Google+ Followers

Tuesday, 9 October 2012

SPR ulangi, kalau nak bantu ikhlas lah

Venue : Ibupejabat SPR, Putrajaya

Event : Sidang media oleh Pengerusi SPR

Date : 8/10/2012 @ 2.30 pm




TALKING POINTS
SIDANG MEDIA PENGERUSI SPR
8 OKTOBER 2012 (ISNIN)

1.       Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ingin merujuk kepada laporan akhbar Suara Keadilan bertarikh 2 Oktober 2012 di muka surat 3 bertajuk Audit Sahkan SPR Menipu-Anwar dan dakwaan oleh Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)  mengenai bukti pemilik IC palsu layak mengundi dalam akhbar yang sama.

2.       Berhubung dengan laporan Audit Sahkan SPR Menipu-Anwar, isu-isu yang dibangkitkan adalah seperti yang berikut:

2.1     Penemuan 64,100 pemilh pos  dimasukkan dalam Daftar Pemilih pada 9 April 2010 berkemungkinan besar tidak melalui proses semakan dan bantahan rasmi;
2.2   Sebanyak 77,246 nama pengundi baru tidak ada dalam daftar PRU 12, dimasukkan. Bezanya apa?;
2.3    Ada 304,136 pemilih pos yang nombor kad pengenalan tidak sepadan dan janggal tarikh permohonannya;
2.4     2,522 pemilih tentera dan polis tanpa kad pengenalan baru yang berpadanan dengan nama-nama mereka;
2.5     Daripada 5.5 juta pemilih bermasalah, seramai 4.38 juta pemilih tiada alamat, 3.3 juta hanya ada nombor rumah
2.6     Jumlah lokaliti Selangor berkurangan dari 24,479 kepada 13,813

3.       Penjelasan SPR berhubung dengan isu-isu   itu adalah seperti yang berikut:

3.1     Penemuan 64,100 pemilih pos dimasukkan dalam Daftar Pemilih pada 9 April 2010 berkemungkinan besar tidak melalui proses semakan dan bantahan rasmi. Daftar Pemilih Induk DPI 2009 diwartakan pada 25 Februari 2010. DPI 2009 ini mengandungi seramai 11,163,409 orang yang terdiri daripada 10,958,762 orang pengundi biasa dan 204,647 orang pengundi tidak hadir. Daripada jumlah keseluruhan pengundi tidak hadir,  seramai 121,652 orang tentera serta pasangan tentera, 81,114 orang polis serta pasangan polis PGA dan 1,881 orang PTH Luar Negara. SPR menjalankan urusan pembersihan daftar pemilih sepanjang masa termasuklah memotong nama pemilih yang telah hilang kelayakan sebagai pemilih seperti telah meninggal dunia dan dilucutkan taraf kewarganegaraan. Sehingga tempoh tersebut telah berlaku kekosongan di Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.212 Sibu ekoran kematian penyandangnya. Oleh yang demikian SPR perlu mengadakan pilihan raya kecil

Bagi tujuan tersebut, sebagaimana yang diperuntukkan oleh Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, SPR mewartakan penentuan DPI 2009 yang dikemas kini sehingga 9 April 2010 untuk digunakan bagi maksud Pilihan Raya Kecil P.212 Sibu. Penentuan daftar pemilih ini telah diwartakan pada 19 April 2010.


SPR berpandangan dakwaan SPR telah memasukkan 64,100 pemilih pos dimasukkan dalam daftar pemilih dalam satu hari iaitu pada 9 April 2010 merupakan tuduhan yang tidak berasas sama sekali dan SPR meminta perkara ini dibuktikan dengan menyerahkan semua 64,100 maklumat pemilih yang berkaitan bagi membolehkan SPR menyemak rekod tersebut dalam daftar pemilih SPR.


3.3    Bagi isu ada 304,136 pemilih pos yang nombor kad pengenalan tidak sepadan dan janggal tarikh permohonannya, SPR ingin menjelaskan sehingga Suku Tahun 2/2012  hanya terdapat 274,247 Pemilih Tidak Hadir (PTH) dalam Daftar Pemilih SPR   yang terdiri daripada anggota tentera (161,756), anggota polis (110,055) dan luar negara (2,436). Ini bermakna fakta angka 304,136 pemilih pos yang dikatakan oleh Anwar itu adalah tidak tepat.  Oleh itu, SPR sekali lagi memohon kepada Anwar untuk menyatakan butiran terperinci mengenai  perkara itu dan Daftar pemilih mana yang digunakan semasa membuat semakan itu.

3.4    Mengenai 2,522 pemilih tentera dan polis tanpa kad pengenalan baru yang berpadanan dengan nama-nama merekaSPR dari semasa ke semasa berusaha untuk mendapatkan maklumat nombor KP 12 angka bagi semua anggota tentera dan polis dalam daftar pemilih. Sehingga sekarang (5 Oktober 2012) masih berbaki 1,042 orang,  iaitu 420 orang anggota polis dan 622 orang anggota tentera yang belum mempunyai maklumat tersebut dalam Daftar Pemilih SPR.

3.5  Berkaitan dengan dakwaan daripada 5.5 juta pemilih bermasalah, seramai 4.38 juta pemilih tiada alamat, 3.3 juta hanya ada nombor rumah. Sebelum 16 Julai 2002, urusan pendaftaran pemilih dijalankan secara bermusim. Seseorang warganegara yang telah mencapai umur 21 tahun pada tarikh kelayakan boleh memberi mana-mana alamat di dalam sesuatu bahagian pilihan raya kepada SPR dengan pengakuan bahawa mereka memang menetap di alamat tersebut pada tarikh kelayakan memandangkan SPR tidak ada kemudahan dan keupayaan untuk menentukan kesahihan alamat yang diberikan oleh seseorang pemohon itu. SPR dengan SUCI HATI menerima alamat yang diberi itu sebagai alamat yang sah dan seterusnya mendaftarkan seseorang pemilih yang berkelayakan itu di dalam sesuatu bahagian pilihan raya yang berkenaan. Pada masa itu juga, maklumat lengkap diperlukan hanya untuk tujuan penetapan lokaliti dan alamat itu tidak didatakan dalam rekod pemilih.

          Hanya  selepas 16 Julai 2002, pangkalan data pemilih di SPR dihubung terus dengan rangkaian pangkalan data  JPN melalui Agency Link-up System (ALIS), maka SPR menetapkan bahawa seseorang pemilih itu akan didaftarkan berasaskan kepada alamat dalam kad pengenalan pemohon dan alamat lengkap itu didatakan dalam rekod pemilih.  

3.6  Jumlah lokaliti Selangor berkurangan dari 24,479 kepada 13,813. Semakan SPR berdasarkan perbandingan di antara jumlah lokaliti bagi negeri Selangor di antara Daftar Pemilih Induk 2007 dan Daftar Pemilih yang terkini yang diwartakan sehingga Suku Tahun 2/2012, di dapati berlaku pengurangan kepada jumlah lokaliti. Perkara ini berlaku disebabkan  Negeri   Selangor pernah terlibat dalam Belah Bahagi  pada pada tahun 2009 (diadakan dua kali pada Jun 2009 dan Jun 2010) dan tahun 2011 yang diadakan pada Januari 2011 dan Jun 2011.

                    Jadual 1:  Perbandingan Jumlah Lokaliti di Negeri Selangor
DPI
Jumlah Lokaliti
DPI INDUK 2007
24796
DPI Semasa (2012)
13930


4.     Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)  dakwaan bahawa  pemilik IC palsu layak mengundi, penjelasan SPR adalah seperti yang berikut: 

4.1     Dakwaan yang mengatakan Hassannuddin bin Manna berdaftar sebagai pemilih menggunakan kad pengenalan palsu seperti yang didakwa oleh SAMM itu adalah TIDAK BENAR SAMA SEKALI. Baliau dikatakan memiliki kad pengenalan palsu  dan kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Pusat Kota Kinabalu, tetapi masih  menjadi  pengundi yang sah, Semakan SPR dengan JPN mendapati  Hassannuddin bin Manna adalah seorang warganegara dan memiliki kad pengenalan yang sah. Oleh itu, tidak timbul  isu beliau mendaftar menggunakan kad pengenalan palsu. Berdasarkan rekod dalam Daftar Pemilih, beliau mendaftar sebagai pada   13 April 2007  di  Parlimen Sepanggar, Sabah.

       Mengenai dakwaan mengatakan beliau telah ditangkap dan dipenjarakan,  siasatan SPR mendapati individu yang dipenjarakan adalah individu lain, iaitu Montasir Juwak Hasan yang berasal dari Negara Filipina dan menetap di Kampung Kalansanan Inanam, Sabah. Dalam pertemuan beliau dengan pegawai SPR di Penjara Pusat Kota Kinabalu, beliau mengaku menggunakan dokumen yang dimiliki oleh Hassannuddin bin Manna dan digunakan tanpa pengetahuan pemilik sebenarnya. Beliau juga mengaku tidak mengenali pemilik sebenar kad pengenalan yang digunakan. Beliau juga turut mengakui membeli kad pengenalan tersebut  melalui seseorang setahun yang lalu dengan harga RM1000.

4.2     Berhubung dakwaan bahawa Salleh bin Samsul, warganegara asing dari Filipina yang berdaftar sebagai pemilih yang menggunakan Mykad palsu seperti yang didakwa oleh YB Fauziah, Ahli Parlimen Kuantan  yang disiarkan dalam beberapa blog semakan SPR dengan JPN mengesahkan bahawa beliau adalah seorang warganegara dan memiliki kad pengenalan yang sah. Berdasarkan rekod SPR, beliau mendaftar sebagai pemilih pada  9 April 1993 di Parlimen Pasir Gudang.

Berhubung dakwaan beliau dikatakan telah dijatuhkan hukuman penjara selama setahun  pada 20 September 2010, siasatan SPR dengan mengunjung keluarga Salleh bin samsul mendapati dakwaan itu tidak benar. Berdasarkan  maklumat daripada isteri beliau dan dokumen yang ditunjukkan didapati di antara bulan Jun 2010  hingga April 2011 beliau bekerja sebagai juru kimpal dengan syarikat kencana Petroleum. Adalah  tidak mungkin orang yang sama boleh berada di dua (2) tempat iaitu di penjara dan Petronas Carigali dalam satu masa.

4.3     Bagi kedua-dua kes  ini, iaitu kes Hassannuddin bin Manna dan Salleh bin Samsul,  ada invidu lain yang menyamar menggunakan identiti kedua-dua orang pemilih berdaftar ini dan mereka itu BUKAN INDIVIDU YANG MENDAFTAR SEBAGAI  PEMILIH DENGAN SPR.  

5.       Oleh itu, SPR amat berharap kepada pemimpin parti politik dan pihak-pihak tertentu termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGOs) supaya tidak membuat pelbagai dakwaan mengenai Daftar Pemilih SPR untuk tujuan kepentingan politik semata-mata. Berdasarkan laporan Akhbar Suara Keadilan itu, Anwar Ibrahim membuat pelbagai dakwaan dengan menggunakan statistik terhadap Daftar Pemilih SPR. Namun semakan SPR mendapati, fakta di sebalik statistik itu tidak benar malahan TIDAK JELAS beliau merujuk kepada statistik yang mana.

6.       SPR juga amat berharap, mana-mana pihak yang mencurigai sesuatu rekod pemilih boleh berhubung terus dengan SPR sama ada di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya ataupun  dengan Pejabat-Pejabat Pilihan Negeri dan bukannya mengeluarkan kenyataan melalui akhbar ataupun melalui blog. Ini kerana, jika benar dakwaan yang dibuat, SPR akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap rekod pemilih itu berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang ada. Dalam usaha membersihkan Daftar Pemilih ini, SPR sentiasa bekerjasama dengan rapat dengan JPN, Polis DiRaja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia  dan Jabatan Penjara Malaysia bagi mengemaskini rekod pemilih dalam Daftar Pemilih SPR.