KENYATAAN AKHBAR YB DATO’
DR HASAN MOHAMED ALI
ADUN GOMBAK SETIA
MERANGKAP PRESIDEN JATI
Selaku Presiden JATI saya terpanggil untuk memberi ulasan
terhadap program Tafaqquh Ilmi yang dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri
Johor dengan kerjasama Jabatan Mufti Johor yang bertajuk, “Pemantapan Aqidah:
Bahaya Liberalisme dan Pluralisme dan Ancaman Kristianisasi Terhadap Umat Islam
– Apa Peranan Guru ?”
Sebagai orang yang terlibat secara langsung dalam isu yang akan
dibincangkan dalam pertemuan tersebut, JATI memandang tinggi langkah pro-aktif
yang diambil oleh kedua-dua jabatan di atas. Saya berpendapat masa dan
ketikanya sangat bertepatan bagi mana-mana pihak menganjurkan program
sedemikan. Pada masa yang sama saya memandang berat tindakan setengah pihak yang
mempertikaikan program tersebut kononnya program sedemikian akan menimbulkan
ketegangan agama dan kaum. Lebih parah daripada itu mereka menuduh langkah ini
adalah sebahagian daripada agenda pihak tertentu untuk mendapatkan keuntungan
politik.
Saya hairan bagaimana pihak-pihak tersebut mengenepikan usaha
murni sebegini dan cuba menggambarkan bahawa ancaman aqidah bukan merupakan
suatu isu besar yang perlu ditangani secara bersungguh-sungguh. Saya juga
hairan bagaimana seorang bekas pimpinan gerakan Islam memandang remeh program
yang dianjurkan sedangkan pandangan-pandangan mengenai isu ini yang biasa
diutarakan mengatakan bahawa isu murtad sudah sampai ke tahap yang begitu
serius. Saya menjadi bertambah hairan apabila pimpinan PAS sendiri melalui Naib
Presidennya melihat isu ini sebagai satu mainan politik.
Saya sedih dengan tindakan yang terpaksa diambil oleh penganjur
menggugur perkataan Kristianisasi daripada tajuk asal program atas desakan
pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang lebih suka supaya masyarakat
mengambil sikap lepas tangan. Bagi saya ancaman Kristianisasi merupakan ancaman
yang nyata yang tidak perlu diselindungkan.
Saya sendiri mempunyai pengalaman peribadi dalam hal ini.
Ancaman Kristianisasi di Selangor seperti yang berlaku dalam kes di DUMC
sesungguhnya sangat membimbangkan. Salah satu daripada bukti wujudnya usaha
mengkristiankan orang-orang Islam akan saya bentangkan di dalam sidang media
hari Isnin ini.
Suka saya ingatkan bahawa ancaman Kristianisasi bukanlah
merupakan propaganda mana-mana pihak seperti yang dituduh sebaliknya ia
adalah peringatan Allah SWT sendiri melalui Firman-Nya di dalam Kitab Suci
Al-Quran (Al-Baqarah: 120)
"Orang-orang Yahudi
(Jews) dan Nasrani (Christians) tidak sekali-kali akan redha atau suka kepadamu
sehinggalah engkau menurut agama mereka"
Taman Tun Dr Ismail
30 Mac 2012
P.S - Sidang media jam pada hari Isnin 2/4/2012 jam 12.00 pm. Hasan Ali dijadual akan menayangkan klip video pengakuan seorang wanita yang telah dimurtadkan.
P.S - Sidang media jam pada hari Isnin 2/4/2012 jam 12.00 pm. Hasan Ali dijadual akan menayangkan klip video pengakuan seorang wanita yang telah dimurtadkan.
No comments:
Post a Comment