Friday 1 January 2016

1MDB berjaya jual 60% ekuiti dalam Projek Bandar Malaysia

Lokasi : Bilek Taming Sari 3, The Royale Chulan, KL

Acara : Majlis perjanjian jual beli saham dalam Projek Bandar Malaysia

Tarikh : 31/12/2015



1Malaysia Development Berhad Group (“1MDB”) hari ini melaksanakan Perjanjian Jual Beli Saham dengan menjual 60% ekuiti Bandar Malaysia Sdn Bhd (“BMSB”) kepada Konsortium Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (“IWH”) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC).

Konsortium yang dikenali sebagai IWH-CREC Sdn Bhd adalah hasil usahasama 60:40 antara IWH dan CREC. IWH, pemaju utama bagi bahagian Flagship A Koridor Pertumbuhan Ekonomi Malaysia Iskandar, adalah perkongsian awam-swasta antara Credence Resources Sdn Bhd (60%) dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (40%) yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri Johor. Buat masa ini, IWH memiliki sejumlah 4,300 ekar tanah tepi laut yang bernilai tinggi di Iskandar Malaysia.

CREC adalah salah satu daripada firma kejuruteraan dan pembinaan yang terbesar di dunia, dan turut mempunyai perniagaan yang antaranya termasuk industri pengilangan, pembangunan hartanah, sumber asli dan bahan mineral. Ia kini menduduki di tangga 71 dalam Fortune 500 dengan perolehan melebihi US$100 bilion setahun.

Konsortium IWH-CREC Consortium telah menilai penuh 100% tanah Bandar Malaysia pada RM12.35 bilion. Nilai bersamaan 60% tanah adalah RM7.41 bilion. 1MDB akan menerima deposit 10% atau RM741 juta apabila melaksanakan Perjanjian Jual Beli Saham. Urusniaga ini dijangka lengkap menjelang hujung Jun 2016.

Perjanjian Jual Beli Saham adalah hasil dari Permintaan untuk Saranan (RFP) yang dilancarkan pada Jun 2015 oleh penasihat urus niaga, CH Williams Talhar & Wong (“WTW”). WTW menerima 40 pernyataan minat daripada pelabur dalam dan luar negara, termasuk dari Singapura, China, Jepun, Korea dan Australia. Empat pembida telah disenarai pendek pada September 2015 dengan dua tawaran akhir, terikat dan diterima pembiayaian pada 9 November 2015.

Perjanjian hari ini menandakan kejayaan besar terakhir dalam rancangan rasionalisasi 1MDB seperti yang dikemukakan kepada Kabinet Malaysia pada 29 Mei 2015, susulan dari perlaksanaan Lembaran Jangka Mengikat dengan IPIC pada Jun 2015 dan Perjanjian Jual Beli Saham dengan Kumpulan CGN pada November 2015.

Arul Kanda, Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB berkata: “Kami berbesar hati dengan hasil yang muncul dari sebuah proses yang ketat, sangat berdaya saing dan menambah nilai. Malah, ia telah melangkau jangkaan kami. Konsortium ini adalah rakan pembangunan yang amat menarik untuk Bandar Malaysia dan bidaan mereka selaras dengan objektif yang digariskan dalam RFP, iaitu memaksimumkan nilai, terma perdagangan yang boleh pakai dan kepastian dalam perlaksanaan urus niaga. Hasil daripada jualan ini, 76% daripada Bandar Malaysia akan dimiliki oleh entiti Malaysia, yang mana kira-kira 54%  daripada projek tersebut dimiliki oleh Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Johor, masing-masing melalui 1MDB/MOF Inc dan KPRJ. Kemasukan CREC sebagai rakan kongsi antarabangsa dengan ekuiti projek sebanyak 24% mewakili Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang besar dan bukti kukuh akan kekuatan dan tarikan ekonomi Malaysia dalam meyusun langkah ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi.”

Tan Sri Dato’ Lim Kang Hoo, Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan IWH:  “Penyertaan IWH dalam urus niaga ini sejajar dengan peranan kami sebagai pemaju induk utama di Malaysia. Keupayaan IWH dalam mempelopori projek sebesar ini telah terbukti dan ia juga berdasarkan falsafah kami untuk bekerja dalam usahasama, kerjasama dan rundingan dengan semua pihak berkepentingan. Penglibatan IWH dalam projek Bandar Malaysia mewujudkan titik perhubungan yang penting, khususnya mewujudkan pautan yang penting bagi projek Rel Berkelajuan Tinggi dan pembangunan lain yang sedang berjalan di Iskandar Malaysia. Kami berasa bangga kerana dipilih untuk projek ini dan berharap untuk bekerjasama rapat dengan 1MDB/MOF Inc. dalam melaksanakan projek Bandar Malaysia.”

Mr Yao Guiqing, Pengurus Besar China Railway Engineering Corporation dan Pengarah  Urusan China Railway Group Limited, berkata: “Penyertaan CREC sebagai rakan kongsi Konsortium adalah berdasarkan keyakinan kami dalam ekonomi Malaysia, kekuatan kepimpinan, perundangan dan peraturan yang berkualiti tinggi dan yang paling utama, ciri-ciri unik Bandar Malaysia yang diilhamkan oleh 1MDB dan sebagai satu projek pembangunan strategik untuk Kerajaan Malaysia. CREC menyifatkan pelaburan kami di Malaysia adalah sebahagian yang penting dalam portfolio global kami. Khususnya, kami memiliki kepakaran global dalam perancangan induk dan pembinaan yang berorientasikan pengangkutan. Kami berharap untuk memindahkan teknologi, berkongsi pengetahuan dan bekerja rapat bersama-sama rakan Malaysia kami dalam merealisasikan pembangunan Bandar Malaysia sebagai destinasi kebanggan yang bertaraf dunia.”

Pembangunan Bandar Malaysia menerima Kebenaran Merancang dari pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada Oktober 2015. “Kebenaran bersyarat” yang diberi berdasarkan pelan induk Bandar Malaysia adalah untuk pembangunan bercampur pada purata nisbah plot kasar 4.05, melangkau keseluruhan tapak seluas 486 ekar di Sungai Besi.

Tapak strategik yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari Pusat Bandar Kuala Lumpur (KLCC) bakal meletak Bandar Malaysia sebagai gerbang masuk Kuala Lumpur untuk keretapi berkelajuan tinggi (HSR) yang menuju ke Singapura dan menjadi hab pengangkutan utama dalam bandar melalui laluan MRT 2 dan 3 serta KTM dan ERL.

Rancangan lanjut oleh pihak kerajaan turut dianjurkan bagi meningkat dan menyediakan jaringan lebuh raya baru dari pusat bandar ke kawasan selatan yang bakal menghubungkan Bandar Malaysia ke kawasan-kawasan lain di “Greater Kuala Lumpur” dengan lancar.

Bandar Malaysia akan menjadi pembangunan bandar bercampur yang dijangka memangkinkan transformasi “Greater Kuala Lumpur”. Pelan induk tersebut termasuk rangka tindakan untuk mewujudkan kehidupan di bandar yang berkualiti, menyediakan hab perniagaan global dan perusahaan kreatif, dan menjadi destinasi peruncitan, gaya hidup dan pelancongan yang menarik.
Bandar Malaysia, yang akan dibangunkan dalam tempoh 15-25 tahun pada unjuran Nilai Pembangunan Kasar sebanyak RM150 bilion, dibina sebagai mercu tanda antarabangsa Malaysia yang baru apabila siap kelak.


1
Duta China ke Malaysia Dr Huang Hui Kang (kiri) meninggalkan majlis selepas Perjanjian Jual Beli ditandatangani
 2
 3
Pengarah Urusan China Railway Engineering Corporation (M) Sdb Bhd, Cai Zemin (kiri)
 4
Pengarah Eksekutif 1, MDBArul Kanda & Tan Sri Lim Kang Hoo, Naib Pengerusi Eksekutif  Iskandar Waterfront Holdings
 5
 6
 7
 8
 9
Arul Kanda bersalaman dengan Ma Li , Naib Presiden Kumpulan China Railway Limited
 10
 11
Add caption



3 comments:

  1. Senang kan,rugi je jual,cover hutang.Seronok bisnes mcm ni.Habis harta.

    ReplyDelete
  2. Apa yang penting untuk disebut adalah 60% tanah Bandar Malaysia telah diJUAL kepada syarikat luar dan hasil jualannya satu sen pun tidak akan dinikmati oleh kerajaan atau rakyat kerana semuanya akan digunakan buat bayar hutang. SAMA seperti kes 1MDB jual Edra kepada syarikat dari negara China.

    Hasilnya sudah terlebih dahulu dinikmati oleh beberapa pihak berkepentingan dalam 1MDB sebelum ini. Apa yang berlaku sekarang adalah bab membayar balik tanggungan yang ditinggalkan.

    Kalau dalam kes Edra hari tu, mungkin boleh didebatkan apakah ada untung atau rugi disebalik penjualan aset negara itu kepada pihak luar. Beli 12 bil, jual 10 bil ..... 2 bil lagi susutnilai la, dividen pun sama nilai la  bla bla bla ........

    Tapi dalam kes Bandar Malaysia ini, 1MDB cuma bayar RM363 juta untuk keseluruhan tanah, maknanya kos 60% Bandar Malaysia yang dijual semalam cuma RM218 juta.

    Beli RM218 juta dan dijual pada RM7.41 bil ..... hampir 100% hasil jualan merupakan untung bersih !!! 34 kali ganda !

    Peeeergh ! Memang hebat Arul Kanda ! 

    Tapi ...... bila 1MDB terpaksa gunakan kesemua untung itu untuk bayar hutang, tidakkah itu bermakna kesemua amaun itu merupakan satu keRUGIan kepada 1MDB ?

    Saya ulang balik ya, beli Edra secara hutang..... jual Edra dan hasil jualan buat bayar hutang. So settle bab IPP .......

    Dapat tanah hampir FREE ........  jual tanah dan hasil jualan buat bayar hutang juga ..... hutang beli apa ? RM7.41 bilion tuh !

    Tanah milik negara, milik rakyat Malaysia ..... dijual dan hasil jualannya untuk bayar hutang apa ?

    Rakyat Malaysia berhak tahu. Tidakkah itu BUKTI bahawa 1MDB sememangnya telah RUGI BESAR ? RM7.41 bilion.

    Rancangan pertukaran aset dengan IPIC sebanyak RM16 bilion pula ....... apakah aset yang mahu digadaikan kepada IPIC yang bernilai RM16 bilion itu ?

    Apakah tanah TRX pula yang bakal menjadi mangsa ? 

    Jadi disebalik kegembiraan Najib, Arul Kanda dan cai2 Najib di atas kejayaan Plan Rasionalisasi Hutang 1MDB, perlu diingatkan bahawa apa yang berlaku sebenarnya adalah -

    Negara ketika ini sedang bayar hutang apa yang SUDAH dinikmati oleh sesetengah pihak melalui 1MDB !

    Umpama bini dan anak tiri yang telah berjoli sakan menggunakan kad kredit sisuami. Kini bank sudah bekukan kad kredit kerana terlebih belanja dengan banyak dan sedang kejar sisuami untuk bayar hutang2. Sisuami pula pecah kepala menjual segala harta benda yang dimilikinya untuk bayar hutang kad2 kredit itu ......

    Apakah sisuami harus bersorak gembira dengan penuh kebanggaan bila berjaya jual hartanya demi bayar sebahagian besar hutang2 bank itu ?

    Samalah dengan kerajaan dan rakyat Malaysia ..... apakah perlu kita bangga dengan Plan Rasionalisasi Hutang 1MDB itu ? Ia seharusnya menjadi satu perkara yang menyedihkan kita  ...... 1MDB ini langsung tidak menguntungkan kita sebagai rakyat Malaysia ! 

    Malah membebankan rakyat bila terpaksa dijual harta negara demi menanggung hutang 1MDB ...... hutang yang diterjemahkan sebagai keuntungan oleh pihak yang telah mengaut keuntungan melalui 1MDB sebelum ini.

    Seharusnya selepas ini, kita kaji kenapa yang 1MDB boleh rugi berbilion ringgit. Apakah mereka yang bertanggungjawab dalam 1MDB sudah melakukan segalanya yang patut mengikut SOP yang sedia termaktub sebelum membuat sebarang keputusan yang melibatkan kewangan ?

    Siapakah mereka yang bertanggungjawab itu ?

    Itulah yang kita duk bising selama ini ...... itulah masalah 1MDB yang harus diselesaikan. 

    Selagi tidak terjawab semuanya, selagi itu masalah 1MDB belum selesai ....... harap Najib faham perkara ini.

    ReplyDelete
  3. salam.
    memang lah rugi. 1mdb ini tak berjaya dalam perniagaan ali baba nya. sepatutnya di isytiharkan muflis kan. sebab itu arul kanda yang buat semua ini. dia sedang menjalankan 1mdb yang dah muflis. itu kan kerja dia. kalau dah di isytiharkan muflis, perdana menteri malaysia ke enam yang jahanam tu, sepatutnya mengambil tanggungjawab meletak jawatan. jangan buat muka tak malu pecat tpm, pecat ag dan sekarang ni sibuk nak pecat tan sri abu kassim pula. memang bahalol betul orang orang yang menjadi lembaga disiplin umno, mt umno dan perwakilan umno. kalau mereka dah gertak najib hari itu, nasib kita tak seteruk ini di tadbir oleh seorang yang sudah muflis.
    terima kasih.

    ReplyDelete