Monday 3 November 2014

Obama sokong pentadbiran Najib Razak

Lokasi : Perkarangan Perpustakaan Kuala Lumpur, Dataran Merdeka, KL

Acara : Perasmian Program Sarapan Rakyat 1Malaysia

Tarikh : 2/11/2014


Obama Sokong Pentadbiran Najib - Tengku Adnan


KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Tindakan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama yang mengambil sikap berdiam diri dan tidak mengkritik kerajaan Malaysia menunjukkan beliau menyokong pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Obama sebenarnya menghormati keputusan Najib dalam mencorak kepimpinan negara.

Katanya walaupun sikap Obama itu dikritik akhbar berpengaruh The Washington Post semalam, beliau tidak memberi sebarang reaksi kerana tidak mahu mencampuri urusan kepimpinan Najib.

"Malah Obama, dia sokong apa juga tindakan yang dilakukan oleh Najib. Pembangkang akan kata macam-macamlah, nak memburukkan negara kita di luar negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Sarapan Pagi 1Malaysia yang bertema Bersama Meraikan Kepelbagaian anjuran Wanita Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan di sini, pada Ahad.

Tengku Adnan berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar The Washington Post semalam yang menggesa Obama berpegang kepada janjinya mempertahankan demokrasi dan mengaitkan Malaysia sebagai negara yang perlu ditegur kerana kononnya melancarkan tindakan luar biasa keras terhadap pemimpin pembangkang, ahli akademik dan wartawan dalam dua bulan lepas.

"Saya berterima kasih kepada Presiden Obama yang telah mengeluarkan satu kenyataan di mana dia bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh Najib sebagai seorang pemimpin dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan agama, dengan konsep wasatiyyah beliau dan juga segala apa yang dilakukan untuk kebaikan Malaysia," katanya.

-- BERNAMA







No comments:

Post a Comment