Showing posts with label DATO’ MOHD KHUSAIRI ABDUL TALIB. Show all posts
Showing posts with label DATO’ MOHD KHUSAIRI ABDUL TALIB. Show all posts

Tuesday, 11 June 2013

Ngeh Koo Ham kena ludah percuma




KENYATAAN AKHBAR
PENGERUSI BNBBC PERAK

Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan, Dato' Ngeh Koo Ham yang menyelar Kerajaan BN Perak kerana mengadakan Sidang DUN selama sehari pada 28 Jun ini ibarat 'meludah ke langit, terpercik ke muka sendiri'.

Pengerusi DAP Perak itu dalam akhbar Sinar Harian Edisi Perak hari ini mengeluarkan kenyataan yang tidak wajar dengan menuduh Kerajaan BN Perak takut untuk berdebat dan "masih dibayangi dengan kerajaan perompak kerana menjalankan sidang dewan dalam waktu yang singkat".

Koo Ham sepatutnya menyelidik kembali apakah yang sebenarnya berlaku semasa sidang dewan pertama sewaktu pakatan pembangkang memerintah Kerajaan Negeri Perak pada 2008.

Sidang pertama pada 25 April 2008 yang bermula pada 3.00 petang juga berlangsung selama beberapa jam sahaja, semata-mata bertujuan memilih Speaker dan Timbalan Speaker serta mengangkat sumpah oleh ADUN-ADUN.

Sudah menjadi kelaziman tidak ada perbahasan pada sidang pertama dewan pada awal penggal, dan ini juga berlaku semasa pakatan pembangkang memerintah Negeri Perak.

Selepas sidang pertama, Kerajaan PR Perak ketika itu mengambil masa dua bulan untuk mengadakan sidang berikutnya, iaitu dari 24-27 Jun 2008 yang ketika itu barulah sesi perbahasan dijalankan.

Nampaknya Koo Ham hanya pandai menuding dan 'meludah' muka orang lain, tetapi dia terlupa sebenarnya dia menuding dan meludah mukanya sendiri.

ADUN-ADUN pembangkang juga tidak banyak memainkan peranan yang aktif sepanjang tempoh sidang Dewan pada penggal lalu, yang hanya dipenuhi dengan adengan memboikot dan keluar beramai-ramai dari Dewan serta tidak berminat membahas dan membawa masalah rakyat.

Kebanyakan isu yang dibangkitkan oleh ADUN-ADUN PR sekadar berkisar isu politik negeri dan negara, tetapi kurang memberikan tumpuan kepada masalah-masalah rakyat termasuklah di Pasir Panjang, Sitiawan dan Pantai Remis ketika itu.

Kata-kata Koo Ham kononnya sidang Dewan tidak memberi banyak ruang untuk mereka membahaskan masalah rakyat adalah tidak masuk akal, kerana masa yang sepatutnya digunakan untuk tujuan itu telah disalahgunakan dan tidak ditumpukan kepada penyelesaian masalah rakyat.

Koo Ham sepatutnya mencermin diri dan partinya terlebih dahulu, sebelum melempar pelbagai tohmahan buruk kepada pihak lawan.

Dato' Mohd Khusairi Abdul Talib
Pengerusi BNBBC Perak
Adun Slim

11 Jun 2013

Sunday, 9 June 2013

BNBBC Perak bidas G.Palanivel




KENYATAAN AKHBAR
DATO MOHD KHUSAIRI ABDUL TALIB
PENGERUSI KELAB ADUN BN NEGERI PERAK (BNBBC PERAK)

Tindakan Dato G. Palanivel mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap Menteri Besar Perak, Dato Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkaitan perlantikan jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak telah meletakkan dirinya pada taraf bukan seorang presiden parti.

Dalam kenyataannya yang disiarkan oleh akhbar-akhbar arus perdana dan akhbar-akhbar Tamil hari ini, Palanivel jelas telah mengugut Dr. Zambry untuk MIC menolak sebarang jawatan dalam Kerajaan Negeri, termasuk Pegawai Khas, Ahli-ahli Majlis kerajaan tempatan dan Penasihat Kepada Menteri Besar jika parti itu tidak diberikan jawatan Speaker.

Tindakan Palanivel ini menggambarkan seolah-olah beliau bukanlah seorang presiden sebuah parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) yang sentiasa berpegang kepada prinsip muafakat dan menyelesaikan sebarang perkara melalui saluran.

Beliau sepatutnya berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan bagi mengelakkan beliau hilang kredibiliti selaku pemimpin.

Tindakan Palanivel mengugut Menteri Besar Perak adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan amat dikesalkan memandangkan Dr. Zambry sehingga kini tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan kedudukan Speaker.

Beliau tidak seharusnya menjadikan perkara perlantikan Speaker Dewan Negeri Perak dan Menteri Besar sebagai kambing hitam untuk mengukuhkan kedudukan dalam parti serta  menarik perhatian ahli-ahli MIC.

Oleh itu, janganlah Presiden MIC itu mencari alasan lain untuk mengembalikan popularitnya, termasuk mengheret urusan pentadbiran negeri dengan masalah politik yang sedang dihadapi beliau.

Kita percaya MB Perak tidak akan melupai masyarakat India dalam pentadbiran negeri. Malah ketika Palanivel tidak mengendahkan kedudukan jawatan kaum India dalam pentadbiran negeri, Dr. Zambry menambahkan lagi seorang pegawai khas, seorang Penasihat, selain tambahan senator.

Palanivel sepatutnya memikirkan dengan semasak-masaknya sebelum membuat sebarang kenyataan, dan menghormati jawatan Presiden sebuah parti komponen BN yang disandangnya.

DATO' MOHD KHUSAIRI ABDUL TALIB
TANJONG MALIM

9HB JUN 2013