Google+ Followers

Tuesday, 18 February 2014

Seminar Pemikiran Kassim Ahmad - Part 1 - Full text

Lokasi  : Yayasan Kepimpina Perdana, P8, Putrajaya

Acara : Seminar Pemikiran Kassim Ahmad

Tarikh : 16/2/2014




1. Pendahuluan

Hari ini hari istimewa bagi saya. Hari ini saya akan meluahkan isi hati saya tanpa sekata, insya Allah. Hari ini saya akan mempertanggungjawabkan kehidupan saya di dunia. Saya ada satu dua kerja yang ingin saya lakukan, tetapi selepas hari ini, saya reda kalau dipanggil Tuhanku untuk diadili.

Saya tidak mendakwa saya seorang yang baik. Saya melakukan banyak kesilapan dalam kehidupan saya. Saya jangka saya bukan berseorangan. Tidak ada manusia yang sempurna. Hanya Tuhan yang sempurna. Tetapi saya boleh mengatakan saya telah cuba hidup sebagai seorang yang patriot bagi bangsa saya dan bagi bangsa manusia. [1]

Ketika saya seorang muda, saya bersumpah untuk berkata-berkata dengan bebas. [2] Saya bersumpah saya akan mendedahkan segala kepalsuan. [3]

Semua orang tahu saya bermula sebagai seorang remaja berhaluan kiri berjuang untuk rakyat marhaen menentang parti kebangsaan Melayu, UMNO, yang pada waktu itu saya anggap reaksioner, walaupun akhirnya saya pulang ke akar keMelayuan saya dan memasuki UMNO.

Pada 9 September tahun lalu, saya menjengkau 80 tahun tanpa apa-apa perayaan. Hanya sahabat-sahabat saya di Kuala Lumpur, antara lain Dr. Chandra Muzaffar, Sasterawan Negara Dato’ Baha Zain dan Nik Aziz Hassan, telah bermuafakat untuk meraikan harijadi itu dengan satu majlis penilaian kritis terhadap karya-karya saya. Majlis ini dijadualkan pada 15 Februari, 2014. Dalam pada itu, saya telah merancang untuk bercakap dalam satu Konferensi Politik Nasional tentang halatuju negara kita untuk tiga puluh tahun akan datang. Ucapan ini dijadualkan pada hari berikutnya, iaitu 16 Februari, 2014.
Inilah latar belakang majlis harijadi saya yang ke-80.


 2. Keadaan Dunia Sekarang

Negara kita Malaysia sedang melalu satu zaman yang penuh pancaroba. System komunisme sudah runtuh pada akhir abad ke-20. System liberalisme yang kita anuti sekarang juga sedang runtuh di depan mata kita—di Eropah dan Amerika Syarikat.

Keruntuhan system komunisme kerana system ini menafikan hak kebebasan individu. Ia melebihkan hak kolektif, yang dipergunakan oleh kepimpinan untuk melaksanakan sistem dictator! Sistem liberalisme melebihkan hak kebebasan individu dengan menafikan hak kolektif.

Kedua-dua sistem ini melanggar konsep “sempadan Allah”, atau apa yang disalah-ertikan sebagai “hukum hudud”. Konsep ini langsung tidak ada kena-mengena dengan hukuman. Ia merujuk kepada suatu undang-undang universal, iaitu dalam tiap-tiap perbuatan, manusia tidak boleh melampaui batasan undang-undang alamiah. [4] Umpamanya, dalam hal makan: mudarat kalau tidak makan, tetapi kalau kita makan terlalu banyak pun mudarat juga. Demikianlah bagi tiap-tiap perbuatan wujud suatu sempadan yang tidak boleh kita lampaui.


3. Masa Depan

Apa akan berlaku dalam masa 30 tahun akan datang? Apakah sistem ganti yang harus kita pilih sekarang? Mengikut kitap suci yang terakhir kepada manusia iaitu Quran, satu-satunya kitab suci yang dijamin oleh Tuhan sendiri [5], dan yang mengesahkan dan mengatasi semua kitab suci lain, [6] hanya ada satu jalan yang lurus yang Dia restui di antara jalan-jalan yang menyeleweng. Jalan-jalan yang menyeleweng itu disebut jalan-jalan mereka yang Dia murkai, dan jalan-jalan mereka yang sesat.

Apakah jalan yang Dia murkai? Tuhan pasti murkai kumpulan-kumpulan manusia yang memberontak terhadap-Nya. Dalam zaman moden, kumpulan itu kaum marxis komunis yang menafikan Dia serta mengamalkan cara hidup yang menafikan Dia. Dengan perkataan lain, dalam kehidupan mereka, mereka menafikan dimensi-dimensi moral dan spiritual. Oleh kerana ini, cara hidup ini berlawanan dengan undang-undang alamiah, dan pasti musnah. Sistem komunisme sudah pun musnah.

Satu lagi jalan menyeleweng kita panggil sistem teokrasi, yakni kepimpinan satu kasta paderi melantik diri mereka sendiri serta mendakwa mentadbirkan negara atas nama Tuhan. Contohnya dari zaman pertengahan Eropah, sistem Paus. Dalam dunia moden, Eropah sudah menyingkirkan sistem Paus ini, tetapi dalam dunia Islam, negara Iran dan Arab Saudi sedang melaksanakan sistem ini.

Nyatalah sistem ini gagal menyelesaikan masalah-masalah sosio-ekonomi menghasilkan pekerjaan dan makanan untuk rakyatnya dan dengan itu gagal menyelesaikan masalah-masalah lain dalam masyarakat.


4. Negara Malaysia

Negara kita Malaysia, walaupun dikatakan negara Islam, sebenarnya mengamalkan sistem liberalisme. Mengikut kata-kata Kerajaan Pusat, ekonomi Malaysia baik dengan pengangguran sifar dan peratusan inflasi pada tahap minima. Namun kemudian, Malaysia boleh dikatakan tiap-tiap hari menunjukkan ketegangan antara kaum dan agama. Apakah caranya untuk menyelesaikan perkara ini secara muktamad?

Jalan yang lurus yang dirujuk dalam surah Al-Fatihah tadi – apakah jalan itu? Tadi telah kita nyatakan ada tiga jalan yang menyeleweng : sistem marxis komunis, sistem teokrasi dan sistem liberalisme. Seperti yang telah kita nyatakan, ketiga-tiga sistem ini telah atau sedang menuju kehancuran. Maka semestinyalah masyarakat manusia dalam abad-abad ke-21 dan mendatang mencari sistem jalan yang lurus ini. Dengan perkataan ini, inilah sistem hidup yang dirujuk dalam Quran dalam surah 3 ayat 19, yang berbunyi, “Sesungguhnya agama yang Tuhan reda itu Islam”.


5. Keadaan Orang Islam Sekarang

Orang Islam berjumlah 2.1 bilion di seluruh dunia. Bolehkah kita katakan mereka semuanya mengikut cara hidup Islam yang sebenar? Sekiranya benar, umat Islam hari ini harus berada pada kedudukan nombor 1 dalam dunia, seperti yang berlaku dalam sejarah. Sejarah mencatat dalam zaman pertengahan Uthman Ibni Affan, khalifah Islam ke-3, setelah 60 tahun Nabi Muhammad wafat, orang Arab yang tidak terkenal itu melonjak naik menjadi kuasa nombor satu dalam dunia, mengalahkan Empayar Parsi dan sebahagian besar Empayar Baizantium, dua kuasa besar dunia pada zaman itu. [7]
Tetapi umat Islam sekarang duduk di bawah daripada Britain, Perancis, Amerika Syarikat, Rusia, China dan India, semuanya negara bukan Islam.


6. Gerakan Pembaharuan Islam

Gerakan pembaharuan Islam moden, dikira dari Sheikh Muhammad Abduh (m. 1903) dan Jamaluddin Al-Afghani (m. 1897) yang diharapkan untuk membersihkan Islam dari kepercayaan-kepercayaan khurafat dan membangkitkan semula Islam sudah berusia lebih 100 tahun, sedangkan umat Islam masih di tahap di belakang negara-negara yang kita sebut tadi. Dengan sendirinya, ini bermakna umat Islam hari ini di seluruh dunia tidak mengikut sistem hidup Islam seperti yang diajar oleh semua nabi dan disempurnakan oleh Nabi Muhammad, penyudah segala nabi.