Friday, 8 February 2013

NGO bukan Islam tidak jujur dalam isu Kalimah Allah

File pic.

KENYATAAN AKHBAR PERTUBUHAN MUAFAKAT SEJAHTERA MASYARAKAT MALAYSIA ( MUAFAKAT ) BERKAITAN KENYATAAN MAJLIS PERUNDINGAN AGAMA BUKAN ISLAM (MCCBCHST)



MUAFAKAT mengutuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) baru-baru ini yang masih cuba mempertahankan keinginan pihak-pihak tertentu yang terdiri daripada mereka yang bukan beragama Islam untuk menggunakan Kalimah Allah bagi tujuan agama mereka.  Pada masa sama mereka juga cuba mempertikaikan peranan MAIS dan pandangan Yang Arif Bekas Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheik Abdul Halim yang konsisten tidak membenarkan penggunaan Kalimah Allah oleh mereka yang bukan beragama Islam berdasarkan peruntukan yang telah sedia ada.

Sebagai warganegara Malaysia, Majlis MCCBCHST patut memikirkan kesan yang mungkin timbul  dari desakan mereka yang bertentangan dengan Perlembagaan itu. Kemarahan Umat Islam mungkin tidak dapat dibendung lagi melihatkan kepada respons masyarakat Islam melalui laporan-laporan polis, ceramah-ceramah umum, tunjuk perasaan dan majlis-majlis penerangan. Jika hal yang tidak diingini berlaku, maka MCCBCHST harus dipersalahkan.

Perlu disebutkan bahawa belum pernah timbul sebarang desakan oleh mana-mana penganut agama bukan Islam mahu menggunakan Kalimah Allah dalam kitab-kitab dan ritual keagamaan mereka. Malangnya, akhir-akhir ini, isu Kalimah Allah ditimbulkan secara  terancang yang dilihat sebagai bermotifkan politik murahan. Majlis MCCBCHST elok mengelakkan diri dari terjebak  dalam  percaturan politik destruktif ini. Sebagai golongan beragama yang mahukan keamanan, mereka sepatutnya  menasihatkan  pemimpin-pemimpin dan organisasi politik supaya berhenti dari bermain api  yang tidak berfaedah ini.

Sehubungan dengan itu, MUAFAKAT meminta NGO-NGO Islam memikirkan semula keanggotaan mereka dalam Jawatan Kuasa Mempromosi  Keharmonian Di antara Agama di bawah JPNIN kerana badan-badan bukan Islam itu ternyata  tidak jujur  dan tidak bersungguh-sungguh untuk mewujudkan keharmonian  kerana tidak menghormati asas dialog dan menggunakan Jawatan Kuasa ini, sebagai jalan belakang menjalankan fungsi dan objektif IFC, apabila mereka secara konsisten mempertikaikan kedudukan Agama Islam dan kedudukan serta peraturan agama sedia ada.


Hj Ismail Mina Ahmad
Presiden MUAFAKAT
Kuala Lumpur

7 Februari 2013.


No comments:

Post a Comment