Google+ Followers

Friday, 19 April 2013

Dr Hasan Ali sah tidak sertai PRU 13


File pic.
PENYERTAAN DALAM PRU 13


Persoalan-persoalan mengenai penyertaan saya di dalam PRU 13 menjadi tanda tanya kepada teman-teman politik dan sahabat-sahabat sekerjaya serta anggota masyarakat. Pejabat saya dan saya sendiri dihujani dengan panggilan telefon, mesej pesanan ringkas dan email untuk mengetahui posisi yang saya ambil berkaitan dengan perkara tersebut.

Saya akui ada menerima tawaran untuk bertanding dalam PRU ke 13 dengan cadangan ditempatkan dikawasan-kawasan dijangkakan boleh memberikan kemenangan kepada saya. Saya berterimakasih dan menghargai harapan dan kepercayaan pimpinan Umno/Barisan Nasional terhadap saya. Namun setelah berbincang dan menerima pendapat dan pandangan daripada berbagai pihak dan ditambah pula dengan peluang yang dibukakan oleh Allah untuk saya terlibat langsung di dalam 3 pilihanraya umum sebelum ini, maka saya dengan segala rendah diri  mengambil keputusan untuk tidak bertanding di dalam PRU ke 13 ini.

Saya merasakan lebih selesa bersama dengan JATI untuk berusaha terus melonjakkan keberlangsungan Islam, bangsa Melayu dan Institusi Raja di negara ini. Cabaran yang semakin getir yang bakal dilalui  dalam mengagungkan Islam dan memartabatkan Melayu, memerlukan gabungan NGO yang padu dan mantap serta mempunyai daya tahan dan daya juang untuk membentengi sebarang percubaan untuk menidakkan Islam dan Melayu di negara ini.

Saya dan teman-teman di JATI telah membuat ikrar untuk terus berjihad untuk tidak melihat Islam dan Melayu diinjak-injak di bumi bertuah ini.

Saya dan rakan-rakan dalam JATI berserta dengan NGO-NGO Islam akan menggerakkan seluruh kekuatan yang boleh dijana untuk menentukan UMNO/BN terus berkuasa termasuk merampas semula negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat dalam PRU ke 13 ini.

Seperti yang telah diumumkan, sokongan kepada UMNO/BN selain daripada bertepatan dengan kaedah usul fiqh, sokongan JATI yang tidak berbelah bagi tersebut adalah untuk melihat pimpinan UMNO yang ada sekarang  diberi kekuatan oleh Allah dan berikutan dengan itu bersunguh-sungguh untuk menjadikan Islam sebagai landasan kepada pembangunan negara yang bakal diredhai oleh Allah SWT.

Harapan saya dengan kenyataan ringkas ini dapat meredakan sebarang spekulasi, khabar angin dan prasangka yang akhirnya tidak membuahkan sesuatu yang berfaedah. Sebaliknya segala kekuatan yang ada hendaklah ditumpukan kepada usaha meraih kemenangan kepada UMNO/BN sebagai langkah mengelakkan malapetaka yang mungkin boleh menimpa rakyat negara ini sekiranya Pakatan Rakyat diizinkan mentadbir negara ini.


DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
Tmn Tun Dr Ismail, KL
19 APRIL 2013