Google+ Followers

Wednesday, 31 July 2013

DBKL tidak pilih kasih dalam memberi bantuan

Lokasi : Kg Pasir Baru, Jalan Kelang Lama, Kuala Lumpur

Acara : Lawatan ke lokasi kebakaran dan pemberian saguhati oleh Menteri Wilayah Persekutuan

Tarikh : 30/7/2013 @ 10.00 am




Mangsa kebakaran Kg. Pasir Baru ditawar rumah PPR

KUALA LUMPUR 30 Julai - Nasib enam sekeluarga yang tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran yang memusnahkan rumah mereka di Kampung Pasir Baru, Pantai Dalam di sini semalam mendapat pembelaan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tampil menawarkan rumah sewa menerusi Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Bukit Jalil dan Taman Muhibbah, Puchong di samping menghulurkan bantuan RM300 untuk setiap keluarga.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio-Ekonomi DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Aziz berkata, bagaimanapun mereka belum membuat keputusan walaupun surat tawaran bagi menduduki PPR Bukit Jalil telahpun siap untuk mereka berpindah.

"Kita berharap kesemua mangsa akan dapat berpindah segera kerana kawasan perumahan setinggan ini sebenarnya adalah tanah rizab yang mana ia akan dipagarkan selepas dibersihkan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas melawat kesemua mangsa dan meninjau lokasi kebakaran bersama Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang turut menghulurkan bantuan peribadi RM500 untuk setiap keluarga.

Dalam pada itu, Tengku Adnan memberitahu media, pihaknya bersama DBKL akan turut membantu mencari tapak perniagaan bagi mangsa yang berniaga kecil-kecilan selain membantu proses pemindahan kesemua mangsa ke rumah sewa yang ditawarkan.

Kejadian kebakaran yang berlaku pukul 8 pagi semalam melibatkan 35 penghuni yang menduduki perumahan setinggan itu sejak 30 tahun lalu.

Sementara itu, mangsa Heriah Mat Nasir, 67 tahun, yang tinggal sementara di Dewan Rukun Tetangga kampung berkenaan bersama keluarganya berkata, beliau sedih kerana tidak dapat menyelamatkan harta benda seperti dokumen peribadi termasuk wang perniagaan anaknya yang berjumlah RM4,000.

Bagaimanapun, Heriah tetap bersyukur kerana kesemua ahli keluarganya selamat dan hanya cedera ringan dalam kejadian itu.

"Saya juga berterima kepada kerajaan khasnya DBKL dan Datuk Seri Tengku Adnan kerana sanggup datang melawat kami memberi bantuan kewangan dan menawarkan rumah sewa bagi meringankan beban menyambut Aidilfitri nanti," katanya.

Mangsa Ahmad Hariri Baharuddin, 48 tahun, pula berkata, beliau gembira kerana walaupun Pantai Dalam adalah kawasan dipimpin pakatan pembangkang namun keprihatinan pemimpin kerajaan terhadap rakyat tanpa mengira fahaman politik amat dihargai.

"Saya juga berasa lega apabila diberitahu oleh Tengku Adnan bahawa ruang perniagaan untuk saya akan diusahakan kerana faham masalah saya yang perlu menyara keluarga," katanya. - BERNAMA

1
 2
 3
 4
 5
 6
 7
 8
 9
 10