Showing posts with label boustead. Show all posts
Showing posts with label boustead. Show all posts

Monday, 7 January 2013

Astacanggih jadi konduit bagi tutup mulut Deepak

Venue : Ibupejabat PKR, Merchant Square, Damansara, Selangor

Event : Sidang media Rafizi Ramli

Date : 7/1/2013 @ 11.30 am


1.
 2.



BAYARAN RM160 JUTA DANA PENCEN ANGKATAN TENTERA KEPADA ASTACANGGIH & AWAN MEGAH TIADA ASAS

Kenyataan Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Tan Sri Dato’ Sri Mohd Anwar Mohd Nor bahawa urusan pembelian Astacanggih dan Awan Megah oleh Boustead Holdings Berhad (“Boustead”) merupakan satu pelaburan yang baik adalah tidak masuk akal.

Sekiranya LTAT benar-benar berminat untuk mengambilalih syarikat ini, ada dua perkara penting yang perlu dipertimbangkan dalam menentukan nilaian syarikat-syarikat ini, iaitu:

1.      Tanah yang dimiliki oleh Awan Megah yang menentukan bayaran kepada Awan Megah. Nilaian yang dibuat oleh Boustead adalah RM130 juta kononnya untuk membeli tanah 223 ekar yang didakwa milik Awan Megah
2.      Nilai projek penswastaan dan keuntungan yang bakal diperolehi dari projek penswastaan Puspahanas. Nilaian yang dibuat oleh Boustead adalah RM30 juta untuk membeli saham Astacanggih dan RM130 juta kepada Awan Megah

Saya telah meneliti dokumen-dokumen yang diserahkan kepada saya untuk menentukan nilaian yang adil bagi urusan ini, jika LTAT dan Boustead benar-benar berminat mengambilalih syarikat ini berdasarkan pertimbangan komersil.

NILAIAN TANAH 223 EKAR

Saya merujuk kepada surat bertarikh 17 Julai 2009 dari Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan) kepada Pengarah Tanah dan Galian Negeri Selangor yang dilampirkan bersama.

Kandungan surat tersebut menyatakan rayuan Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak kepada keputusan Kerajaan Selangor yang menolak permohonan Kerajaan Persekutuan untuk memindahmilik tanah seluas 223 ekar kepada Awan Megah.

Ini bermakna, tanah seluas 223 ekar yang kononnya dibeli oleh Boustead itu masih lagi hakmilik Kerajaan Persekutuan dan tertakluk kepada kebenaran Kerajaan Selangor bagi kelulusan pindahmilik dan kelulusan pelan pembangunan.

Status terkini tanah 223 ekar itu adalah jelas: ia bukan hakmilik Awan Megah dan Kerajaan Selangor telah menetapkan bahawa ia tidak boleh dibangunkan kecuali bagi tujuan pembinaan markas, seperti mana tujuan asal tanah itu dipohon oleh Kerajaan Persekutuan dahulu.

Oleh yang demikian, pembayaran RM130 juta oleh anak syarikat Boustead kepada Awan Megah yang dimiliki Raja Ropiah Raja Abdullah, Ketua Wanita Umno Selangor samalah dengan memberi wang RM130 juta kepadanya tanpa ada apa-apa hasil kepada Boustead.

Jika urusniaga ini tetap berlaku, Boustead akan menyalahgunakan RM130 juta dana pencen anggota tentera untuk membayar 223 ekar tanah kepada Awan Megah yang tidak mempunyai hakmilik tanah itu.

PROJEK PENSWASTAAN PUSPAHANAS

Boustead terpaksa menyiapkan Puspahanas yang kini tergendala mengikut perjanjian dengan Astacanggih dan Awan Megah. Salah satu pertimbangan nilaian berjumlah RM160 juta (iaitu RM30 juta kepada Astacanggih dan RM130 juta kepada Awan Megah) adalah kos projek yang telah dilaksanakan oleh Awan Megah.

Tanggungan Awan Megah kepada Kerajaan Persekutuan untuk menyiapkan projek ini boleh dirujuk kepada Perjanjian Penswastaan muka surat 13, Perkara 3.3 mengenai Bon Tanah (“Land Bond”) yang perlu dibayar oleh Awan Megah.

Bon Tanah ini adalah satu bentuk jaminan kewangan yang bersamaan dengan jumlah keseluruhan projek penswastaan, iaitu pembinaan Puspahanas yang perlu dilaksanakan oleh Awan Megah. Sekiranya Awan Megah gagal menyiapkan projek, Kerajaan Persekutuan berhak menuntukan Bon Tanah ini untuk digunakan bagi menyiapkan projek tersebut.

Perjanjian Penswastaan secara jelas menyatakan bahawa Bon Tanah sebagai jaminan Awan Megah untuk menyiapkan Puspahanas hanyalah RM72.5 juta sahaja. Ini bermakna, kos keseluruhan Puspahanas hanyalah RM72.5 juta sahaja.

Dalam keadaan Puspahanas masih belum disiapkan dan nilainya RM72.5 juta sahaja, pembayaran RM160 juta oleh Boustead sudah tentu satu harga yang tidak masuk akal.

Oleh yang demikian, jelas bahawa urusniaga membabitkan RM160 juta ini hanyalah bayaran rasuah oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk menutup mulut Deepak dan memadamkan skandal ini.

Pembayaran sedemikian rupa bagi membeli tanah yang hakmiliknya tidak wujud dan projek yang jumlahnya jauh lebih rendah adalah satu pengkhianatan kepada anggota tentera dan penyelewengan yang melibatkan kepimpinan tertinggi negara.


RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN


Friday, 4 January 2013

Rafizi yakin dokumen Deepak adalah tulin

Venue : Ibupejabat PKR, Merchant Square, Damansara, Selangor

Event : Sidang media Rafizi Ramli

Date : 2/1/2013 @ 11.00






Penafian Deepak - Rafizi berjaya kawal imosi

Venue : Ibupejabat PKR, Merchant Square, Damansara, Selangor

Event : Sidang Media Rafizi Ramli 

Date : 3/1/2013 @ 11.00 AM


I have to admit that Rafizi did pretty well in handling yesterday's session with the media. 



'

DEEPAK MENYERAHKAN DOKUMEN KEPADA ORANG KETIGA, PIHAK BERKUASA WAJAR SIASAT

Saya sedia maklum reaksi Deepak Jaikishan mengenai dokumen-dokumen yang membabitkan syarikat-syarikat beliau yang kini didedahkan kepada umum.
Saya ingin mengesahkan beberapa perkara:

1.      Saudara Deepak memang menyerahkan sendiri dokumen-dokumen itu kepada individu tertentu yang dihubunginya sebelum ini dengan harapan ia akan dibawa oleh pimpinan KEADILAN;
2.      Beliau sebelum ini mendakwa dokumen-dokumen itu adalah bukti yang beliau ada mengenai salahlaku dan rasuah membabitkan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor;
3.      Selepas beberapa ketika, dokumen-dokumen itu diserahkan kepada saya oleh individu terbabit untuk disemak dan dipastikan kesahihannya, seperti amalan biasa di dalam KEADILAN;
4.      Saya tidak mengambil apa-apa tindakan kerana berpendapat ia tidak mempunyai unsur kepentingan awam sekiranya seseorang berbelanja besar memberi hadiah kepada seorang VIP tanpa ada bukti ada habuan atau projek yang terlibat;
5.      Berikutan tindakan Boustead Holdings Berhad mengumumkan akan membayar RM160 juta untuk membeli syarikat milik Saudara Deepak dan tanah dari Awan Megah Sdn Bhd, saya berpandangan ia membuka dimensi baru bahawa dakwaan Saudara Deepak sebelum itu berkaitan dengan kepentingan awam;
6.      Selepas menyemak dokumen-dokumen itu dan mendapatkan maklumat tambahan, saya yakin bahawa ia ada asas kukuh untuk disiasat oleh pihak berkuasa.

Oleh yang demikian, saya berpendapat kenyataan-kenyataan Saudara Deepak wajarlah dijadikan bukti dalam siasatan yang akan datang oleh pihak berkuasa memandangkan dokumen-dokumen itu melibatkan syarikat beliau dan urusniaga syarikat beliau (termasuklah slip pemindahan wang dari akaun syarikat beliau). Fakta-fakta ini tidak disanggah atau dinafikan oleh Saudara Deepak, sekadar enggan mengulasnya buat ketika ini.

Saya akan memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan. Saya juga telah berbincang dengan individu yang mendapat dokumen-dokumen ini dari Saudara Deepak dan beliau bersetuju untuk memberi keterangan bagi membuktikan bahawa dokumen-dokumen ini diperolehi dari Saudara Deepak.

Jelasnya, tindak tanduk dan tingkah laku Saudara Deepak sebelum ini tidak berkait dengan KEADILAN. Ia menyangkal percubaan Umno yang menuduh kononnya ini satu perencanaan oleh KEADILAN. Saudara Deepak sendiri menyatakan kekecewaan beliau kerana saya dan beberapa pimpinan KEADILAN dilihatnya keberatan untuk duduk berbincang dengan beliau.

Oleh yang demikian, saya telah berbincang dengan pimpinan parti dan bersetuju bahawa saya boleh bertemu dengan Saudara Deepak untuk meneliti bukti-bukti yang beliau ada, seperti yang didakwa sebelum ini.

Saya akan mengaturkan satu pertemuan dalam masa terdekat untuk mendengar perancangan beliau dan meneliti bukti-bukti yang didakwa beliau. Semoga ini akan membantu merungkai pelbagai persoalan mengenai integriti Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor yang semakin menjadi isu hangat.


RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN


Thursday, 3 January 2013

Rosmah disogok dengan barangan kemas RM13 juta?

Venue : Ibupejabat PKR, Merchant Square, Damansara, Selangor

Event : Sidang media oleh Rafizi Ramli

Date : 2/1/2013 @ 11.00 am


Kenyataan media oleh Rafizi Ramli (Full)



1.
 2.
 3.
 4.
 5.


DATIN SERI ROSMAH MANSOR PERLU JELASKAN DAKWAAN BAYARAN DIBUAT OLEH DEEPAK BAGI PEMBELIAN BARANG KEMAS MEWAH

Urusniaga pembayaran RM160 juta menggunakan dana pencen anggota tentera (melalui LTAT dan Boustead Holdings Berhad) kepada Astacanggih Sdn Bhd dan Awan Megah Sdn Bhd berlaku kerana Dato’ Seri Najib Tun Razak mahu menutup mulut Deepak dan mengelakkan pembongkaran beliau dari terus berlaku.

Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, keputusan pendek akal yang menggunakan dana pencen anggota tentera itu membayangkan bahawa dakwaan Deepak ada benarnya sehingga Dato’ Seri Najib Tun Razak mengambil risiko sedemikian rupa.

Oleh sebab itu, saya mula meneliti beberapa dokumen yang diserahkan kepada saya yang dikaitkan dengan Deepak dan hubungan baik beliau sebelum ini dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor.

Salah satu dari dokumen tersebut ialah mengenai pemindahan wang yang dibuat oleh syarikat-syarikat Deepak iaitu Carpet Raya Sdn Bhd dan Carpet Plus Sdn Bhd ke syarikat-syarikat barang kemas mewah di Hong Kong, yang didakwa Deepak sebagai pembelian barang kemas mewah oleh Datin Seri Rosmah Mansur yang dibayar oleh beliau.

Dokumen yang diserahkan kepada saya itu turut mengandungi invois dan penyata hutang dari dua buah syarikat barang kemas mewah di Hong Kong iaitu Firestone Co Ltd dan Dehres Ltd.

Setelah meneliti dokumen dan maklumat lanjut berhubung dakwaan Deepak itu, saya membuat kesimpulan bahawa ada asas kukuh supaya siasatan lanjut oleh pihak berkuasa dijalankan berdasarkan perkara-perkara berikut (sila rujuk dokumen dan bukti tambahan yang dikepilkan bersama, rujukan no adalah mengikut turutan penerangan):

1.      Dokumen tersebut mengandungi satu email dari Leona Wan, yang didakwa seorang kakitangan Dehres Ltd mengenai invois pembelian untuk Datin Seri Rosmah. Dehres Ltd adalah sebuah syarikat permata yang benar-benar wujud dan maklumat lanjut boleh didapati di laman www.dehres.com;

2.      Invois bernombor 23117 itu dialamatkan dan dibilkan kepada Carpet Raya Sdn Bhd, sebuah syarikat yang dikawal oleh Deepak bagi pembelian satu lot berlian bernilai USD115,000 (bersamaan RM408,250);

3.      Carpet Raya Sdn Bhd membayar jumlah yang sama iaitu USD115,000 kepada Dehres Ltd seperti yang dibuktikan dengan slip permohonan kiriman wang oleh Carpet Raya Sdn Bhd;

4.      Dokumen itu juga mengandungi beberapa invoice dari Firestone Co Ltd. Salah satunya adalah bertarikh 10 Mac 2009 bagi pembelian beberapa barang kemas. Salah satu dari barang kemas yang dibeli adalah cincin berlian bernombor Lot DR2763;

5.      Semakan dengan agensi perdagangan Hong Kong (iaitu HKTDC) menunjukkan bahawa Firestone Co. Ltd. memang benar-benar wujud dan terlibat di dalam perniagaan barang kemas mewah;

6.      Semakan lanjut dengan Firestone Co. Ltd. yang memaparkan contoh-contoh barang kemas mewah di dalam koleksinya mengesahkan bahawa cincin berlian bernombor Lot DR2763 benar-benar wujud dan sama dengan butiran yang diberikan di dalam invois. Ini mengesahkan bahawa invois dari Firestone Co. Ltd. adalah benar dan bukan palsu;

7.      Pembelian barang-barang kemas mewah bernilai USD1.5 juta (bersamaan RM5.325 juta) dibayar dengan beberapa kiriman wang seperti yang dibutirkan di dalam penyata hutang yang dikeluarkan oleh Firestone Co. Ltd. (2 kiriman wang itu bertarikh 14 April 2009);

8.      Kiriman wang kepada Firestone Co. Ltd. bertarikh 14 April 2009 itu padan dengan slip permohonan kiriman wang yang dibuat oleh Carpet Raya Sdn Bhd bertarikh 13 April 2009. Ini menguatkan dakwaan Deepak bahawa pembelian barang kemas mewah dari Firestone Co. Ltd. dibayar oleh beliau melalui syarikat-syarikatnya;

9.      Malah, syarikat beliau iaitu Carpet Plus Sdn Bhd turut membayar USD116,730 (bersamaan RM414,425) kepada Firestone Co. Ltd. bertarikh 4 September 2009 seperti yang dibuktikan oleh slip permohonan kiriman wang. Ini mengesahkan dakwaan Deepak bahawa beliau ada membuat beberapa siri pembayaran kepada syarikat itu;

10.  Penelitian terhadap dokumen-dokumen yang dikemukakan Deepak ini menunjukkan dakwaan beliau ada asasnya. Dokumen-dokumen tersebut mengesahkan bahawa pembelian barang kemas mewah ada berlaku dan ia dibayar melalui syarikat-syarikatnya iaitu Carpet Raya Sdn Bhd dan Carpet Plus Sdn Bhd; dan

11.  Penyata hutang dari Firestone Co. Ltd. mengesahkan bahawa pembelian barang kemas mewah yang dikaitkan dengan Datin Seri Rosmah Mansor dalam tahun 2009 berjumlah USD3.66 juta (bersamaan RM13 juta).

Dakwaan Deepak bahawa beliau membayar pembelian barang kemas mewah berjumlah RM13 juta dalam tempoh 3 bulan oleh Datin Seri Rosmah Mansor adalah satu dakwaan yang sangat serius, apatah lagi apabila beliau menampilkan dokumen-dokumen sebagai bukti.

Sebab itu, tindakan tergopoh-gapah Dato’ Seri Najib Tun Razak yang mengheret dana pencen anggota tentera untuk membayar RM160 juta kepada Deepak dan Ketua Wanita Umno Selangor seolah-olah mengiyakan pandangan umum bahawa beliau mula panik dengan pendedahan yang dibuat oleh Deepak.

Saya percaya perkara ini wajar disiasat sepenuhnya. Beberapa laporan kepada pihak berkuasa akan dibuat dalam tempoh seminggu dari sekarang berkenaan perkara ini agar ia dapat disiasat segera.


RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
2 JANUARI 2013

Tuesday, 1 January 2013

Kerajaan Selangor akan gagalkan transaksi Deepak

Venue : Ibupejabat PKR, Merchant Square, Damansara, Selangor

Event : Sidang media oleh Rafizi Ramli mengenai isu penjualan aset Deepak & LTAT

Date : 31/12/2012 @ 11.00 am






BAYARAN RM160 JUTA KEPADA ASTACANGGIH/AWAN MEGAH JEJASKAN PROJEK-PROJEK KEMENTERIAN PERTAHANAN DAN MERUGIKAN ANGGOTA TENTERA

Pembayaran yang telah dan akan dibuat kepada Astacanggih Sdn Bhd (“Astacanggih”) dan Awan Megah Sdn Bhd (“Awan Megah”) berjumlah RM160 juta akan menggunapakai dana sedia ada dan pinjaman baru yang terpaksa diambil oleh Bakti Wira Sdn Bhd (“Bakti Wira”).

Bakti Wira adalah anak syarikat milik penuh Boustead Holdings Berhad (“Boustead”). Saham majoriti Boustead dikuasai oleh Lembaga Tabung Amanah Tentera (“LTAT”) iaitu sebanyak 61.36% (rujuk Laporan Kewangan Tahunan Boustead yang terkini mukasurat 212, setakat 29 Februari 2012). Saham selebihnya di dalam Boustead dipegang oleh pelabur minoriti.

Oleh yang demikian, keputusan Dato’ Seri Zahid Hamidi mengarahkan Boustead (melalui anak syarikat Bakti Wira) membuat pinjaman baru untuk membayar RM160 juta kepada Astacanggih dan Awan Megah adalah keputusan yang melibatkan kepentingan dan kebajikan anggota tentera serta pelabur minoriti di dalam Boustead.

Sekiranya pelaburan ini tidak baik dan membebankan Bakti Wira, ia akhirnya akan merugikan anggota tentera dan pelabur minoriti yang terpaksa menanggung kerugian gara-gara tindakan cemas Dato’ Seri Najib Tun Razak yang mahu menutup mulut Deepak.

Bakti Wira juga mempunyai sebuah anak syarikat yang menjalankan kerja pembinaan iaitu Jendela Hikmat Sdn Bhd (“Jendela Hikmat”). Syarikat ini diberikan beberapa kontrak penswastaan yang besar oleh Kementerian Pertahanan, termasuklah projek berjumlah RM230 juta untuk membina dan menyiapkan Kem Muara Tuang, Sarawak.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 mengkritik Jendela Hikmat kerana gagal menyiapkan projek tersebut walaupun telah diberi lanjutan tempoh masa sebanyak 3 kali. Pada ketika itu, Jendela Hikmat memberi alasan bahawa ia berdepan dengan kesempitan kewangan akibat kenaikan kos barang pembinaan sehingga menjejaskan projek yang dilaksanakannya.

Justeru, sekiranya Bakti Wira terpaksa mengambil pinjaman sebanyak RM160 juta untuk membayar Astacanggih dan Awan Megah, bebanan hutang yang baru ini sudah tentu akan melemahkan lagi kedudukan kewangannya yang seterusnya menjejaskan keupayaan Jendela Hikmat menyiapkan projek-projek kerajaan.

Semakan prestasi kewangan terkini Bakti Wira yang difailkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia mengesahkan risiko kewangan yang ditanggungnya berikutan arahan membayar RM160 juta kepada Astacanggih dan Awan Megah.

Bakti Wira yang mengalami kerugian sebanyak RM565,923 bagi tahun 2011 itu terpaksa menanggung kos hutang sekurang-kurangnya RM6.5 juta setiap tahun. Besar kemungkinan, kerugian yang dialami bagi tahun 2012 dan tahun-tahun mendatang lebih teruk dan berpanjangan akibat hutang RM160 juta yang terpaksa ditanggungnya.

Kedudukan kewangan Bakti Wira juga akan dilemahkan dengan hutang RM160 juta yang terlalu besar berbanding dengan asetnya yang kecil iaitu sekitar RM50 juta sahaja. Tambahan lagi, tanah yang kononnya dibeli itu besar kemungkinan tidak dapat dipindahmilik, menyebabkan tidak ada aset baru yang boleh disuntik untuk mengimbangi hutang RM160 juta yang diambil untuk membayar Astacanggih dan Awan Megah.

Maka, keputusan membayar RM160 juta kepada Astacanggih dan Awan Megah ini adalah keputusan yang benar-benar merugikan anggota tentera yang menabung di dalam LTAT dan pelabur minoriti Boustead yang turut sama terjejas.

KEADILAN akan bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan bekas anggota tentera termasuk PAHLAWAN dan KERABAT untuk menggerakkan kempen mendesak LTAT menghentikan urusniaga ini secepat mungkin.

KEADILAN juga akan menulis secara rasmi kepada Badan Pengawas Saham Minoriti Berhad (Minority Shareholder Watchdog Group)untuk segera campur tangan di peringkat Boustead bertujuan menghentikan urusniaga ini secepat mungkin.

Desakan dari kedua-dua kumpulan ini dan keputusan Kerajaan Selangor untuk menghalang pemindahan tanah 200 ekar yang cuba dijual (seperti yang diumumkan Pejabat Menteri Besar Selangor semalam) akan menghalang RM160 juta dana awam dari disalahguna bagi kepentingan peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Sewajarnya, Dato’ Seri Najib Tun Razak perlu berdepan dengan pelbagai tuduhan yang dibuat oleh Deepak dan menyaman Deepak di mahkamah sekiranya tuduhan itu tidak benar, bukannya menyalahgunakan dana awam untuk merasuah Deepak dan Ketua Wanita Umno Selangor seperti ini.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
31 DISEMBER 2012 


Saturday, 29 December 2012

Cubaan Zahid Hamidi nak jadi HERO kepada Najib?

Venue : Ibupejabat PKR, Merchant Square, Damansara, Selangor

Event : Sidang Media Rafizi Ramli on Deepak / LTAT urusniaga

Date : 29/12/2012 @ 11.00 am




  



DAKWAAN DEEPAK ADA ASAS, WANG RAKYAT DISALAHGUNA UNTUK MENUTUP MULUT DEEPAK

Pada 30 November 2012, Dato’ Seri Zahid Hamidi mengumumkan kepada wartawan dan Perhimpunan Agong Umno bahawa beliau akan menjawab dan mematahkan tuduhan Deepak yang mengaitkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak dengan pelbagai salahlaku.

Malangnya, keesokan harinya, pada 1 Disember 2012 beliau tidak mengotakan janjinya itu. Tuduhan-tuduhan Deepak kekal tidak dijawab oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Saya beranggapan itu strategi Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Dato’ Seri Zahid Hamidi – iaitu untuk tidak mengendahkan tuduhan-tuduhan tersebut atas alasan ia tuduhan liar tanpa bukti. Sehingga saat itu pun, rakyat masih samar-samar mengenai bukti yang dikemukakan oleh Deepak, apatah lagi keterlibatan Deepak dengan keluarga Dato’ Seri Najib Tun Razak menimbulkan tanda tanya mengenai motif dan kredibiliti beliau.

Oleh sebab itu, KEADILAN tidak memberi sebarang reaksi mengenai tuduhan-tuduhan tersebut, kecualilah menuntut agar ia disiasat segera.

Ternyata anggapan saya itu tidak tepat. Tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh Deepak dipandang serius dan dibuktikan benar-benar mencemaskan Dato’ Seri Najib Tun Razak, sehingga tugas untuk menyelesaikan kemelut ini diserahkan kepada Dato’ Seri Zahid Hamidi.

Walaupun awalnya Dato’ Seri Zahid Hamidi mengelak dari memberi jawapan, jalan penyelesaian yang beliau laksanakan mengikut perintah Dato’ Seri Najib Tun Razak akhirnya terbongkar kepada umum pada 27 Disember 2012.

Urusniaga mengejut melibatkan pembayaran RM30 juta untuk membeli 80% saham terbitan Astacanggih dan RM130 juta untuk membeli 200 ekar tanah dari Awan Megah Sdn Bhd adalah satu salahguna kuasa oleh Dato’ Seri Zahid Hamidi dan Dato’ Seri Najib Tun Razak bertujuan untuk menutup mulut Deepak dan menyelesaikan skandal ini yang kian merebak.

Urusniaga ini akan dibiayai sepenuhnya oleh Bakti Wira Development Sdn Bhd, sebuah syarikat pelaburan hartanah yang dimiliki sepenuhnya oleh Boustead Holdings Berhad, milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Modal dan aktiviti Boustead Holdings Berhad banyak bergantung kepada caruman dari potongan gaji anggota tentera yang disalurkan melalui LTAT. Sebagai menteri yang bertanggungjawab memikul amanah ini, Dato’ Seri Zahid Hamidi haruslah berhati-hati dalam memastikan pelaburan yang dibuat oleh Bakti Wira Development Sdn Bhd adalah pelaburan yang terbaik untuk kepentingan anggota tentera.

Sebab itu, sekiranya urusniaga ini diteliti, ia sudah tentu tidak menepati apa-apa garis panduan pelaburan baik berdasarkan perkara-perkara berikut:
1.      Astacanggih adalah sebuah syarikat yang tidak mempunyai aset mahupun rekod perniagaan yang baik. Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan ia tidak pernah pun memfailkan penyata kewangannya. Selain modal berbayar sebanyak RM20 juta, syarikat ini dibebankan dengan hutang sebanyak RM98 juta dari Kuwait Finance House (mengikut rekod SSM);
2.      Nilaian RM30 juta bagi 80% saham terbitan Astacanggih itu tidak ada asas. Kenyataan Boustead Holdings Berhad bahawa nilaian RM30 juta itu dicapai atas persetujuan bersama pembeli dan penjual membuktikan bahawa urusniaga ini dibuat berdasarkan pertimbangan politik, bukan pertimbangan pelaburan komersil;
3.      Pembayaran RM130 juta terhadap 200 ekar tanah yang statusnya masih belum dipindahmilik kepada Awan Megah Sdn Bhd bermakna Dato’ Seri Zahid Hamidi mengambil wang sebanyak RM130 juta dari caruman anggota tentera untuk membayar syarikat milik seorang pimpinan Umno tanpa ada sebarang pertukaran aset, kerana tanah 200 ekar itu masih belum dipindahmilik kepada Awan Megah Sdn Bhd;
4.      Nilaian RM130 juta bagi 200 ekar tanah tersebut juga dibuat tanpa menggunakan penilaian bebas, semata-mata atas dasar persetujuan yang dicapai di antara penjual dan pembeli;
5.      Pengumuman rasmi Boustead Holdings Berhad kepada Bursa Malaysia memberi alasan bahawa pembelian tanah itu bertepatan dengan bank tanah sedia ada milik anak syarikat Boustead (iaitu Jendela Hikmat Sdn Bhd) di kawasan berhampiran (rujuk perenggan 4 pengumuman). Walau bagaimana pun, semakan rekod menunjukkan tanah seluas 236 hektar yang dipindahmilikkan kepada Jendela Hikmat Sdn Bhd dinilai pada RM230 juta pada akhir tahun 2005 (rujuk laporan akhbar Utusan Malaysia yang disertakan bersama);
6.       Ini bermakna tanah sekitar kawasan yang sudah dimiliki oleh Boustead Holdings Berhad dinilai sekitar RM390,000 seekar, berbanding urusniaga terkini melibatkan Awan Megah yang membayar RM650,000 seekar ke atas tanah yang statusnya belum dipindahmilik.

Jelas bahawa urusniaga ini bukanlah urusniaga yang lulus pertimbangan komersial dan panduan pelaburan LTAT.

Saya hanya boleh simpulkan bahawa urusniaga ini dibuat semata-mata untuk menutup mulut Deepak dan memadamkan skandal ini. Makanya, tindakan tidak berwaspada Dato’ Seri Zahid Hamidi yang menyalahgunakan kuasanya dengan mengarahkan LTAT membayar RM160 juta mengesahkan bahawa dakwaan Deepak itu benar, sehingga mencemaskan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Oleh itu, saya akan mula meneliti dan mendedahkan pembayaran yang dibuat oleh Deepak terhadap pihak tertentu yang dikaitkan dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak, memandangkan sudah jelas bahawa dakwaan Deepak itu ada kredibiliti dan kebenarannya.

KEADILAN akan mengadakan sidang media pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat minggu depan jam 11 pagi mengenai pendedahan ini.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
29 DISEMBER 2012