Showing posts with label kenyataan media. Show all posts
Showing posts with label kenyataan media. Show all posts

Saturday, 14 May 2016

Kutipan tandatangan #deklarasirakyat mendapat sambutan luar jangkaan

Acara : Sidang media oleh Tun Dr Mahathir mengenai status #deklarasirakyat

Lokasi : Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya

Tarikh : 13/5/2016



Video 1 - Kenyataan media oleh Tun Dr Mahathir (FULL)

Secara ringkas nya :

1. 1,271,000 (1.2 juta) tandatangan telah berjaya dikumpulkan melalui gerakan #deklarasirakyat sejak 4/3/2016
2. Sejumlah 254,505 borang telah ditolak kerana rosak.



Video 2 - Najib Razak lah yang menjadi pencetus kepada perpaduan pelbagai kaum dalam gerakan #deklarasirakyat melalui pinjaman RM42 billion 1MDB



Video 3 - PM Najib Razak sedarlah sebelum UMNO musnah kerana tahap kebencian rakyat Malaysia terhadap beliau semakin meningkat.




Foto 360 darjah



1
 2
 3
 4
 5
 6
 7
 8
 9
 10

Friday, 4 March 2016

TSMY pilih untuk berjuang sebagai ahli UMNO

Acara : Sidang media Tan Sri Muhyiddin Yassin 

Lokasi : Epicure 1, Jalan Media Setia 1, Bukit Damansara, Kuala Lumpur

Tarikh : 3/3/2016


Video 1  - Kenyataan Media dan jawapan kepada sesi Q & A (FULL)



Video 2 - Rules of law telah diketepikan pengurusan UMNO dalam membuat keputusan keatas ahli UMNO yang bercanggah pandangan mengenai kepimpinan UMNO termasuk lah keputusan yang telah diambil keatas TSMY



Video 3 - Mukhriz memilih untuk mengkritik dari dalam UMNO  dan tidak mengecewakan ahli UMNO Jerlun yang beliau wakili sebagai Ketua Bahagian



1 
 2
 3
 4
 5
 6
 7
 8
 9
 10
 11
 12
 13
 14


Wednesday, 26 August 2015

Thank you KJ - TSMY




KENYATAAN MEDIA

YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PRESIDEN UMNO

26 OGOS 2015

Saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada YB Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO, dan barisan Exco Pemuda UMNO Malaysia atas kenyataan berani mengenai hal ehwal negara khususnya tentang isu yang menjejaskan imej negara seperti 1MDB dan derma politik RM 2.6 bilion kepada Perdana Menteri. Saya amat menghormati dan menghargai pandangan berani Ketua Pemuda yang saya percaya dibuat berlandaskan prinsip kebenaran dan keadilan yang teguh berpandukan ajaran Islam.
Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih atas sokongan Saudara Khairy kepada kedudukan saya sebagai Timbalan Presiden UMNO yang dipilih oleh para perwakilan dalam pemilihan parti. Ucapan penghargaan dan terima kasih juga saya tujukan kepada sahabat-handai, ahli-ahli Umno akar umbi dan rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memberikan sokongan, dorongan dan kata-kata semangat kepada saya supaya meneruskan perjuangan menegakkan kebenaran demi menyelamatkan UMNO, bangsa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya.

Saya menyokong sepenuhnya pendirian Pemuda UMNO dalam meletakkan semula Malaysia pada landasan yang betul. Saya ingin mengingatkan jika kita gagal menangani kemelut yang melanda negara kita secara berani dan berdepan atau “take the bulls by the horns”, saya bimbang Malaysia akan terjerumus ke dalam kancah negara yang gagal (failed state). Iklim ekonomi dunia yang tidak menentu, nilai ringgit yang semakin merudum, kemelut politik yang luar biasa, kenaikan harga barang dan kos sara hidup, kebanjiran warga asing yang tidak terkawal dan sentimen pelabur yang dingin terhadap Malaysia merupakan bibit-bibit yang boleh menyebabkan Malaysia menjadi sebuah negara yang gagal. Mudah-mudahan Allah s.w.t. menjauhi kita daripada sebarang malapetaka, na’uzubillahi min zalik.

Atas kesedaran inilah saya tidak putus-putus mengingatkan rakan-rakan saya di dalam kerajaan supaya mengambil langkah-langkah pembetulan dengan segera. Sebagai Timbalan Presiden UMNO, saya menyampaikan kebimbangan saya melalui platform parti, iaitu di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi dan ketika merasmikan mesyuarat-mesyuarat perwakilan UMNO bahagian yang saya dijemput hadir sebagai perasmi. Saya lakukan ini kerana saya sayangkan UMNO. Pemimpin datang dan pergi, tetapi parti mesti terus kukuh dan utuh untuk meneruskan perjuangan membela agama, bangsa dan negara.

Namun, malangnya terdapat segelintir individu di dalam UMNO sendiri yang lantang mengkritik saya. Lumrah apabila seseorang itu tidak lagi berjawatan tinggi di dalam kerajaan, maka akan ada segelintir manusia yang tidak lagi menghormati, malah mengecam kita. Mereka ini ada antaranya yang pernah saya bantu ketika saya berada di dalam kerajaan. Mereka menuduh saya menjadi pengkhianat, menuntut supaya saya dihadapkan ke Lembaga Disiplin dan mendesak saya supaya meletak jawatan. Seorang Ketua Bahagian di negeri Selangor antara yang paling kuat mendesak saya meletak jawatan sedangkan ahli di bahagiannya sendiri menuntut dia meletak jawatan. Semua ini dibuat semata-mata kerana saya bercakap benar demi untuk menyelamatkan parti.

Kepada mereka ini ingin saya ingatkan. Sejarah sumbangan saya kepada UMNO cukup panjang. Saya telah berjuang di dalam UMNO lebih 40 tahun. Malah, ketika UMNO diharamkan dahulu, saya mengambil tanggungjawab untuk membina semula UMNO di Johor sehingga UMNO kembali kuat dan negeri Johor menjadi penyumbang terbesar kemenangan UMNO dan Barisan Nasional dalam setiap pilihanraya umum. Saya juga tetap setia bersama parti ketika UMNO menghadapi pelbagai krisis. Jadi, janganlah terlalu mudah menuduh saya sebagai pengkhianat dan mendesak saya meletak jawatan.

Namun, semua ini tidak akan mematahkan semangat saya, apa lagi melemahkan daya juang saya untuk terus membela maruah agama, bangsa dan negara. Saya yakin bangsa Melayu tidak akan menjadi bangsa yang dihina selagi kita berpegang teguh kepada ajaran Islam, menjadikan prinsip kebenaran dan keadilan sebagai panduan dalam kehidupan dan dipimpin oleh pemimpin yang amanah dan bertakwa kepada Tuhan.

Kepada Allah saya berserah.


TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PRESIDEN UMNO

Sunday, 1 March 2015

Tok Him - Petisyen Pengampunan hanya tektik beli masa Anwar.


File Pic...

KENYATAAN MEDIA TOK HIM PRESIDEN PERKASA:

Keluarga Anwar Mohon Pengampunan dgn  DYMM Seri Paduka Yang Di Pertuan Agung (SPYDPA). Anwar sendiri selaku orang bersalah tidak mohon pengampunan. Bagaimana Lembaga Pengampunan untuk pertimbangkan kalau yg tertuduh sendiri tidak memohon?

Mahkamah Persekutuan sudah buat keputusan Anwar bersalah. Maka semua hak Anwar termasuk sebagai MP terlucut secara otamatik. Apakah dgn rayuan yg di buat olih keluarga kpd Lembaga Pengampunan; maka hak Anwar tidak terjejas dari segi undang2 ?. 

Kalau ini tafsir atau SOP Undang2, kenapa Anwar di hantar ke penjara ?. Lembaga Pengampunan bukan sebahagian dari Sistem Kehakiman  Mahkamah Negara. Mengikut tafsir Anwar sudah hilang hak segala galanya secara otamatik dihari Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman. 

Malah yg merayu bukan orang bersalah. Bagaimana orang yg tidak dihukum merayu. BUKA N KAH ANEH ? Ini tektik kerenah politik beli masa. Manakala anaknya Nurul MP Lembah Pantai mahu bapa nya minum teh dgn YDPA. Macam mana Anwar nak minum teh kalau tangan nya bergari ?Anwar nak pegang cawan utk minum mcm mana? 

SOP banduan; bila di bawa keluar dari penjara tangan bergari. Maka apakah Anwar layak duduk bersama dgn YDPA dan tangan pula bergari. YDPA adalah RAJA PAYUNG NEGARA. Mana bolih semeja dgn banduan.

Saya berkata hal sebenar dan bukan mahu menghina sesiapa.Tidak ada sesiapa pun bolih mengatasi undang2. Buatlah cara yg betul. Anwar merayu sendiri sbagai orang yg di hukum bersalah olih Mahkamah.Itu hakikat dan realiti nya. Bersabar, insaf dan Allah Maha Pengampun.

Saya juga turut berdoa akan kesejahteraan kawan setahanan saya ini dulu selama 2 tahun. Saya nak beritahu pd Nurul anak Anwar, ada masa nya bapanya bolih minum teh dgn YDPA kemudian hari jika ada rezki. Cuma lakukan perkara yg betul.

Saya pun, yg tidak jadi banduan dan Presiden NGO pun, tidak mudah untuk dapat mengadap, apatah lagi nak minum teh dgn YDPA. Raja yg bersembahyang di singahsana dgn penuh Daulat Payung Negara bukan bolih buat main2. Daulat Tuanku...Tok Him Presiden Perkasa.



PS - Kenyataan ini Tok Him taip menggunakan talipon bimbit beliau
 

Monday, 4 August 2014

KUASA - Selesaikan kemelut MB segera secara demokrasi

Praba Ganesan, bekas Pengarah Strategik Media Sosial PKR


1 OGOS, 2014
KENYATAAN MEDIA

Kenyataan KUASA berhubung dengan ketidakpastian jawatan Mentri Besar Selangor

Kedudukan Mentri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim, samada beliau akan diganti atau tidak, perlu diselesaikan secara sah dan terbaik, dalam masa tersingkat. Situasi ini yang sudah lama berlarutan, seumpama perlawanan bola yang seri, tidak sihat untuk negeri merah kuning. 

Pada masa yang sama, cara situasi ini diselesaikan akan menentukan status demokrasi di Selangor pada masa ini. Ini termasuk penilaian institusi-institusi dan pihak-pihak seperti Mentri Besar, parti-parti yang membentuk majoriti kini, Dewan Undang-undang Negeri, mahkamah dan Surahanjaya Pilihan Raya.

Kenyataan ini tidak menyokong sebarang individu mahupun parti-parti politik yang terlibat dalam perkembangan ini. Yang pasti, cara isu ini bercabang  amat dikesali.

Kedudukan Tan Sri Khalid sering disoal dalam tiga tahun kebelakangan ini, khususnya samada beliau patut terus diberi mandat untuk mentadbir negeri terkaya di Malaysia. Walaupun setiap pemimpin politik di jangka akan dikritik dan terus dikritik oleh lawannya, ia tidak memberangsangkan apabila ahli politik dari parti/sekutu  sendiri menyerang berterusan pemimpin tersebut. Ini menjana satu environmen yang negatif.

KUASA akan mengelak dari memberi komen berkenaan parti-parti politik yang terlibat. Yang penting di sini adalah masa depan demokrasi di Selangor.

Apa yang perlu berlaku, supaya ada jalan penyelesaian yang baik, adalah yang berikut:
  1. Tan Sri Khalid perlu menyatakan secara terang-benderang samada dia menerima keputusan parti beliau, Parti Keadilan Rakyat (PKR), untuk menggantikannya sebagai Mentri Besar. Sebagai ahli, pemegang pejabat dan pemimpin PKR, ini adalah tindakan yang paling berhemah dalam situasi yang kini wujud.
  2. PAS Selangor, dibawah Persuruhjaya Iskandar Abdul Samad, perlu menyatakan samada parti Islam ini setuju dengan sekutunya dalam Pakatan Rakyat, PKR dan DAP, yang ingin menggantikan Tan Sri Khalid. Terutama oleh kerana kenyataan-kenyataan daripada pemimpin-pemimpin tertinggi nasional PAS telah meningkatkan tahap ketidakpastian di Selangor.  Apa yang penting adalah hala tuju PAS dalam perkembangan ini, pada masa ini samada PAS Selangor berpihak kepada Tan Sri Khalid atau tidak.
  3. PKR perlu memberi kaedah dan jadual waktu untuk niatnya menggantikan Tan Sri Khalid. Ketidakpastian memudaratkan keadaan dan meningkatkan ketidakstabilan negeri Selangor. PKR perlu menamatkan proses penggantian yang disarankan olehnya, atau menarik balik resolusi ini, dan tidak meletak negeri Selangor dalam situasi kurang pasti.
KUASA pasti pada masa ini, sekiranya tiga persoalan diatas dijawab oleh pihak masing-masing, maka harapan untuk jalan penyelesaian di Selangor akan bertambah secara drastik dalam masa terdekat.

Praba Ganesan
Ketua Eksekutif
KUASA
(013-3939484)

KUASA ialah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berfokus pada perkembangan organisasi ahli politik, aktivis politik serta kumpulan mereka melalui proses hubungan menggunakan media sosial dan mesej secara berstrategi.


Website: MyKuasa.org
Facebook: FB.com/mykuasa
Twitter: @mykuasa
General inquiries: team@mykuasa.org

2-3A (Fourth Flr)
Block B
Megan Phoenix 
Jalan 2/146
Taman Bukit Len Seng
56000 Kuala Lumpur

Saturday, 5 July 2014

Kenyataan rasmi mengenai gelandangan & pengemis KL


KENYATAAN MEDIA
YB MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN "KERAJAAN SERIUS TANGANI MASALAH PENGEMIS DAN  GELANDANGAN DI KUALA LUMPUR"

Merujuk kepada masalah gelandangan dan pengemis yang masih berterusan di ibukota Kuala Lumpur, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) memandang serius mengenai perkara ini dan ingin menjelaskan beberapa perkara iaitu: 

1) Masalah gelandangan telah menyumbang terhadap masalah kebersihan di Kuala Lumpur khususnya lokasi-lokasi tumpuan pengunjung/pelancong. Mereka tidur di tempat-tempat yang tidak sesuai di sekitar bandaraya Kuala Lumpur dalam persekitaran yang tidak bersih dan terdedah kepada penyakit berjangkit.  

2) Manakala golongan pengemis pula kebanyakannya meminta sedekah di hadapan kompleks perniagaan, tepi-tepi jalan dan sebagainya. Kedua-dua faktor ini bukan sahaja menyumbang kepada masalah kebersihan, malah turut menyumbang pelbagai masalah lain seperti sosial; keselamatan; menjejaskan imej Kuala Lumpur dengan pandangan kurang elok jika dilihat oleh pelancong. Menurut siasatan oleh pihak berkuasa, didapati terdapat sindiket yang beroperasi membawa golongan ini untuk mengemis di ibukota terutamanya di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai. Mengemis juga seolah-olah telah dijadikan sebagai satu kerjaya yang mendatangkan hasil yang lumayan. Malah, terdapat diantara pengemis yang pernah ditahan oleh pihak berkuasa menginap di hotel-hotel berdekatan dengan tempat mereka mengemis;  

3) Bagi tahun 2013, operasi bersepadu yang dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengangkut sejumlah 965 orang gelandangan dan didapati 125 orang daripada mereka adalah pendatang asing . Pada tahun 2014 (sehingga Mei) sejumlah 117 orang gelandangan telah berjaya diangkut menerusi operasi bersepadu yang dijalankan dan didapati 21 orang daripada mereka adalah pendatang asing. 

4) Masalah gelandangan ini menjadi semakin rumit apabila mereka mempunyai kumpulan masing-masing yang menguasai kawasan tertentu. Masalah timbul apabila mereka berebut kawasan dan berlaku pergaduhan diantara mereka;
 
5) Antara faktor yang menyumbang kepada masalah gelandangan ialah tiada pekerjaan, miskin, masalah mental/kemurungan,/penyakit melarat, warga asing tiada pekerjaan, ketidakupayaan mengurus diri, ditinggalkan keluarga serta penagihan dadah/arak/bekas banduan dan warga emas. 

6) Kawasan “Hot Spot” masalah gelandangan di Kuala Lumpur ialah Mydin Kotaraya; Masjid Negara; Central Market; Menara Maybank; Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Masjid India, Jalan Tiong Nam (Chow Kit), Jalan Silang, Masjid Jamek, Bank Negara, Bulatan Sultan Mohamad dan Dataran Merdeka.

7) Antara pendekatan strategik yang akan dilaksanakan bagi menangani masalah gelandangan ialah Pelaksanaan Zon Sifar Gelandangan iaitu 2.0 KM Radius bermula daripada Simpang Empat Lot 10. Pemilihan kawasan ini adalah berasaskan kepada aspek tumpuan pelancong, kawasan perniagaan dan berada di pusat Bandar Kuala Lumpur. 

8) Tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan di kawasan ini dengan mengenakan denda dan bayar serta merta (terhadap mereka yang memberi makanan dan derma) serta melaksanakan proses “pungutan” terhadap gelandangan dan pengemis yang berada di kawasan berkenaan. 

9) Pihak DBKL juga akan melaksanaan Perundangan Di bawah PBT di mana penggubalan undang-undang kecil akan dilaksanakan yang memberi kuasa kepada pihak DBKL untuk mengangkut golongan gelandangan dan pengemis yang berada di 2.0 km radius dan menyerahkan kepada pihak yang berwajib untuk tindakan selanjutnya seperti PDRM, Imigeresen; Jabatan Kebajikan Masyarakat; AADK dan pihak-pihak lain yang berkenaan. 

10) Di samping itu, Kementerian Wilayah Persekutuan akan bekerjasama rapat dengan Agensi Kerajaan yang lain serta NGO- NGO yang berkaitan secara bersepadu bagi mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) untuk memastikan masalah ini dapat ditangani secara berkesan. 

11) Sehingga kini, pihak DBKL telah mengenalpasti 12 NGO yang aktif memberi makanan kepada golongan gelandangan ini mengikut hari dan waktu serta lokasi popular pengagihan makanan seperti Pasar Seni; Dataran Kota Raya; Stesen Bas Klang, Masjid India; Masjid Negara; Bangkok Bank, Jalan Tun HS Lee; Kota Raya; Pudu Sentral; dan Swiss Garden Hotel, Jalan Pudu. 

12) Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bersama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan mengenalpasti pusat pengagihan makanan yang sesuai supaya NGO terbabit dapat meneruskan aktiviti sukarelawan serta menderma makanan kepada golongan ini.  Usaha ini juga mampu mengurangkan masalah kekotoran yang akan timbul akibat pembuangan sampah oleh golongan berkenaan. Pemilihan lokasi ini juga akan mengambil kira daripada aspek kesampaian yang mudah kepada golongan gelandangan ini.  

13) KWP bersama dengan DBKL akan mengenalpasti lokasi yang sesuai bagi penempatan golongan ini iaitu dengan menyediakan bangunan seperti konsep “Anjung Singgah” yang akan menyediakan beberapa kemudahan untuk golongan gelandangan seperti: 
- Menyediakan makanan yang berkhasiat secara percuma dan pihak NGO juga dialu-alukan untuk menyumbang makanan di pusat pengumpulan golongan tersebut; 
- Menyediakan tempat rehat dan tidur bagi memberikan keselesaan dan keselamatan kepada golongan ini;
- Menyediakan pusat rawatan kesihatan bagi memastikan tiada masalah penyakit berjangkit akan tersebar oleh golongan ini; 
- Menyediakan pusat pendaftaran bersepadu yang akan merekod perihal golongan ini dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal termasuk maklumat diri, waris dan sebagainya; 
- Menyediakan kemudahan riadah, mendobi pakaian dan sebagainya untuk kesihatan dan kekemasan diri; dan 
- Menyediakan perkhidmatan kaunseling dan membantu mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian. 

14) Justeru, saya ingin menafikan sekeras-kerasnya bahawa kerajaan bertindak zalim dan tidak berperikemanusiaan, sebaliknya tindakan tersebut adalah bagi membantu golongan gelandangan dan pengemis ini dengan kehidupan yang lebih baik dan sempurna melalui perkhidmatan yang disediakan di ‘Anjung Singgah’. 

15) Usaha-usaha yang dilaksanakan ini juga adalah bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan warga kota sentiasa terpelihara serta aktiviti-aktiviti sindiket mengemis dapat dibanteras.  

16) Saya menghargai segala usaha murni yang dilaksanakan oleh NGO-NGO yang terlibat dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengadakan perbincangan bersama dengan NGO-NGO ini pada hari Selasa (8 Julai 2014) bagi menetapkan lokasi yang bersesuaian supaya pengagihan makanan dan bantuan-bantuan lain dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna.  

Sekian, terima kasih. 

TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR

4 Julai 2014

Tuesday, 11 June 2013

Ngeh Koo Ham kena ludah percuma




KENYATAAN AKHBAR
PENGERUSI BNBBC PERAK

Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan, Dato' Ngeh Koo Ham yang menyelar Kerajaan BN Perak kerana mengadakan Sidang DUN selama sehari pada 28 Jun ini ibarat 'meludah ke langit, terpercik ke muka sendiri'.

Pengerusi DAP Perak itu dalam akhbar Sinar Harian Edisi Perak hari ini mengeluarkan kenyataan yang tidak wajar dengan menuduh Kerajaan BN Perak takut untuk berdebat dan "masih dibayangi dengan kerajaan perompak kerana menjalankan sidang dewan dalam waktu yang singkat".

Koo Ham sepatutnya menyelidik kembali apakah yang sebenarnya berlaku semasa sidang dewan pertama sewaktu pakatan pembangkang memerintah Kerajaan Negeri Perak pada 2008.

Sidang pertama pada 25 April 2008 yang bermula pada 3.00 petang juga berlangsung selama beberapa jam sahaja, semata-mata bertujuan memilih Speaker dan Timbalan Speaker serta mengangkat sumpah oleh ADUN-ADUN.

Sudah menjadi kelaziman tidak ada perbahasan pada sidang pertama dewan pada awal penggal, dan ini juga berlaku semasa pakatan pembangkang memerintah Negeri Perak.

Selepas sidang pertama, Kerajaan PR Perak ketika itu mengambil masa dua bulan untuk mengadakan sidang berikutnya, iaitu dari 24-27 Jun 2008 yang ketika itu barulah sesi perbahasan dijalankan.

Nampaknya Koo Ham hanya pandai menuding dan 'meludah' muka orang lain, tetapi dia terlupa sebenarnya dia menuding dan meludah mukanya sendiri.

ADUN-ADUN pembangkang juga tidak banyak memainkan peranan yang aktif sepanjang tempoh sidang Dewan pada penggal lalu, yang hanya dipenuhi dengan adengan memboikot dan keluar beramai-ramai dari Dewan serta tidak berminat membahas dan membawa masalah rakyat.

Kebanyakan isu yang dibangkitkan oleh ADUN-ADUN PR sekadar berkisar isu politik negeri dan negara, tetapi kurang memberikan tumpuan kepada masalah-masalah rakyat termasuklah di Pasir Panjang, Sitiawan dan Pantai Remis ketika itu.

Kata-kata Koo Ham kononnya sidang Dewan tidak memberi banyak ruang untuk mereka membahaskan masalah rakyat adalah tidak masuk akal, kerana masa yang sepatutnya digunakan untuk tujuan itu telah disalahgunakan dan tidak ditumpukan kepada penyelesaian masalah rakyat.

Koo Ham sepatutnya mencermin diri dan partinya terlebih dahulu, sebelum melempar pelbagai tohmahan buruk kepada pihak lawan.

Dato' Mohd Khusairi Abdul Talib
Pengerusi BNBBC Perak
Adun Slim

11 Jun 2013

Sunday, 9 June 2013

BNBBC Perak bidas G.Palanivel




KENYATAAN AKHBAR
DATO’ MOHD KHUSAIRI ABDUL TALIB
PENGERUSI KELAB ADUN BN NEGERI PERAK (BNBBC PERAK)

Tindakan Dato’ G. Palanivel mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkaitan perlantikan jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak telah meletakkan dirinya pada taraf bukan seorang presiden parti.

Dalam kenyataannya yang disiarkan oleh akhbar-akhbar arus perdana dan akhbar-akhbar Tamil hari ini, Palanivel jelas telah mengugut Dr. Zambry untuk MIC menolak sebarang jawatan dalam Kerajaan Negeri, termasuk Pegawai Khas, Ahli-ahli Majlis kerajaan tempatan dan Penasihat Kepada Menteri Besar jika parti itu tidak diberikan jawatan Speaker.

Tindakan Palanivel ini menggambarkan seolah-olah beliau bukanlah seorang presiden sebuah parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) yang sentiasa berpegang kepada prinsip muafakat dan menyelesaikan sebarang perkara melalui saluran.

Beliau sepatutnya berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan bagi mengelakkan beliau hilang kredibiliti selaku pemimpin.

Tindakan Palanivel mengugut Menteri Besar Perak adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan amat dikesalkan memandangkan Dr. Zambry sehingga kini tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan kedudukan Speaker.

Beliau tidak seharusnya menjadikan perkara perlantikan Speaker Dewan Negeri Perak dan Menteri Besar sebagai ‘kambing hitam’ untuk mengukuhkan kedudukan dalam parti serta  menarik perhatian ahli-ahli MIC.

Oleh itu, janganlah Presiden MIC itu mencari alasan lain untuk mengembalikan popularitnya, termasuk mengheret urusan pentadbiran negeri dengan masalah politik yang sedang dihadapi beliau.

Kita percaya MB Perak tidak akan melupai masyarakat India dalam pentadbiran negeri. Malah ketika Palanivel tidak mengendahkan kedudukan jawatan kaum India dalam pentadbiran negeri, Dr. Zambry menambahkan lagi seorang pegawai khas, seorang Penasihat, selain tambahan senator.

Palanivel sepatutnya memikirkan dengan semasak-masaknya sebelum membuat sebarang kenyataan, dan menghormati jawatan Presiden sebuah parti komponen BN yang disandangnya.

DATO' MOHD KHUSAIRI ABDUL TALIB
TANJONG MALIM

9HB JUN 2013

Thursday, 16 May 2013

Wanita UMNO desak Rafidah jawab mengenai Air-Asia


File pic.

SIARAN MEDIA

Y.BHG DATO’ SRI SHAHRIZAT ABDUL JALIL
KETUA PERGERAKAN WANITA UMNO MALAYSIA

SOALAN BUAT TAN SRI RAFIDAH AZIZ,
PENGERUSI LEMBAGA PENGARAH AIRASIA X

KUALA LUMPUR, 16 MEI 2013 – Saya mewakili Pergerakan Wanita UMNO Malaysia hari ini ingin melontarkan pertanyaan kepada YBhg Tan Sri Rafidah Aziz selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Airasia X di atas kenyataan oleh Ketua Pengarah Eksekutif beliau dari Airasia X, Azran Omar-Rani terhadap Utusan Malaysia dan tindakan menarik balik iklan di dalam akhbar tersebut.

Saya yakin Tan Sri Rafidah Aziz yang telah menerajui kepimpinan Wanita UMNO selama 22 tahun dan berusia 66 tahun semasa meninggalkan pucuk pimpinan Wanita UMNO Malaysia, cukup matang untuk menjelaskan isu ini berdasarkan perjuangan Wanita Melayu yang turut didukung oleh beliau semasa memimpin Wanita UMNO. Malah, saya harap beliau memahami perjuangan Utusan Malaysia sebagai satu-satunya lidah rasmi orang Melayu.
Beliau seharusnya tampil kehadapan untuk memberikan pandangan, pendirian dan pendapat beliau untuk menyelesaikan isu ini, bukan terus berdiam diri walaupun beberapa desakan telah dikemukakan oleh badan-badan NGO Melayu dan beberapa pihak yang lain.

Wanita UMNO amat kecewa dan meminta Tan Sri Rafidah sebagai Pengerusi yang bertanggungjawab untuk Airasia X memberikan penjelasan secepat mungkin kerana terlalu ramai orang Melayu berasa amat tersinggung dengan pandangan yang tidak bertanggungjawab oleh Azran Osman-Rani.


SHAHRIZAT ABDUL JALIL


Tuesday, 7 May 2013

PRU 13 - Anwar dakwa Pakatan menang akan anjur himpunan

File Pic


PRESS RELEASE

ANWAR IBRAHIM
6 May 2013


The recently concluded 13th General Election was marred with unprecedented electoral frauds. Dato’ Seri Najib Tun Razak and the Election Commission had chosen to ignore the wishes of the rakyat at their own peril despite their earlier pronouncements towards free and fair election. This was despite massive popular support for the cause of clean and fair election.


Therefore, the Election Commission shall be held responsible for being complicit in the worst electoral frauds in our history. A fight for clean and fair election remains the single most important fight that any Malaysians should relate to. I will devote my time and utmost energy to work with BERSIH and the people of Malaysia to ensure that a newly constituted and independent Election Commission shall be in place as soon as possible to rectify the electoral frauds.

The fact that Pakatan Rakyat won the popular votes by a large margin (50.3%, compared to BN’s 46.8%) confirms the mandate given to us and highlights that electoral frauds won the 13th General Election for Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Our conscience cannot allow us to accept election results conjured through frauds and cheating. My heart is with every Malaysian who does not accept the results. I will work towards a national consensus to question the legitimacy of the BN’s government achieved through such electoral frauds.

The movement for change is unstoppable. The simple demand of the rakyat for a clean and fair election to ensure our elected government is accountable, transparent and incorruptible will continue to echo loudly in spite of the rigged 13th General Election.

I shall address the rakyat for the first time post the general election on Wednesday, 8 May 2013 at Kelana Jaya Stadium, at 830 pm. I call upon as many Malaysians to join hands and express our rejection and disgust at the unprecedented electoral frauds committed by Dato’ Seri Najib Tun Razak and the EC.



Friday, 19 April 2013

Dr Hasan Ali sah tidak sertai PRU 13


File pic.
PENYERTAAN DALAM PRU 13


Persoalan-persoalan mengenai penyertaan saya di dalam PRU 13 menjadi tanda tanya kepada teman-teman politik dan sahabat-sahabat sekerjaya serta anggota masyarakat. Pejabat saya dan saya sendiri dihujani dengan panggilan telefon, mesej pesanan ringkas dan email untuk mengetahui posisi yang saya ambil berkaitan dengan perkara tersebut.

Saya akui ada menerima tawaran untuk bertanding dalam PRU ke 13 dengan cadangan ditempatkan dikawasan-kawasan dijangkakan boleh memberikan kemenangan kepada saya. Saya berterimakasih dan menghargai harapan dan kepercayaan pimpinan Umno/Barisan Nasional terhadap saya. Namun setelah berbincang dan menerima pendapat dan pandangan daripada berbagai pihak dan ditambah pula dengan peluang yang dibukakan oleh Allah untuk saya terlibat langsung di dalam 3 pilihanraya umum sebelum ini, maka saya dengan segala rendah diri  mengambil keputusan untuk tidak bertanding di dalam PRU ke 13 ini.

Saya merasakan lebih selesa bersama dengan JATI untuk berusaha terus melonjakkan keberlangsungan Islam, bangsa Melayu dan Institusi Raja di negara ini. Cabaran yang semakin getir yang bakal dilalui  dalam mengagungkan Islam dan memartabatkan Melayu, memerlukan gabungan NGO yang padu dan mantap serta mempunyai daya tahan dan daya juang untuk membentengi sebarang percubaan untuk menidakkan Islam dan Melayu di negara ini.

Saya dan teman-teman di JATI telah membuat ikrar untuk terus berjihad untuk tidak melihat Islam dan Melayu diinjak-injak di bumi bertuah ini.

Saya dan rakan-rakan dalam JATI berserta dengan NGO-NGO Islam akan menggerakkan seluruh kekuatan yang boleh dijana untuk menentukan UMNO/BN terus berkuasa termasuk merampas semula negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat dalam PRU ke 13 ini.

Seperti yang telah diumumkan, sokongan kepada UMNO/BN selain daripada bertepatan dengan kaedah usul fiqh, sokongan JATI yang tidak berbelah bagi tersebut adalah untuk melihat pimpinan UMNO yang ada sekarang  diberi kekuatan oleh Allah dan berikutan dengan itu bersunguh-sungguh untuk menjadikan Islam sebagai landasan kepada pembangunan negara yang bakal diredhai oleh Allah SWT.

Harapan saya dengan kenyataan ringkas ini dapat meredakan sebarang spekulasi, khabar angin dan prasangka yang akhirnya tidak membuahkan sesuatu yang berfaedah. Sebaliknya segala kekuatan yang ada hendaklah ditumpukan kepada usaha meraih kemenangan kepada UMNO/BN sebagai langkah mengelakkan malapetaka yang mungkin boleh menimpa rakyat negara ini sekiranya Pakatan Rakyat diizinkan mentadbir negara ini.


DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
Tmn Tun Dr Ismail, KL
19 APRIL 2013

Monday, 15 April 2013

Rafizi menyaman PapaGomo sebelum PRU13

File pic.


SAMAN PAPAGOMO UNTUK MATIKAN BUDAYA FITNAH BERLELUASA

Pada 11 April 2013, laman Papagomo menyiarkan kembali artikel yang menuduh saya dipecat dari PETRONAS kerana pelbagai masalah disiplin, termasuk ponteng kerja dan membuat tuntutan palsu. Itu bukan kali pertama laman Umno tersebut menyiarkan berita-berita seperti itu yang memfitnah saya tanpa ada sebarang asas.

Ekoran dari penyiaran berita palsu itu, saya telah menulis di blog saya menerangkan bahawa saya tidak pernah dipecat, sebaliknya meletakkan jawatan dari PETRONAS untuk bertukar kerjaya. Sehingga kini tidak ada sebarang pembetulan yang dibuat oleh Papagomo mengenai berita palsu yang direka-rekanya itu.

Oleh yang demikian, saya telah mengarahkan peguam saya, Saudara Razlan Jalaluddin untuk mula mengambil tindakan saman terhadap Papagomo atas penipuan dan berita palsu tersebut. Satu surat tuntutan akan dihantar secepat mungkin kepada Papagomo untuk memulakan proses undang-undang.

Saya percaya Papagomo akan mencari pelbagai alasan untuk tidak menerima surat tuntutan tersebut, termasuklah menafikan bahawa Wan Muhamad Azri Wan Deris bukanlah Papagomo. Malah, tindakan mengumumkan akan bertanding di Permatang Pauh adalah helah Papagomo untuk meletakkan orang lain yang akan mengaku dirinya Papagomo, untuk bersembunyi dari tindakan-tindakan saman ini.

Saya menjangkakan akan berlaku pertukaran kerajaan selepas 5 Mei 2013, yang membolehkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memainkan peranan dengan lebih berkesan mengesan individu-individu yang berselindung di sebalik blog untuk menyebarkan fitnah seperti Papagomo.

Sebab itu saya yakin menjelang kes saman ini mula dibicarakan di mahkamah, Wan Muhamad Azri Wan Deris atau Papagomo tidak lagi boleh bersembunyi dan terpaksa menerima hukuman atas fitnah-fitnah yang dibuatnya selama ini, termasuklah terhadap diri saya melalui berita palsu yang disiarkan minggu lepas. Hanya dengan cara ini kita akan berjaya membendung budaya fitnah yang sudah menjadi amalan harian blogger Umno.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

15 APRIL 2013