Hadir sama dalam majlis pelancaran tersebut ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Pengerusi Biro IT UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

Buku setebal 100 muka surat itu mengandungi poster-poster infografik yang disebarkan setiap hari melalui media sosial sejak bulan Julai hingga November tahun ini.

Penerbitan buku berkenaan bertujuan memberi penjelasan terhadap sesuatu isu, membela dasar dan program kerajaan Barisan Nasional (BN), mempertahankan fakta sebenar dan menyerang musuh yang menabur fitnah.

Selain pelancaran buku berkenaan, Najib turut menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang Pertandingan Mencipta Laman Web UMNO Bahagian 2016.

Dalam pertandingan yang julung kali dianjurkan Biro IT UMNO itu, laman web UMNO Bahagian Lembah Pantai dinobatkan sebagai johan manakala UMNO Bahagian Subang di tempat kedua dan UMNO Bahagian Putrajaya di tempat ketiga.

Hadir menerima hadiah-hadiah berkenaan adalah Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Zein Isma Ismail dan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya yang juga Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.