Google+ Followers

Friday, 13 December 2013

Mat Sabu dijemput saman Zahid



Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha membanteras penularan fahaman Syiah di negara ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuk parti-parti politik.

Beliau berkata jika tidak dibendung, fahaman itu boleh memecahbelahkan umat Islam di negara ini dan seterusnya mencetuskan perang saudara seperti yang telah berlaku di beberapa negara Timur Tengah.

"Saya tidak fikir kita mahu itu berlaku. Atas kesedaran ini, kita tekankan soal banteras dahulu sebelum ia terus tersebar luas.

"Bukanlah untuk menakut-nakutkan umat Islam di negara ini tetapi kita mahu menekankan kepentingan mengelak perpecahan ummah khususnya dari dalam," katanya kepada Bernama selepas ditemu bual dalam program "Ruang Bicara" terbitan BernamaTV di Wisma Bernama di Kuala Lumpur, malam tadi.

Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden Umno berkata terdapat 18 markas Syiah di Malaysia dengan lebih 300,000 pengikut. 

"Kita khuatir jumlah ini akan terus meningkat jika tidak ditangani," katanya sambil menjelaskan penularan fahaman Syiah di negara ini masih terkawal.

Beliau berkata ini adalah perjuangan umat Islam secara keseluruhannya dan mengajak semua pihak termasuk PAS untuk tampil bersama menjayakannya.

Terdahulu, ketika ditemu bual dalam program itu, Ahmad Zahid berkata beliau terbuka jika Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mahu mengambil tindakan undang-undang terhadapnya kerana mengeluarkan kenyataan mendakwanya terlibat ajaran Syiah pada Perhimpunan Agung Umno 2013 minggu lepas.

"Kalau nak saman, saya terbuka. Jika mahu bukti, biar serahkan pada mahkamah dan pegawai-pegawai saya, tentu ada bukti yang cukup untuk dikemukakan. Silakan," katanya.

Beliau berkata pendedahannya itu bukan bermotif politik sebaliknya atas soal individu.

Semalam, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi menyatakan bahawa Mohamad cenderung dan terlibat dengan fahaman Syiah di Malaysia berdasarkan 10 maklumat yang diterima kementerian.

-Bernama