Sunday 12 April 2015

UMNO WP ikrar taat setia kepada kepimpinan Najib Razak

Lokasi : Colmar Tropicale, Bukit Tinggi, Pahang

Acara : Sidang media khas UMNO W.Persekutuan bagi menyatakan sokongan penuh kepada
kepimpinan Perdana Menteri DS Najib Razak

Tarikh : 11/4/2015


KENYATAA MEDIA

BADAN PERHUBUNGAN UMNO WILAYAH PERSEKUTUAN MENYOKONG KEPIMPINAN PRESN IDEN DATO' SRI MOHD NAJIB TUN ABDUL RAZAK

Merujuk kepada beberapa siri kritikan yang dilontarkan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed terhadap pentadbiran Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, maka Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan tampil untuk memberikan kenyataan berkenaan perkara ini.

Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan ingin melafazkan ikrar taat setia tanpa berbelah bahagi kepada kepimpinan YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai Presiden UMNO serta Perdana Menteri. Pada masa yang sama, kami ingin menyampaikan rasa hormat yang sangat tinggi kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed yang sudah banyak berjasa dan berbakti kepada kepentingan rakyat dan negara ini.

Mutakhir ini, kita melihat banyak komen-komen yang dilemparkan kepada Dato’ Sri Mohd Najib dan Tun Dr Mahathir sudah sampai kepada peringkat menghina dan menyentuh peribadi kedua-dua pemimpin terbabit. Tidak kurang juga yang memberikan komen negatif terhadap Tun Dr Mahathir yang tidak sepatutnya dilakukan kepada bekas Perdana Menteri yang banyak berjasa kepada negara.

Kami sememangnya tidak pernah bersetuju dengan komen-komen negatif yang dilemparkan terhadap Dato’ Sri Mohd Najib yang sudah melakukan banyak kebaikan kepada rakyat dan negara sebagai Perdana Menteri. Seharusnya kita semua menyokong dan memberikan peluang kepada beliau melaksanakan segala program transformasinya demi faedah rakyat dan negara.

Harus diingat bahawa musuh sebenar UMNO ialah tentangan daripada gabungan parti-parti pembangkang dan bukannya bertelagah sesama sendiri atas isu-isu yang dilihat bersangkut dengan kepentingan peribadi. Keutamaan kita ialah memperkasakan perjuangan UMNO dan mengekalkan sokongan orang Melayu terhadap parti, bukannya terjebak dan terheret dengan isu-isu yang sengaja diputarbelitkan oleh pihak oportunis dan berkepentingan.

Saya menghormati pandangan dan kritikan yang dikemukakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed dan tidak melihat wujud sebarang masalah antara Tun Dr. Mahathir dan Dato’ Sri Mohd Najib. Saya menasihatkan agar semua pihak berhenti melaga-lagakan antara kedua-dua pemimpin ini. Segala persoalan dan kritikan yang dilontarkan oleh Tun Dr. Mahathir telah pun dijawab sebelum ini oleh Dato’ Sri Mohd Najib.

Sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, saya ingin menegaskan bahawa tiada apa yang lebih bermakna selain mengekalkan kewibawaan UMNO sebagai satu-satunya parti yang dulu, kini dan selama-lamanya mempunyai kekuatan memperjuangkan kepentingan rakyat semua kaum di negara ini.

Justeru, kejayaan UMNO sebagai sebuah parti tunggal yang berjaya memperjuangkan kepentingan rakyat semua kaum sejak ditubuhkan pada tahun 1946 mesti dipertahankan oleh semua pihak termasuk pendukung dan bekas-bekas pemimpin yang pernah menyandang jawatan dalam parti ini.

Sekian, terima kasih.

TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR
Pengerusi
Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan





1
 2
 3
 4
 
 5
 6
 7
 8
 9
 10
11
12
 13
 14


6 comments:

  1. Sokong membawa rebah tak ada gunanya, ibarat sebuah jambatan yang hampir roboh masing-masing naik atas jambatan itu kononnya nak pegang jambatan supaya tak roboh, tapi kerana cara tak kena, maklumat yang salah, akhirnya jambatan roboh, yagn ada atas jambatan itu semua jatuh ke sungai, dihanyutkan ke laut, mati lemas semuanya, baru puas hati.

    Menyokong membuta tuli hanya merosakkan keadaan yang telah sedia ada rosak.

    Kritikan kepada Najib bukanlah kerana mahu menyerang peribadi Najib, tapi kerana kepentingan negara. Kalau melibatkan peribadi Najib seperti dia makan hanya dengan memakai spender di rumahnya, itu dia punya pasal, itu hal peribadinya, dia nak makan sambil telanjang pun, lantaklah, itu hal peribadinya.

    Tetapi isu yang dibangkitkan adalah isu melibatkan kepentingan negara, wang negara yang berpuluh-puluh bilion diuruskan oleh orang yang entah apa-apa yang tak tahulah orang itu ada jawatan dalam 1MDB atau pun tidak.

    Ini ini berkaitan dengan kelangsungan ekonomi negara, ekonomi negara berkaitan rakyat, runtuhnya ekonomi, akan menyebabkan kesengsaraan terhadap lebih kurang 25 juta rakyat Malaysia di negara ini, warga asing mungkin akan berambus balik ke negerinya atau pindah ke negeri lain, kerana Malaysia bukannya tanah air mereka.

    Isu ini berkaitan dengan kelangsungan kuasa politik dan kekuasaan orang-orang bumiputera dan Islam di negara ini. Jatuhnya Barisan Nasional akan menyebabkan DAP akan berkuasa di Malaysia, ini kerana PKR dan PAS hanyalah pak turut kepada DAP sahajalah selama ini. Malahan dalam PAS sendiri, kalau lepas gabungan PAS, PKR dan DAP berkuasa, golongan Islamis dalam PAS akan ditendang keluar, golongan sekular seperti Mat Sabu, Mahfuz, Mujahid, Khalid Samad, Hanipa Maidin dan kuncu-kuncunya akan berkuasa penuh dengan bantuan dari segi politik dan kewangan daripada DAP kepada puak-puak sekular berikut.

    Dengan sokongan golongan sekular dalam PAS dan PKR, maka mudahlah DAP hendak meng'Singapura'kan Malaysia hingga orang-orang Melayu terpinggir, yang mendapat tempat adalah golongan suruhan seperti PAS dan PKR sahajalah di pandangan DAP.

    Mereka boleh buat cara piliharanaya seperti Singapura supaya kekuatan mereka makin bertambah, maka UMNO akan reput secara perlahan-lahan hingga dilupakan oleh generasi akan datang.

    Ini yang kita risaukan, tetapi akah UMNO WP menyedari hal ini? Apakah 154 ketua-ketua bahagian yang kononnya faham sangat pasal 1MDB selepas 'mendengar' 'penjelasan' oleh Najib itu faham dan jelas dengan sebab dan matlamat kritikan oleh Tun Dr. Mahathir dan orang-orang Melayu yang sayangkan bangsa yang memberi kritikan terhadap Najib kerana mereka mahu menyelamatkan UMNO dan Barisan Nasional yang menjadi benteng yang membela agama, bangsa dan tanah air serta mempertahankan hak-hak kaum lain secara adil selama ini?

    Orang tua-tua dah berpesan, jangan terhantuk baru nak terngadah, kerana tak guna dah sakit sebab terhantuk baru nak menyesal, benda dah jadi, tak boleh diundur kembali.

    Ibarat memasak nasi, kalau jadi bubur boleh lagi diubah suai jadi bubur lambuk ke, bubur ayam ke, tapi kalau nasi dah hangus, periuk dah terbakar, dapur dah terbakar apa gunanya lagi, nak makan macam mana lagi?

    Sedarlah semua.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih.

      Para penyokong Najib ini masih tidak sedar bahawa Tun Dr. Mahathir menegur Najib sebab Tun Dr. Mahathir sayangkan Najib, malahan selepas Najib tak dengar teguran, nasihat, maka Tun Dr. Mahathir mengkritik Najib pun bukannya nak menjatuhkan Najib sesuka hati, tetapi kerana sayangkan Najib kerana jika UMNO dan Barisan Nasional kalah dalam PRU 14, pihak pembangkang akan berkuasa, mereka akan menggali, mengorek, menyelongkar apa sahaja untuk membalas dendam terhadap Najib dan pimpinan kerajaan, sebab itulah Tun Dr. Mahathir membuat teguran, tetapi para penyokong Najib masih buta hati, tak tahu menilai yang mana racun yang mana madu.

      Bukanlah kita menuduh Tun Dr. Mahathir mahu melindung kesalahan pemimpin kerajaan sekarang ini, tetapi pihak pembangkang akan membuat apa sahaja untuk menyabitkan kesalahan kepada pemimpin kerajaan sekarang ini sekiranya mereka berkuasa kelak.

      Lihatlah apa yang jadi pada Presiden Morsi di Mesir, lepas pihak lawannya menang, pihak yang menang itu akan membalas dendam dengan melakukan penahanan politik serta perbicaraan politik terhadap Presiden Morsi dan sekutunya.

      Melihat kepada riak pembangkang ketika ini, mereka akan buat begitu jika mereka menang kelak, mereka akan pastikan UMNO ketandusan pemimpin dan mereka akan menyebabkan UMNO dan komponen Barisan Nasional tercalar teruk hingga tidak boleh bangun lagi.

      Inilah intipati sebenar kritikan Tun Dr. Mahathir terhadap Najib, bukannya menyerang peribadi Najib sebab nak merampas jawatan Perdana Menteri dari Najib, tapi kerana sayangkan negara, sayangkan rakyat, sayangkan parti, sayangkan Najib dan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional agar tidak menjadi mangsa pembangkang jika UMNO dan Barisan Nasional tumbang dalam PRU 14 kelak. Oleh itu Tun Dr. Mahathir berusaha sedaya upaya untuk mengelakkan kekalahan UMNO dan Barisan Nasional dalam PRU 14 nanti.

      Oleh itu sedarlah dan jangan jadi bodoh menyokong membuta tuli Najib berkaitan tindakan merapunya itu. Tun Dr. Mahathir kalau nak khianat dah lama dia dedahkan semua yang dia tahu supaya Najib terus tersungkur, tapi itu akan memberi kesan kepada UMNO. Kerana belas ihsan oleh Tun Dr. Mahathir, Najib diberi peluang untuk membetulkan keadaan, tapi apa yang Najib buat dalam tempoh 3 hingga 4 tahun kebelakangan ini, makin banyak kerosakkan. Jika Najib tak mampu mengubah sikap buruknya itu, maka dia perlu diubah dengan dia meletak jawatan dan jangan musnahkan UMNO kerana sikap syok sendiri Najib itu.

      Delete
  2. Berdasarkan sokongan membuta tuli UMNO WP kepada Najib ini, jelas mereka sendiri tak faham apa yang sebenarnya intipati kritikan terhadap Najib oleh Tun Dr. Mahathir dan orang-orang Melayu yang melihat apa yang sebenarnya telah berlaku kepada kerajaan dan negara yang makin hari makin tunggang langgang disebabkan cara Najib yang syok sendiri itu.

    Apakah UMNO Wilaya Persekutuan boleh menjelaskan apa yang diutarakan oleh Tun Dr. Mahathir dan rakyat Malaysia sebagaimana dalam blog Tun Dr. Mahathir itu?

    Apakah mereka boleh menjelaskan apakah motif Sirul dan Azilah yang dikatakan membunuh Altantuya sedangkan Sirul dan Azilah tidak pernah mengenali dan tak pernah ada apa-apa hubungan dengan Altantuya pun, apakah motifnya, mana ada orang buat sesuatu tanpa sebab.

    Isu 1MDB, apakah UMNO Wilayah Persekutuan boleh jelaskan apa dah jadi dengan RM 42 bilion yang kemudiannya menjadi RM 45 bilion hutang oleh 1MDB itu?

    Isu 1MDB, apakah UMNO Wilayah Persekutuan boleh jelaskan mengenai isu Jho Low yang menguruskan dana 1MDB sedangkan 1MDB ada pengurusannya sendiri, mengapakah Jho Low boleh menguruskan dana 1MDB pula? Apakah Jho Low mempunyai jawatan dalam 1MDB? Kalau orang luar 1MDB, apakah kuasa untuk dia menguruskan dana 1MDB?

    Sila jelaskan kalau ada bukti kononnya Tun Dr. Mahathir dan rakyat Malaysia yang dengki dan menyerang peribadi Najib sedangkan apa yang dikritik itu adalah berkaitan dengan kepentingan negara.

    ReplyDelete
  3. "Sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, saya ingin menegaskan bahawa tiada apa yang lebih bermakna selain mengekalkan kewibawaan UMNO sebagai satu-satunya parti yang dulu, kini dan selama-lamanya mempunyai kekuatan memperjuangkan kepentingan rakyat semua kaum di negara ini." - Tengku Adnan Tengku Mansor.

    -------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

    Mengekalkan wibawa jadah apa lagi jika apa yang berlaku dan disokong oleh Tengku Adnan dan kuncu-kuncunya itu yang menyebabkan maruah UMNO dan Barisan Nasional tercalar teruk dan mendapat pandangan negatif dari rakyat sehingga menyebabkan sokongan rakyat terhadap kerajaan makin menjunam dengan mendadak dah sangat dahsyat?

    Saya tak tahulah, apakah yang bermain di pemikiran 154 ketua UMNO yang berjumpa Najib kononnya mereka sangat faham pasal 1MDB itu, serta apakah yang bermain di pemikiran ahli-ahli parlimen yang menyokong membuta tuli tindakan Najib sedangkan mereka tak tahu apa yang sebenarnya yang berlaku kerana mereka tiada maklumat betapa kehancuran terhadap negara ini sedang berlaku dengan pantas disebabkan cara pengurusan Najib yang tunggang langgang serta porak peranda.

    Orang-orang ini yang menyokong membuta tuli kononnya 'demi UMNO' kononnya 'Najib buat yang terbaik untuk rakyat dan negara', sedangkan hakikatnya kehancuran sedang melanda negara ini, melanda rakyat negara ini, melanda parti UMNO dan Barisan Nasional, apakah perlu dibiarkan semua ini berlaku dan menyebabkan UMNO dan Barisan Nasional hancur berkecai tanpa dapat bangun lagi selepas PRU 14 kelak?

    Orang-orang seperti ini memang berfikiran jahil sebab mereka tidak menilai apa yang akan mereka tanggung akibat menyokong tindakan bodoh Najib itu hingga menyebabkan rakyat menjauhkan diri dari menyokong Barisan Nasional. Mereka ini tiada haluan, mereka tiada mata hati melihat jika UMNO dan Barisan Nasional kalah, Islam dan Melayu akan terjejas kedudukan di negara ini, malahan mereka juga akan diheret beramai-ramai oleh pembangkan ke mahkamah kerana pembangkang akan selongkar apa saja, gali, korek, geledah apa sahaja untuk mencari jalan menyabitkan mereka ini dengan kegiatan-kegiatan salah sepanjang mereka jadi pemimpin sebelum ini.

    Jangan hairan dengan kelakuan puak PAS, PKR, dan DAP ini, mereka sangat berdendam dengan UMNO dan Barisan Nasional, mereka akan cari jalan untuk hancurkan UMNO dan Barisan Nasional hingga tidak boleh bangun lagi selepas PRU 14, mereka akan ubah sistem pilihanraya mengikut cara Singapura supaya kekuatan mereka makin kuat. Mereka akan cari dan usahakan untuk pemimpin sedia ada termasuklah pak kaduk, pak pandir, lebai malang penyokong membuta tuli Najib ini agar dihukum penjara atau hukuman yang lebih berat lagi dengan tuduhan-tuduhan politik. Ini semua pihak PAS, PKR, dan DAP boleh buat kerana mereka telah berkuasa, tidakkah melihat apa yang mereka buat di negeri-negeri yang dikuasai mereka seperti Selangor dan Penang, jika hanya baru menguasai negeri mereka sudah berani menyeringai menunjukkan taring, menunjukkan kuku, maka kalau berkuasa di Malaysia, maka mereka akan membaham dan menyiat-nyiat Barisan Nasional dan pimpinannya hingga hancur lebur.

    Sedarlah diri dan nilailah dengan penuh keinsafan.

    ReplyDelete
  4. Ahli UMNO yang ada kuasa atasan je taat..ahli UMNO bawahan ni dah curiga pada presiden..

    ReplyDelete