Google+ Followers

Monday, 1 June 2015

Wanita yang berniaga mendapat komitmen Perdana Menteri

Lokasi : LG Concourse, Berjaya Times Square, Kuala Lumpur

Acara : Majlis Perasmian Pasarnita

Tarikh : 31/5/2015


Kerajaan Komited Bantu Wanita Berjaya Dalam Bidang Keusahawanan - Najib


KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Kerajaan akan terus membantu dan membimbing golongan wanita negara ini untuk berjaya dalam bidang keusahawanan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata komitmen kerajaan itu telah diterjemahkan melalui pelbagai polisi pembangunan negara seperti dalam Bajet 2015 dan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang dibentangkan di Parlimen pada 21 Mei lepas.

Katanya, antara sasaran dalam memartabatkan wanita dalam ekonomi ialah memastikan penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan dalam bidang korporat mencapai 30 peratus, dan di sektor awam, wanita yang berpangkat Jusa C ke atas telah melepasi 35 peratus.

"Kita akan terus bantu wanita kerana wanita penting untuk masa depan negara kita," katanya semasa merasmikan Pasarnita di sebuah pusat beli-belah terkenal di sini, hari ini.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Najib, yang menyifatkan usahawan wanita sebagai golongan yang tekun dan beramanah, dan untuk itu bimbingan dan galakan harus diberikan bagi melonjakkan mereka ke kejayaan yang lebih tinggi.

Beliau juga turut menggesa usahawan wanita untuk mengoptima kecanggihan kemudahan teknologi maklumat untuk memajukan perniagaan mereka, termasuk menebusi pasaran di luar negara.

Mengambil contoh seorang usahawan rumpai air wanita di Semporna, Sabah yang sebelum ini hanya menperoleh beberapa ratus ringgit sebulan, tetapi kini mampu meraih RM30,000 sebulan setelah memasarkan produknya dalam talian, katanya.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan tapak kekal khusus untuk usahawan Pasarnita berniaga yang akan terletak di tempat letak kereta Bukit Nenas di Jalan Ampang di sini.

Tapak itu akan menyediakan platform kepada golongan usahawan wanita bagi mempamer dan menjual produk-produk mereka, di samping melebarkan jaringan perniagaan masing-masing.

"Ini merupakan tapak pertama dan banyak lagi tempat seperti 'foodcourts' (medan selera) dapat disediakan sebagai tempat untuk wanita berniaga.

"Malah saya dapat bayangkan stesyen MRT bila siap nanti, kita akan sediakan tempat. Malah terminal rel berkelajuan tinggi pun, mesti ada sudut untuk wanita berniaga.

"Inilah harapan saya supaya kita boleh bantu wanita berjaya," katanya.

Pada majlis tersebut, Najib turut menyaksikan upacara menandatangani memorandum persefahaman antara wakil Pasarnita dan Persekutuan Rantaian Runcit Francais (ARFF) ASEAN dengan Pasarnita yang diwakili pengerusinya, Datin Paduka Datuk Nor Hayati Tan Sri Onn dan wakil persekutuan itu, Prof Datuk Dr Jayles Yeoh.

Selain itu, beberapa wakil Pasarnita juga turut menandatangani memorandum persefahaman dengan Global Network Sdn. Bhd., CNL Global Network Sdn. Bhd., dan Malaysia South Asia Chamber of Commerce.

Pasarnita merupakan inisiatif Pejabat Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Iktisas Wanita (KIW) dan diwujudkan tahun lepas bagi menyediakan platform untuk membantu melahirkan lebih banyak usahawan wanita.

Pada mulanya, Pasarnita menggunakan konsep 'car boot sale' di mana para usahawan hanya perlu menggunakan kenderaan mereka untuk mempamerkan hasil jualan.

Selepas mendapat sambutan menggalakkan, penganjur membuat keputusan untuk menjadikan pusat-pusat beli-belah terkemuka sebagai tempat sementara tapak perniagaan.

Antara barang-barang yang sering menjadi bahan jualan ialah produk kecantikan, pakaian, barang perhiasan, hinggalah ke produk makanan seperti kuih-muih.

Pasarnita kali ini, diadakan di pusat beli-belah Berjaya Times Square di sini selama tiga hari berakhir hari ini.

-- BERNAMA

1
 2
 3
 4
 5
 6
 7
 8
 9
 10

11
 12
 13
 14
 15
 16
 17
 18
 19
 20
 21
 22
 23
 24
 25
 26
 27
 28
 29
 30
 31
 32
 33
 34
 35
 36
 37
 38
 39
 40
 41
 42