi yang baik ini telah dipamerkan secara konsisten sejak lima tahun yang lalu.

Saya telah meneliti dokumen-dokumen yang diserahkan kepada saya oleh whistleblowers dan berpuas hati bahawa cubaan untuk menswastakan CTRM kepada Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary ini dibuat dengan melanggar prosedur dan mengenepikan kebajikan kakitangan CTRM.

Saya khuatir ini juga sebahagian daripada proses pelupusan syarikat-syarikat milik kerajaan yang berprestasi baik (dengan kontrak yang dijamin dalam tempoh yang panjang di masa hadapan) kepada kroni sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya kelak. Jika ini berterusan, banyak syarikat-syarikat yang berprestasi dan mempunyai aset besar dipindahmilik tanpa pengetahuan awam.

Sewajarnya sebarang proses penswastaan syarikat milik kerajaan perlu melalui proses tender terbuka dan mengambil kira pandangan pengurusan dan pekerja, lebih-lebih lagi yang melibatkan CTRM kerana ia dibina di atas keringat tenaga kerja professional tempatan yang bertungkus lumus menaikkan imejnya selama ini.

Saya mendesak supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Kewangan menghentikan penjualan ini serta-merta. Saya juga melontarkan cabaran kepada Ketua Pemuda Umno, Saudara Khairy Jamaluddin untuk berani bersuara membela nasib kakitangan professional CTRM yang rata-ratanya professional Bumiputra dengan turut sama mendesak supaya urusniaga ini dihentikan.



RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI

8 MAC 2013 

3 comments:

  1. Ini org mmg betul2 lembu.

    ReplyDelete
  2. Syed Mokhtar jugak yang kena hentam..

    ReplyDelete
  3. Takpe, suruh Lim Guang Eng amik plak.

    ReplyDelete