KENYATAAN
MEDIA YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Dalam isu melibatkan kebebasan memilih agama termasuk
penganut agama Islam seperti yang dinyatakan oleh Nurul Izzah, ramai pihak
telah mengemukakan pandangan masing-masing.
Jelas kelihatan ada dua pandangan daripada dua
kumpulan. Pertama, pandangan yang menyokong dan mempertahankan pendirian Nurul Izzah.
Kedua, pandangan ahli-ahli akademik yang berautoriti dan pimpinan masyarakat yang
menyanggah kenyataan Nurul Izzah. Nurul Izzah disifatkan sebagai jahil dalam
agama Islam disamping umur yang terlalu muda untuk mengulas hal-hal akidah yang
begitu berat konotasi dan implikasi.
Saya tertarik dengan kenyataan yang dibuat oleh
pimpinan parasit PAS. Dr Zulkifli Ahmad dan Khalid Samad telah membuat
kenyataan membela dan mempertahankan pandagan Nurul Izzah dengan alasan bahawa
mereka yang menyanggah kenyataan Nurul Izzah tidak memahami maksud sebenar
kenyataan Nurul Izzah itu dan tidak mengikuti penerangan lanjut yang diberikan
dalam lokasi yang berlainan.
Dr Zulkifli Ahmad menyentuh persoalan bahawa Duli Yang
Maha Mulia Sultan Selangor yang dilihat begitu tegas mengeluarkan kenyataan
menyanggah apa yang disebutkan oleh Nurul Izzah sambil Baginda mengharapkan
kenyataan-kenyataan sedemikian tidak berulang lagi demi menjaga kesucian agama
Islam sebagai agama Persekutuan.
Saya membaca kenyataan Dr Zulkifli Ahmad dalam dua
keadaan. Pertama, Dr Zulkifli seolah-olah cuba menasihatkan Sultan supaya
memperolehi gambaran yang jelas sebelum membuat kenyataan. Kedua, Dr Zulkifli
juga bagi saya merendahkan martabat Baginda Sultan yang terkenal dengan sifat
sangat berhati-hati sebelum mengeluarkan
sebarang kenyataan. Biasanya Baginda akan merujuk kepada mereka yang
berautoriti untuk mendapatkan kepelbagaian pandangan dan setelah itu membuat
satu keputusan dan rumusan setelah dihadam selumat-lumatnya.
Agak lucu bagi saya bila Dr Zulkifli mengatakan bahawa
beliau cukup rapat dengan Tuanku Sultan. Sejak bila pula beliau cukup rapat
dengan Tuanku? Sebagai Ahli Majlis Agama
Islam Negeri Selangor dan bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor yang
dipertanggungjawabkan kepada portfolio Agma Islam saya tidak pernah melihat
batang tubuh Dr Zulkifli di dalam majlis yang melibatkan Baginda Sultan
khususnya dalam acara-acara mengenai Islam dan Adat Istiadat Melayu.
Sekali lagi saya merasakan Dr Zulkifli meletakkan
dirinya terlalu tinggi hingga berasakan Institusi Kesultanan dan batang tubuh Tuanku
Sultan boleh “dipermainkan" sesuka hati.
Bagi mereka yang mengenali Dr Zulkifli, sudah tentu dapat
merasakan satu perbezaan yang agak nyata di antara Dr Zulkifli sebagai seorang
intelek dan penggerak Islam dengan Dr Zulkifli sebagai ahli politik yang kini
bersekongkol dengan Dato Seri Anwar Ibrahim dan DAP. Kini apa yang disuarakan
adalah bayangan suara Anwar Ibrahim. Sebab itu bila anak Anwar Ibrahim
mengeluarkan kenyataan “carbon copy” ayahandanya, antara pimpinan PAS yang
melompat mempertahankan pendirian Nurul Izzah ialah Dr Zulkifli hingga beliau
sanggup merendahkan martabat istana dan Ke Bawah Duli Tuanku untuk dijadikan
justifikasi mengiakan pandangan Nurul Izzah itu.
YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI
TTDI Kuala Lumpur
8 November 2012

