Google+ Followers

Sunday, 9 June 2013

BNBBC Perak bidas G.Palanivel




KENYATAAN AKHBAR
DATO MOHD KHUSAIRI ABDUL TALIB
PENGERUSI KELAB ADUN BN NEGERI PERAK (BNBBC PERAK)

Tindakan Dato G. Palanivel mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap Menteri Besar Perak, Dato Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkaitan perlantikan jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak telah meletakkan dirinya pada taraf bukan seorang presiden parti.

Dalam kenyataannya yang disiarkan oleh akhbar-akhbar arus perdana dan akhbar-akhbar Tamil hari ini, Palanivel jelas telah mengugut Dr. Zambry untuk MIC menolak sebarang jawatan dalam Kerajaan Negeri, termasuk Pegawai Khas, Ahli-ahli Majlis kerajaan tempatan dan Penasihat Kepada Menteri Besar jika parti itu tidak diberikan jawatan Speaker.

Tindakan Palanivel ini menggambarkan seolah-olah beliau bukanlah seorang presiden sebuah parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) yang sentiasa berpegang kepada prinsip muafakat dan menyelesaikan sebarang perkara melalui saluran.

Beliau sepatutnya berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan bagi mengelakkan beliau hilang kredibiliti selaku pemimpin.

Tindakan Palanivel mengugut Menteri Besar Perak adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan amat dikesalkan memandangkan Dr. Zambry sehingga kini tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan kedudukan Speaker.

Beliau tidak seharusnya menjadikan perkara perlantikan Speaker Dewan Negeri Perak dan Menteri Besar sebagai kambing hitam untuk mengukuhkan kedudukan dalam parti serta  menarik perhatian ahli-ahli MIC.

Oleh itu, janganlah Presiden MIC itu mencari alasan lain untuk mengembalikan popularitnya, termasuk mengheret urusan pentadbiran negeri dengan masalah politik yang sedang dihadapi beliau.

Kita percaya MB Perak tidak akan melupai masyarakat India dalam pentadbiran negeri. Malah ketika Palanivel tidak mengendahkan kedudukan jawatan kaum India dalam pentadbiran negeri, Dr. Zambry menambahkan lagi seorang pegawai khas, seorang Penasihat, selain tambahan senator.

Palanivel sepatutnya memikirkan dengan semasak-masaknya sebelum membuat sebarang kenyataan, dan menghormati jawatan Presiden sebuah parti komponen BN yang disandangnya.

DATO' MOHD KHUSAIRI ABDUL TALIB
TANJONG MALIM

9HB JUN 2013