Tuesday 3 May 2016

PRN Sarawak - BN hentikan sogokan untuk menang undi

Acara : Sidang media PKR  mengenai PRN Sarawak

Lokasi : Ibupejabat Keadilan, Merchant Square, PJ

Tarikh : 3/5/2016


RAKYAT SARAWAK BERHAK MENDAPAT KHIDMAT SERTA PEMBANGUNAN BERTERASKAN KEIKHLASAN, BUKAN SELAKU BALAS UNDI SERTA BUDI!

Sekatan masuk ke negeri Sarawak yang dikenakan secara berterusan terhadap pimpinan pusat KEADILAN amat mengecewakan; lebih-lebih lagi apabila dibandingkan dengan layanan istimewa kepada Pengerusi Badan Penasihat 1MDB yang hadir bersebelahan Tan Sri Adenan Satem pada hari pencalonan Pilihanraya Negeri Sarawak yang ke 11 [1].

Pun begitu, halangan bermotif politik sebegini bukanlah menjadi penghalang kepada bantuan bermakna demi memperbaiki kualiti taraf hidup rakyat Sarawak.

Terkini, senarai pimpinan KEADILAN yang terus dihalang termasuklah: YB Tian Chua, YB Rafizi Ramli, YB Zuraida Kamaruddin, YB Sim Tze Tzin, YB Shamsul Iskandar, YB Datuk Mansor Othman, Tuan Syed Ibrahim, YB Dr Afif Baharuddin; lima orang Naib Presiden KEADILAN termasuklah saya dan Datuk Saifuddin Nasution selaku pengarah Pilihan Raya Bersama. Begitu juga pimpinan DAP: YB Tony Pua, YB Teresa Kok, YB Teo Nie Ching, YB Anthony Loke, YB Liew Chin Tong, YB Ngeh Koo Ham. Pimpinan Amanah: Saudara Mohamad Sabu, saudara Sallehuddin Ayub. Hak KEADILAN berpolitik secara sah dalam proses demokrasi dan pilihanraya terus disekat.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Wan Junaidi telah membalas respon KEADILAN tidak memahami perjanjian Malaysia 1963. Sebaliknya, Wan Junaidi dan Tok Nan tidak memahami semangat disebalik perjanjian tersebut [2]. Semangat kita adalah untuk penyatuan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak selaku keluarga besar Malaysia yang selayaknya diberi pengiktirafan dan khidmat pembangunan lestari tanpa kesenjangan seperti sedia ada.

Hakikatnya, agenda KEADILAN adalah dalam membawa perubahan bermakna dalam hidup rakyat Sarawak. Sehingga ke hari ini, ramai yang terus mengharungi masalah akses air dan elektrik akibat 53 tahun pemerintahan di bawah Barisan Nasional. Rakyat dinafikan hak akses jalan yang sempurna dan pemuliharaan tanah adat tidak dipertahankan - sehinggalah ianya dijadikan agenda utama pimpinan KEADILAN pribumi Sarawak.

Natijahnya adalah kelahiran semangat 1963 yang mempamerkan kebersamaan antara kita yang dinamakan projek MYCHANGEMAKERS‪ #‎DemiSarawak‬ yang memperlihatkan sebanyak 200 lampu solar yang berjaya dipasang di hampir 114 buah rumah panjang di sekitar Ba'Kelalan. Bersama dengan saudara Baru Bian calon N.81 dan sukarelawan projek ini dilaksanakan di beberapa buah kampung terpencil di pedalaman Sarawak dengan jarak sejauh 285 kilometer daripada bandar Kuching.

Walau dana pembangunan disalur menerusi agensi kerajaan negeri di bawah momokan tanpa BN tiadanya pembangunan; ternyata yang penting adalah iltizam politik dan kesungguhan ikhlas untuk membantu. Maka jalan berlumpur, bukit yang curam dibasahi hujan yang turun mencurah-curah - adalah sekadar cabaran kecil MYCHANGEMAKERS dalam memperlihatkan perubahan.

Rumah Panjang di Betong antara destinasi bagi projek fasa 1 ini, kami bersama calon KEADILAN Dun N.36 Layar iaitu saudara Vernon Albeit Kedit berjalan kaki sejauh 11.2 km mengharungi 22 bukit, 4 sungai dengan duanya tidak mempunyai jambatan dan di situ kami telah mengenal pasti beberapa masalah di alami oleh penduduk tempatan. Antara yang dilakukan disana ialah pemberian 10 buah lampu solar kepada sebuah rumah panjang.

Bagi projek fasa 2, kami telah mengenal pasti sebuah lokasi kritikal untuk membina jalan perhubungan iaitu sebuah perkampungan rumah panjang iaitu kampung Lempaong, Betong yang sebelum ini tidak mempunyai jalan dan juga tidak mempunyai akses untuk kenderaan masuk malah mereka terpaksa berjalan kaki ke dalam hutan untuk bergerak masuk dan keluar.

Kini MYCHANGEMAKERS berjaya membina sebuah jalan yang kita namakan “JALAN KEADILAN”. Sebuah jalan perhubungan yang selesa dan selamat untuk kegunaan harian penduduk rumah panjang. Jarak jalan yang dibina adalah sejauh 8KM dengan memakan kos sebanyak RM 60,000, kerja pembinaan telah bermula sejak awal tahun 2016.

Pilihanraya atau tidak - menang ataupun tidak - bukan menjadi alasan untuk tidak meneruskan usaha mengubah nasib anak tempatan.

KEADILAN dan MYCHANGEMAKERS mengajak semua rakyat Malaysia menyertai kami dalam usaha memberi khidmat berteraskan keikhlasan bukan bersyarat!

Usaha terkini yang sedang giat dijalankan ialah mengutip sumbangan orang ramai melalui beberapa program seperti derma atas talian, majlis makan malam dan sebagainya. Sumbangan boleh diberikan melalui Bank Hong Leong iaitu PARTI KEADILAN RAKYAT - JPRP, akaun bernombor: 22500010828.


KEADILAN nekad membela nasib rakyat di Sarawak serta komited dalam menyalurkan sebarang keperluan yang diperlukan. Kami komited dalam memastikan suara rakyat Sarawak diwakili dan hak rakyat dilunaskan!

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHANRAYA KEADILAN
YB CHUA TIAN CHANG
AHLI PARLIMEN BATU
NAIB PRESIDEN KEADILAN
ADAM FISTIVAL WILFRID
KOORDINATOR MYCHANGEMAKERS
PENGARAH PILIHANRAYA AMK NEGERI SABAH

1
 2
 3
 4
 5
 6
 7
8



No comments:

Post a Comment