Thursday, 1 July 2021

Kerajaan PN jangan bersikap angkuh, segerakan persidangan Parlimen seperti dititah YDPA - Shafie Apdal

 


AHLI PARLIMEN P189 SEMPORNA

YB DATO’ SERI HAJI MOHD SHAFIE BIN HAJI APDAL

SIARAN SEGERA


KENYATAAN MEDIA

Dalam keadaan dunia dan negara yang berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan bukan hanya masalah ekonomi yang tidak menentu, bahkan kehilangan nyawa yang begitu banyak akibat pandemik Covid-19 ini amat membimbangkan. 


Maka dengan itu, kerajaan yang ada pada hari ini iaitu Perikatan Nasional diingatkan supaya jangan bersikap angkuh seperti tahu semua perkara, perlu ambil iktibar walaupun sebenarnya masih lagi tidak pasti dengan banyak perkara. 


Setelah lebih dua minggu dititahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja, kelmarin sekali lagi baginda Yang Di-Pertuan Agong menzahirkan dan menitahkan supaya persidangan parlimen diadakan segera. 


Apa yang terjadi pada hari ini adalah menggambarkan keadaan sebenar yang berlaku, ramai rakyat hilang punca pendapatan, syarikat-syarikat tidak dapat meneruskan operasi dan terpaksa buang pekerja, peniaga-peniaga kecil banyak yang gulung tikar. 


Banyak keluarga terputus bekalan makanan, anak-anak kecil tiada susu, ramai yang tidak dapat mengadakan bekalan asas makanan untuk seisi keluarga, kesempitan hidup semakin parah dan lain-lain situasi yang tidak menyebelahi kebanyakkan rakyat. 


Saya bimbang sekiranya situasi dan keadaan ini tidak kita atasi segera, akan menyebabkan lebih banyak kemudaratan berbanding kebaikan. Malaysia yang mengamalkan pemerintahan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan ini perlu kita jaga, hormati dan pertahankan. 


Selaras dengan titah Tuanku yang mahu Persidangan Parlimen diadakan segera menunjukkan bahawa baginda Tuanku sangat prihatin dan memahami akan kesusahan yang dihadapi rakyat. Sudah tentu banyak perkara dapat dibincangkan, diselesaikan dan seterusnya memberi manfaat kepada rakyat, terutama perkara-perkara berkaitan Ordinan-Ordinan Darurat Covid-19. 


Sekali lagi saya nyatakan bahawa titah Yang Di-Pertuan Agong supaya parlimen bersidang segera diambil perhatian oleh kerajaan Perikatan Nasional, khususnya pentadbiran Dewan Rakyat dan Dewan Negara.


1 JULAI 2021


Tingkat 2, Blok F, Lot 37 & 38, Bangunan Warisan, Bandar Baru, Peti Surat Bil.05, 91308 Semporna, Sabah

No comments:

Post a Comment