Google+ Followers

Friday, 4 January 2013

Apa kriteria pemberian kontrak kerajaan?

Venue : Ibupejabat PKR, Merchant Square, Damansara, Selangor

Event : Sidang Media Rafizi Ramli

Date : 4/1/2013 @ 11.00 am


1.
 2. 


DATO’ SERI NAJIB LANTIK SYARIKAT ALI BABA DAN SYARIKAT PEMBUAT BERUS GIGI UNTUK MEMBINA PUSAT PENGAJIAN PERTAHANAN NASIONAL

Awan Megah Sdn Bhd (“Awan Megah”) dianugerahkan projek penswastaan pembinaan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (“Puspahanas”) milik Kementerian Pertahanan melalui satu perjanjian bertarikh 8 Jun 2005 yang disertakan bersama.

Projek penswastaan tersebut melibatkan kerja-kerja merekabentuk dan membina (design and build) sebuah kolej latihan tentera.

Sebagai balasan kepada kerja-kerja merekabentuk dan membina Puspahanas, Kementerian Pertahanan berjanji akan memindahkan tiga bidang tanah iaitu PT220 (seluas 96.825 ekar), Lot 1158 (seluas 45.420 ekar) dan PT216 (seluas 81.085 ekar). Tanah-tanah seluas 223.33 ekar ini pada asalnya diambil oleh Kerajaan Persekutuan bagi tujuan membina kem tentera.

Menteri Pertahanan semasa kontrak ini dianugerahkan kepada Awan Megah adalah Dato’ Seri Najib Tun Razak. Oleh itu, beliau bertanggungjawab sepenuhnya kepada keputusan untuk melantik Awan Megah.

Awan Megah adalah syarikat yang dimiliki oleh Raja Ropiaah Raja Abdullah, Ketua Wanita Umno Selangor.

Berdasarkan semakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Awan Megah adalah sebuah syarikat yang tidak pernah mempunyai apa-apa aktiviti sejak ia ditubuhkan. Maklumat kewangan yang terakhir yang difailkan dengan SSM adalah bagi tahun kewangan 31 Disember 1993 yang menunjukkan syarikat itu tidak menjalankan apa-apa aktiviti.

Sehingga kini, tidak ada sebarang aktiviti yang dijalankan oleh Awan Megah seperti mana rekod terkini SSM bertarikh 23 Mei 2012.

Ini bermakna, di antara tahun 1994 hinggalah sekarang, Awan Megah tidak mempunyai apa-apa transaksi dan kekal sebagai syarikat yang tidak aktif.

Ini juga bermakna, Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Pertahanan telah melakukan penyelewengan dan salahlaku rasuah apabila beliau menganugerahkan projek penswastaan bernilai puluhan juta ringgit ini dalam tahun 2005 kepada Awan Megah, sedangkan jelas Awan Megah bukanlah sebuah syarikat pembinaan yang berkemampuan untuk menjalankan projek tersebut.

Awan Megah hanyalah syarikat Ali Baba yang dilantik Dato’ Seri Najib Tun Razak dan diberikan 223.33 ekar tanah lumayan. Oleh sebab itulah, Awan Megah terpaksa melantik sebuah syarikat lain sebagai “rakan kongsi” untuk membiayai dan menyiapkan sepenuhnya projek itu.

“Rakan kongsi” yang dipilih adalah sebuah syarikat bernama GuppyUnip Sdn Bhd. Syarikat ini hanya berjaya mendapatkan kemudahan kredit dari United Overseas Bank (UOB) yang diluluskan pada 21 Julai 2010, iaitu lima tahun selepas projek ini dianugerahkan kepada Awan Megah. Ini bermakna projek ini tergendala selama lima tahun gara-gara Awan Megah tidak mempunyai modal dan masih mencari-cari rakan kongsi.

Semakan dari surat kemudahan kredit GuppyUnip Sdn Bhd ini pula menunjukkan bahawa:
1.      Keseluruhan modal sebanyak RM59.25 juta (iaitu pinjaman TL1 hingga TL4) adalah pembayaran bagi pihak Awan Megah
2.      Pembayaran premium kepada Kerajaan Selangor bagi pindahmilik geran dan pertukaran status bagi tanah 223.33 ekar juga akan dibiayai oleh GuppyUnip Sdn Bhd
3.      Kos bagi kerja-kerja penyediaan tapak untuk membangunkan tanah 223.33 ekar itu turut dibiayai oleh GuppyUnip Sdn Bhd

Saya merumuskan bahawa GuppyUnip Sdn Bhd menanggung keseluruhannya kos pembinaan Puspahanas dan kos pembangunan tanah 223.33 ekar itu kerana Awan Megah milik Ketua Wanita Umno Selangor hanyalah membuat keuntungan atas angin. Keadaannya sekarang samalah seperti keseluruhan projek dan tanah-tanah ini telah diserahkan kepada GuppyUnit Sdn Bhd.

Lebih memeranjatkan, GuppyUnit Sdn Bhd bukanlah syarikat yang berpengalaman dalam bidang pembinaan. Semakan dengan SSM menunjukkan bahawa syarikat ini hanyalah ditubuhkan pada 9 Disember 2009 (dokumen SSM disertakan bersama).

Lebih teruk lagi, syarikat ini ditubuhkan dan dikuasai oleh Cheong Chow Koh (melalui pegangan keluarganya dan syarikat utamanya Unip Berhad). Perniagaan utama Cheong Chow Koh melalui Unip Berhad adalah sebagai pengilang berus gigi (sila rujuk laman web www.unipberhad.com yang disertakan bersama).

Kesimpulannya:
1.    Dato’ Seri Najib Tun Razak melantik Awan Megah milik Ketua Wanita Umno Selangor yang tidak pernah menjalankan apa-apa aktiviti untuk merekabentuk dan membina Puspahanas, lalu dianugerahkan tanah seluas 223.33 ekar
2.     Secara tidak langsung, Dato’ Seri Najib Tun Razak juga telah melantik sebuah syarikat pengeluar berus gigi untuk membina Puspahanas dan menyerahkan tanah 223.33 ekar kepada syarikat ini

Ini adalah satu pengkhianatan kepada anggota tentera yang berkorban demi rakyat. Ia juga perlakuan rasuah dan penyelewengan secara terang-terangan yang dilakukan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak yang wajib disiasat dengan segera.


RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
4 JANUARI 2013


2 comments:

  1. Nampaknya Rafizi lembu baru hidup kat zaman yang dirasakan koup.. Dia tak merasa zaman yang mana bapak rasuah menjadi ahli kabninet dulu.. Almaklumlah masa tu dia masih 'belum sunat' lagi.. hehehe

    ReplyDelete
  2. [1000% PERCUMA!]
    Ilmu tentang kontrak kerajaan yang 1000x ganda harganya! Kepada yang baru mencuba dan sedang menceburi bidang kontrak kerajaan. Sila download ebook ini, saya kongsikan jawapan kepada 102 Persoalan Kontrak Kerajaan.
    Download di sini http://www.perolehankerajaan.com/ebook

    ReplyDelete