Google+ Followers

Friday, 26 February 2016

Rosmah Mansor rasmi Hari Kraf Kebangsaan 2016

Acara : Perasmian Hari Kraf Kebangsaan 2016

Lokasi: Panggung Sari, Pusat Kraftangan, Jalan Conlay, Kuala Lumpur

Tarikh : 25/2/2016



GLC, Pihak Swasta Digalak Pakai Batik Setiap Khamis - Rosmah


KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor menyarankan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta supaya menggalakkan pekerja mereka memakai batik pada setiap Khamis, dalam usaha menggalakkan industri batik negara.

Beliau berkata pemakaian produk batik oleh penjawat awam pada setiap Khamis ketika ini, telah membantu meningkatkan jualan batik dan memperluaskan permintaan terhadap industri produk itu.

"Kini, terdapat 462 GLC dengan anggaran kakitangan mencecah 100,000 orang. Cuba bayangkan berapa banyak permintaan yang akan diwujudkan ke atas produk batik," katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Kraf Kebangsaan 2016 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur di sini, Khamis.

Beliau juga memuji inisiatif Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan) mengawal kualiti pengeluaran batik menerusi pengenalan Standard Malaysia MS692:2007, yang menjadikan produk kraf itu paling popular.

Sehingga kini, seramai 51 usahawan kraf batik menerima sijil pengiktirafan standard kualiti batik dan mematuhi piawaian yang ditetapkan, katanya.

"Pengiktirafan ini akan menjadi tanda aras terpenting terhadap mutu produk batik yang dihasilkan dan seterusnya memberi keyakinan kepada pembeli bahawa produk batik Malaysia dihasilkan melalui proses pengeluaran yang bermutu tinggi," kata beliau.

Sementara itu, Rosmah berkata produk kraf menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila mencatat hasil jualan berjumlah RM505.4 juta pada tahun lepas berbanding RM94.5 juta pada 2009.

Menurutnya peningkatan hasil jualan sebanyak 36 peratus setiap tahun itu melibatkan 5,130 usahawan kraf berbanding 1,003 pada 2009.

Beliau juga menyarankan usahawan kraf meningkatkan strategi pemasaran dengan melaksanakan promosi secara maya menggunakan teknologi pintar melalui jualan dalam talian seperti Zalora, Lazada, Fashion Valet dan MySale.

"Kini, pengguna lebih menggemari informasi di hujung jari termasuk pembelian produk secara dalam talian," katanya sambil memberitahu beliau sendiri mempromosikan batik dan songket Malaysia di negara-negara ikon fesyen seperti di Paris dan Ekspo Dunia Milano di Itali.

Terdahulu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata pihaknya menyasarkan jualan sebanyak RM25 juta pada Hari Kraf 

Kebangsaan 2016 yang berlangsung selama 12 hari bermula semalam.

Beliau yakin sasaran itu dapat dicapai berdasarkan perolehan nilai jualan tahun lepas sebanyak RM20.3 juta, yang menyaksikan produk kraf bagi kategori hasil tanah penyumbang utama nilai jualan iaitu sebanyak RM8.7 juta atau 43 peratus.

Hari Kraf Kebangsaan 2016 yang bertema 'Natif ke Kreatif' disertai 500 pengusaha termasuk dari luar negara seperti Perancis, Rusia, Belgium, Amerika Syarikat dan Pakistan.

Pameran dan jualan barangan kraf itu dibuka dari 10 pagi sehingga 10 malam, yang menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti jualan kraf, pameran dan jualan produk kraf rekaan baharu, demonstrasi dan interaktif kraf, pameran produk kraf warisan, padanan perniagaan, bicara kreatif, demontrasi makanan tradisional, persembahan keseniaan dan peragaan fesyen.


-- BERNAMA



1
2
 3
L-R - Nazri Aziz, Rosmah Mansor dan Nancy Syukri
 4
 5
 6
 7
 8
 9
 10

11
12 
 13
 14
 15
 16
Kiri - kanan - Siti Azizah Abod (Pengerusi Kraftangan Malaysia), Nazri Aziz, Rosmah Mansor, Mas Ermieyati, Abd Ghafar Thambi (Timbalan KSU)
& Hjh Zuraida Mokhtar (Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia)
 17
 18
 19
 20
21