Google+ Followers

Sunday, 26 February 2012

Badrulamin dinasihati bercuti sebulan untuk bersihkan nama


KENYATAAN AKHBAR
AHAD, 26 FEBRUARI 2012
DR BADRULAMIN DINASIHAT BERCUTI SEBULAN UNTUK BERSIHKAN NAMA

Ketua Penerangan Negeri Selangor, Dr Badrulamin Bahrom dinasihatkan supaya mengambil cuti selama sebulan sehingga  beliau dibersihkan dari tuduhan yang dikatakan berkhalwat pada Sabtu lalu.
Kerajaan Negeri telah menerima penjelasan Dr Badrulamin berhubung kejadian itu dan mendesak pihak Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melakukan siasatan secara telus, adil dan professional demi menjaga maruah beliau sebagai muslim sebagaimana yang dituntut dalam ajaran Islam.
Kerajaan Negeri  berharap cuti rehat yang diberikan ini dapat digunakan untuk menumpukan perhatian kepada musibah yang sedang ditanggung oleh beliau  dan melakukan usaha-usaha bagi membersihkan nama beliau.  
Sepanjang tempoh bercuti ini,  tugas-tugas beliau sebagai Ketua Penerangan Kerajaan Negeri Selangor akan diambil alih  sementara waktu oleh Sekretariat akhbar Pejabat Dato’ Menteri Besar yang diketuai oleh Setiausaha Akhbar Dato' Menteri Besar. 
Akhir sekali Kerajaan Negeri Selangor menyeru semua pihak supaya tidak membuat andaian-andaian negatif dan menyerahkan hal ini kepada pihak berwajib melakukan penyiasatan. 

DIkeluarkan oleh
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR