Tuesday, 18 February 2014

Seminar Pemikiran Kassim Ahmad - Part 1 - Full text

Lokasi  : Yayasan Kepimpina Perdana, P8, Putrajaya

Acara : Seminar Pemikiran Kassim Ahmad

Tarikh : 16/2/2014




1. Pendahuluan

Hari ini hari istimewa bagi saya. Hari ini saya akan meluahkan isi hati saya tanpa sekata, insya Allah. Hari ini saya akan mempertanggungjawabkan kehidupan saya di dunia. Saya ada satu dua kerja yang ingin saya lakukan, tetapi selepas hari ini, saya reda kalau dipanggil Tuhanku untuk diadili.

Saya tidak mendakwa saya seorang yang baik. Saya melakukan banyak kesilapan dalam kehidupan saya. Saya jangka saya bukan berseorangan. Tidak ada manusia yang sempurna. Hanya Tuhan yang sempurna. Tetapi saya boleh mengatakan saya telah cuba hidup sebagai seorang yang patriot bagi bangsa saya dan bagi bangsa manusia. [1]

Ketika saya seorang muda, saya bersumpah untuk berkata-berkata dengan bebas. [2] Saya bersumpah saya akan mendedahkan segala kepalsuan. [3]

Semua orang tahu saya bermula sebagai seorang remaja berhaluan kiri berjuang untuk rakyat marhaen menentang parti kebangsaan Melayu, UMNO, yang pada waktu itu saya anggap reaksioner, walaupun akhirnya saya pulang ke akar keMelayuan saya dan memasuki UMNO.

Pada 9 September tahun lalu, saya menjengkau 80 tahun tanpa apa-apa perayaan. Hanya sahabat-sahabat saya di Kuala Lumpur, antara lain Dr. Chandra Muzaffar, Sasterawan Negara Dato’ Baha Zain dan Nik Aziz Hassan, telah bermuafakat untuk meraikan harijadi itu dengan satu majlis penilaian kritis terhadap karya-karya saya. Majlis ini dijadualkan pada 15 Februari, 2014. Dalam pada itu, saya telah merancang untuk bercakap dalam satu Konferensi Politik Nasional tentang halatuju negara kita untuk tiga puluh tahun akan datang. Ucapan ini dijadualkan pada hari berikutnya, iaitu 16 Februari, 2014.
Inilah latar belakang majlis harijadi saya yang ke-80.


 2. Keadaan Dunia Sekarang

Negara kita Malaysia sedang melalu satu zaman yang penuh pancaroba. System komunisme sudah runtuh pada akhir abad ke-20. System liberalisme yang kita anuti sekarang juga sedang runtuh di depan mata kita—di Eropah dan Amerika Syarikat.

Keruntuhan system komunisme kerana system ini menafikan hak kebebasan individu. Ia melebihkan hak kolektif, yang dipergunakan oleh kepimpinan untuk melaksanakan sistem dictator! Sistem liberalisme melebihkan hak kebebasan individu dengan menafikan hak kolektif.

Kedua-dua sistem ini melanggar konsep “sempadan Allah”, atau apa yang disalah-ertikan sebagai “hukum hudud”. Konsep ini langsung tidak ada kena-mengena dengan hukuman. Ia merujuk kepada suatu undang-undang universal, iaitu dalam tiap-tiap perbuatan, manusia tidak boleh melampaui batasan undang-undang alamiah. [4] Umpamanya, dalam hal makan: mudarat kalau tidak makan, tetapi kalau kita makan terlalu banyak pun mudarat juga. Demikianlah bagi tiap-tiap perbuatan wujud suatu sempadan yang tidak boleh kita lampaui.


3. Masa Depan

Apa akan berlaku dalam masa 30 tahun akan datang? Apakah sistem ganti yang harus kita pilih sekarang? Mengikut kitap suci yang terakhir kepada manusia iaitu Quran, satu-satunya kitab suci yang dijamin oleh Tuhan sendiri [5], dan yang mengesahkan dan mengatasi semua kitab suci lain, [6] hanya ada satu jalan yang lurus yang Dia restui di antara jalan-jalan yang menyeleweng. Jalan-jalan yang menyeleweng itu disebut jalan-jalan mereka yang Dia murkai, dan jalan-jalan mereka yang sesat.

Apakah jalan yang Dia murkai? Tuhan pasti murkai kumpulan-kumpulan manusia yang memberontak terhadap-Nya. Dalam zaman moden, kumpulan itu kaum marxis komunis yang menafikan Dia serta mengamalkan cara hidup yang menafikan Dia. Dengan perkataan lain, dalam kehidupan mereka, mereka menafikan dimensi-dimensi moral dan spiritual. Oleh kerana ini, cara hidup ini berlawanan dengan undang-undang alamiah, dan pasti musnah. Sistem komunisme sudah pun musnah.

Satu lagi jalan menyeleweng kita panggil sistem teokrasi, yakni kepimpinan satu kasta paderi melantik diri mereka sendiri serta mendakwa mentadbirkan negara atas nama Tuhan. Contohnya dari zaman pertengahan Eropah, sistem Paus. Dalam dunia moden, Eropah sudah menyingkirkan sistem Paus ini, tetapi dalam dunia Islam, negara Iran dan Arab Saudi sedang melaksanakan sistem ini.

Nyatalah sistem ini gagal menyelesaikan masalah-masalah sosio-ekonomi menghasilkan pekerjaan dan makanan untuk rakyatnya dan dengan itu gagal menyelesaikan masalah-masalah lain dalam masyarakat.


4. Negara Malaysia

Negara kita Malaysia, walaupun dikatakan negara Islam, sebenarnya mengamalkan sistem liberalisme. Mengikut kata-kata Kerajaan Pusat, ekonomi Malaysia baik dengan pengangguran sifar dan peratusan inflasi pada tahap minima. Namun kemudian, Malaysia boleh dikatakan tiap-tiap hari menunjukkan ketegangan antara kaum dan agama. Apakah caranya untuk menyelesaikan perkara ini secara muktamad?

Jalan yang lurus yang dirujuk dalam surah Al-Fatihah tadi – apakah jalan itu? Tadi telah kita nyatakan ada tiga jalan yang menyeleweng : sistem marxis komunis, sistem teokrasi dan sistem liberalisme. Seperti yang telah kita nyatakan, ketiga-tiga sistem ini telah atau sedang menuju kehancuran. Maka semestinyalah masyarakat manusia dalam abad-abad ke-21 dan mendatang mencari sistem jalan yang lurus ini. Dengan perkataan ini, inilah sistem hidup yang dirujuk dalam Quran dalam surah 3 ayat 19, yang berbunyi, “Sesungguhnya agama yang Tuhan reda itu Islam”.


5. Keadaan Orang Islam Sekarang

Orang Islam berjumlah 2.1 bilion di seluruh dunia. Bolehkah kita katakan mereka semuanya mengikut cara hidup Islam yang sebenar? Sekiranya benar, umat Islam hari ini harus berada pada kedudukan nombor 1 dalam dunia, seperti yang berlaku dalam sejarah. Sejarah mencatat dalam zaman pertengahan Uthman Ibni Affan, khalifah Islam ke-3, setelah 60 tahun Nabi Muhammad wafat, orang Arab yang tidak terkenal itu melonjak naik menjadi kuasa nombor satu dalam dunia, mengalahkan Empayar Parsi dan sebahagian besar Empayar Baizantium, dua kuasa besar dunia pada zaman itu. [7]
Tetapi umat Islam sekarang duduk di bawah daripada Britain, Perancis, Amerika Syarikat, Rusia, China dan India, semuanya negara bukan Islam.


6. Gerakan Pembaharuan Islam

Gerakan pembaharuan Islam moden, dikira dari Sheikh Muhammad Abduh (m. 1903) dan Jamaluddin Al-Afghani (m. 1897) yang diharapkan untuk membersihkan Islam dari kepercayaan-kepercayaan khurafat dan membangkitkan semula Islam sudah berusia lebih 100 tahun, sedangkan umat Islam masih di tahap di belakang negara-negara yang kita sebut tadi. Dengan sendirinya, ini bermakna umat Islam hari ini di seluruh dunia tidak mengikut sistem hidup Islam seperti yang diajar oleh semua nabi dan disempurnakan oleh Nabi Muhammad, penyudah segala nabi.



8 comments:

  1. Salam utk semua,

    Allah SWT tdk akan melaknati org2 yg mengkaji, mempertahankan dan mempertinggikan kitab Al-Quran, malah mereka ini adalah manusia pilihan yg akan masuk syurga tanpa dihisab (35:32). Tetapi Allah SWT akan melaknati dan membawa azab yg pedih lagi menghina kepada sesiapa yg memperlekehkan AL-Quran dan mengadakan kitab2 baru utk bertanding dgn Al-Quran (34:38), kononnya Al-Quran itu tdk lengkap dan memerlukan kpd kitab2 lain.

    Cuba tanya pada diri sendiri di manakah keimanan kita yg sebenarnya? Mahu percaya kpd Allah SWT atau percaya para alim ulama?
    Allah SWT mengatakan Al-Quran adalah kitab yg lengkap, sempurna, dan menjelaskan segala perkara. Al-Quran adalah lebih baik dari segala-gala kitab, Al-Quran mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya. Malah Allah SWT menyruh Nabi Muhammad SAW berdakwah dgn Al-Quran bukannya Al-Hadith (percakapannya sendiri).

    Fikirkanlah siapa yg sesat dan siapa yg beriman? Orang yang anti-hadith atau org yang anti-Quran? cubalah baca blog2 yg mgkaji Al-Quran seperti harunyahya.com atau kajian-quran.blogspot.com dan sbgnya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bai, terjemahan mana yang ko pakai nih?

      [35:32]
      Kemudian Kami jadikan Al- Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata).

      [34:38]
      Dan orang-orang yang berusaha menentang dan membatalkan ayat-ayat keterangan Kami sambil menyangka dapat melepaskan diri (dari hukuman Kami), mereka itu akan berada di dalam azab seksa.

      Delete
  2. Saya sokong pendapat Dr.Kassim Ahmad Part 1, ini.
    Terima Kasih

    ReplyDelete
  3. Allen Sulung anti-hadis pun ada kat sini..

    ReplyDelete
  4. Sokong KA sebab suruh baca quran kitab allah.
    35:29 sesunggohnya orang yang membaca kitab allah,
    dan mendirikan solat
    dan membelanjakan rezeki kami buat mereka diam diam dan terang terang,
    Berharap lah kepada keuntungan
    yang tiada sudah'

    Mau apa lagi?

    Baca kitab allah first bro.

    ReplyDelete
  5. Harap pemilik blog dapat senaraikan nota kaki atau senarai rujukan dalam teks ini. [Nombor2 yang tertera di hujung ayat2 tertentu dalam teks.] Terima kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Have a Break. Sila rujuk part two of my entry on Seminar Kassim Ahmad. Semua nya telah tercatit. Terima kasih

      Delete
    2. Nak baca kitab Al-Quran bukan macam baca buku cerita...kena belajar dengan cara yg betul baru faham..Nabi Mumammad mengajarkan Al-Quran bukan belajar baca jeer siap ngan tafsir melalui apa yg dia buat..contohnyya solat..dalam Al-Quran tiada cara terperinci camner nak solat..jadi kena perhatikan camner NabiSAW solat..

      Delete