Venue : Dewan Keadilan, Ibupejabat PKR, Merchant Square, Damansara, Selangor
Event : Sidang media mingguan Anwar Ibrahim
Date : 23/1/2013 @ 11.00 am
Sidang media hari ini diadakan bagi mengumumkan kerangka dasar Pakatan Rakyat bagi membela nasib anggota Angkatan Tentera Malaysia. Anwar Ibrahim juga memperkenalkan Lt. Jen. (B) Dato' Abd Ghafir Bin Abd Hamid, bekas Timbalan Panglima Tentera Darat Angkatan Tentera Malaysia yang bertindak sebagai pakar runding dalam hala ehwal ATM.
1.
2.
3.
4.
5.
LT. JEN. (B) DATO' ABD GHAFIR BIN ABD HAMID
Lt. Jen. (B) Dato' Abd Ghafir Bin Abd Hamid merupakan bekas Timbalan Panglima Tentera Darat Angkatan Tentera Malaysia di antara tahun 2000 hingga 2005. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pegawai Pemerintah Batalion Malbat ke Namibia.
6.
PAKATAN PERTAHANKAN KEMULIAAN DAN KEBEBASAN ANGGOTA KESELAMATAN
Pakatan Rakyat menghargai peranan dan sumbangan anggota keselamatan negara yang pernah dan sedang berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Peranan ini hanya boleh dilaksanakan dengan berkesan sekiranya kebebasan, kedudukan, kebajikan dan kemuliaan ATM dipertahankan sepenuhnya.
Justeru, saya membantah tindakan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan penipuan politik untuk perolehan ATM. Soal persenjataan negara yang melibatkan dasar pertahanan strategik dan taktikal adalah kepakaran kepimpinan ATM yang amanahnya perlu dipikul oleh mereka.
Skandal-skandal yang membabitkan pembelian persenjataan dan kelengkapan yang mahal dan melibatkan rasuah sebenarnya mengkhianati pengorbanan dan perkhidmatan anggota keselamatan.
Apabila Dato’ Seri Najib Tun Razak terlibat meluluskan satu pembayaran komisen yang mahal kepada orang kanannya sendiri dalam pembelian kapal selam Scorpene, tindakan beliau itu mengkhianati kebajikan dan kedudukan pasukan keselamatan negara.
Pertamanya, apabila peruntukan yang sepatutnya dibelanjakan dengan berhemah bagi keperluan dan kebajikan anggota tentera (baik persenjataan, kelengkapan, perumahan dan pendidikan) dihabiskan sebagai habuan rasuah, ini menyebabkan ATM tidak dapat berbelanja bagi keperluan-keperluan yang lebih mendesak kerana kekurangan peruntukan. Keduanya, cemuhan rakyat terhadap perlakuan rasuah yang bersabit dengan pembelian persenjataan turut terpalit kepada ATM yang mencalarkan imej ATM, walaupun skandal itu tidak ada kena mengena dengan anggota keselamatan.
Sebab itu, saya bertegas bahawa Pakatan Rakyat tidak boleh bertolak ansur mengenai rasuah dan amalan kronisme dalam pembelian persenjataan negara.
Keputusan dan penilaian kewajaran pembelian persenjataan perlu diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan ATM mengikut tata kelola pentadbiran kerajaan persekutuan yang berteraskan ketelusan dan amanah kepada rakyat. Saya yakin prinsip ini akan menjimatkan berbilion wang rakyat yang kemudiannya boleh diperuntukkan untuk membela kebajikan dan kemajuan anggota tentera.
Berbekalkan peruntukan yang meningkat apabila kita berjaya membanteras amalan rasuah dan kronisme, saya telah meneliti dan mencadangkan perkara-perkara berikut sebagai langkah membela kebajikan anggota-anggota tentera:
Pengurusan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) perlu dirombak semula dengan perwakilan dari kalangan anggota tentera yang lebih adil dan bebas mewakili anggota terbanyak. Keuntungan dan perolehan LTAT wajarlah diagihkan dengan leih adil kepada anggota terbanyak, termasuk melalui peruntukan skim mikrokredit khas anggota tentera untuk memastikan mereka mendapat perhatian selepas meninggalkan perkhidmatan;
Kerajaan Pakatan Rakyat wajar meningkatkan jumlah caruman yang disumbangkan oleh kerajaan di dalam LTAT kepada 20% daripada gaji setiap bulan (berbanding 15% sekarang). Peningkatan 5% caruman ini perlu diuruskan secara berasingan di dalam dana LTAT dan dikhususkan kepada program-program imbuhan yang berbentuk bantuan bulanan kepada bekas anggota tentera (yang berpencen dan tidak berpencen);
Kerajaan Pakatan Rakyat wajar memperkenalkan Dividen Khas kepada bekas anggota tentera tidak berpencen bergantung kepada keuntungan LTAT setiap tahun dan caruman tambahan 5% yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan. Dividen Khas ini bagi membantu anggota keselamatan yang tidak mempunyai pencen berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup yang meruncing;
Kerajaan Pakatan Rakyat akan memastikan paras pencen adalah setara dengan dasar gaji minima RM1,100 yang diangkat oleh Pakatan Rakyat akan dilakukan, supaya tidak ada bekas anggota keselamatan yang tercicir dari pelarasan pencen seperti yang sering berlaku sekarang.
Saya yakin pendekatan berganda membanteras rasuah dan menggunakan peruntukan yang diselamatkan untuk membela kebajikan anggota tentera akan berjaya mempertahankan kemuliaan ATM di mata rakyat.
Kemuliaan dan kedudukan anggota tentera di mata rakyat adalah sangat penting kerana mereka adalah benteng pertahanan negara. Di bawah Pakatan Rakyat, saya yakin ATM akan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.
ANWAR IBRAHIM
KETUA UMUM KEADILAN
23 JANUARI 2013