Lokasi : Ibupejabat PKR, Merchant Square, Damansara, Selangor
Acara : Sidang media
Tarikh : 15/4/2014
TIGA TUMPUAN KHUSUS MEMENANGI PILIHANRAYA UMUM 14
Kempen pemilihan parti sewajarnya tidak berkisar kepada persoalan calon dan isu dalaman parti semata-mata. Pemilihan parti yang bermakna adalah pemilihan parti yang berjaya menampilkan pimpinan yang diyakini oleh pengundi di samping berjaya mengemukakan gagasan untuk memenangkan KEADILAN dan PR dalam pilihanraya umum akan datang.
Gagasan yang dibentangkan perlulah praktikal dan tidak bukan retorik politik tentang siapa yang lebih setia atau siapa yang lebih bersih. Oleh yag demikian, saya mengambil peluang untuk menjadi calon yang pertama yang membentangkan pelan khusus memenangi pilihanraya untuk dinilai oleh anggota parti dan pengundi.
Mengambil kira pengajaran dari pilihanraya-pilihanraya yang lepas, saya dan rakan-rakan iaitu Saudari Nurul Izzah Anwar dan Saudara Rafizi Ramli menggariskan tiga tumpuan khusus memenangi PRU14 seperti berikut:
Pertama: Menarik Pimpinan Muda Baru Pelbagai Latar Belakang dan Kepakaran
Memandangkan majoriti pengundi di dalam PRU14 adalah pengundi muda (dianggarkan 60% adalah di bawah 30 tahun), kunci kejayaan KEADILAN kelak ialah barisan kepimpinan yang boleh mendekati dan menjiwai kumpulan pengundi muda ini.
Ini termasuklah membawa isu-isu yang dekat dengan mereka, mengurangkan jurang di antara pemimpin dan golongan pengundi muda ini serta mempelbagaikan pendekatan dalam mendekati golongan pengundi muda ini.
Walaupun KEADILAN sering berada di hadapan berbanding parti-parti lain dalam agenda mendepankan pemimpin muda, saya berpendapat usaha ini perlu lebih kencang dan tersusun. Bakat-bakat sedia ada di dalam parti dari kalangan ADUN dan Ahli Parlimen muda perlu diberi peluang menguruskan fungsi penting di dalam parti dan berada dalam kepimpinan parti, bukan lagi kepimpinan Angkatan Muda.
Lebih utama, bakat kepimpinan dari golongan muda yang belum menyertai KEADILAN perlu dibawa masuk. Satu program khusus untuk merekrut pimpinan muda dari golongan professional melalui program mentor dengan pimpinan kanan parti perlu diadakan segera supaya jumlah kepimpinan muda di dalam parti naik mendadak.
Kedua: Rundingan kerusi dan calon bagi setiap kerusi dimuktamadkan selewat-lewatnya Mac 2015
Rata-rata merasakan proses rundingan kerusi dan penentuan calon dalam PRU13 boleh diuruskan dengan lebih baik sekiranya dimuktamadkan lebih awal. Ketidaktentuan kerusi dan calon telah menyebabkan persediaan terbantut di banyak kerusi. Malah berlaku kekecewaan yang menjejaskan persediaan kerusi kerana calon yang ditentukan di saat akhir menimbulkan kontroversi.
Saya akan terus bersuara untuk memastikan bahawa sistem itu diubah sepenuhnya. Rundingan kerusi dengan DAP dan PAS perlu dimulakan segera dan dimuktamadkan dalam tahun 2014 ini. Ini memberi ruang kepada KEADILAN untuk mula memilih dan menyaring calon seawal Ogos 2014 dan mula diberikan tauliah untuk berkhidmat di kerusi masing-masing.
Kaedah ini akan memberi ruang kepada calon-calon yang telah ditauliahkan lebih awal untuk membina nama baik di kalangan pengundi dan membina jentera dalam menghadapi PRU14.
Ketiga: Berdepan dengan isu perkauman yang dimainkan oleh Umno yang menakutkan pengundi Melayu
Punca utama defisit undi dari pengundi Melayu kepada Pakatan Rakyat adalah kegagalan berdepan dengan isu perkauman yang dimainkan oleh Umno yang menakutkan pengundi Melayu. Propaganda Umno memberi gambaran bahawa jika Pakatan Rakyat menang, kedudukan orang Melayu dan agama Islam akan terjejas.
Serangan ini perlu dijawab dengan tersusun. Ia perlu dijawab oleh pimpinan Melayu dari KEADILAN (dan rakan PAS dan DAP) yang berdaya intelek tinggi dan berkeyakinan untuk menunjukkan bahawa Melayu yang adil akan menjadi yakin dan tidak takut untuk bersaing dengan bangsa-bangsa lain. KEADILAN juga perlu mengukuhkan kempen secara dakwah mengenai kedudukan Islam supaya orang Melayu yakin bahawa membenarkan orang bukan Islam mengamalkan agama mereka tidak pun menjejaskan kedudukan Islam di negara ini.
Berdepan dengan isu perkauman yang dimainkan Umno perlu menjadi ideologi KEADILAN yang dipimpin secara tersusun dan konsisten.
Saya yakin jika ketiga-tiga perkara ini dapat dilaksanakan dengan baik, peluang untuk menumpaskan Umno/Barisan Nasional adalah lebih cerah dalam PRU14. Tumpuan ini memerlukan pimpinan muda sedia ada di dalam KEADILAN diberikan tanggungjawab besar memimpin program-program dan fungsi parti.
Oleh sebab itu, saya yakin tema “Masa Depan Bersama” yang memberi penekanan kepada pembinaan pimpinan masa depan adalah satu strategi ke arah memenangi PRU14.
No comments:
Post a Comment