Monday 7 July 2014

Hubungan baik Melayu-Cina perlu dikekalkan - Tun Dr Mahathir

Lokasi : Ballroom, Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor

Acara : Iftar Muhibbah bersama Tun Dr Mahathir bersempena 
Ekspo Kebudayaan Islam Cina Malaysia 2014

Tarikh : 5/7/2014

Hubungan baik Melayu-Cina perlu dikekalkan




KUALA LUMPUR 5 Julai - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, hubungan baik yang terjalin antara masyarakat Melayu-Cina di negara ini amat baik dan perlu dikekalkan demi mencapai kehidupan yang lebih harmoni.

Beliau berkata, orang Islam juga sudah lama menerima kehadiran penganut agama lain di Malaysia dan sentiasa bertoleransi bagi memenuhi keperluan mereka.

"Umat Islam tiada masalah untuk menerima mereka kecuali jika agama ini diserang kerana selain daripada itu, kami boleh hidup dengan kaum Cina dalam suasana persahabatan.

"Sehubungan itu, penting untuk kita sensitif terhadap keperluan masing-masing kerana jika berlaku provokasi maka, sukar untuk hidup secara aman damai," katanya dalam ucapan ringkas pada majlis berbuka puasa sempena Ekspo Kebudayaan Islam China-Malaysia 2014 di sini hari ini.

Yang turut hadir isteri Dr. Mahathir, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup; Duta Besar China di Malaysia, Dr. Huang Huikang dan Presiden Organisasi Cina Islam China, Chen Guang Yuan.

Menurut Dr. Mahathir, perbezaan pendapat yang wujud di antara pemimpin agama perlu diatasi dengan cara setiap pihak menerima kehadiran bangsa lain dalam kehidupan masing-masing.

Sementara itu, berhubung penganjuran ekspo itu, beliau menyeru kepada kerajaan Malaysia dan China agar memperbanyakkan program seumpamanya bagi mempromosi nilai dan kebaikan dalam ajaran Islam.

"Islam mengajak umatnya untuk hidup dalam suasana aman walaupun sekarang banyak peperangan dikaitkan dengan agama ini.

"Namun asasnya, Islam melarang peperangan sebagai contoh di China, masyarakat Islamnya sebelum ini ditekan dan ketika mereka sudah dibenarkan mengamalkan ajaran agama tanpa sekatan, pilihan yang dibuat adalah hidup secara aman damai bukannya membalas dendam kepada lawan," tambahnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140706/dn_02/Hubungan-baik-Melayu-Cina-perlu-dikekalkan#ixzz36iPVmtgz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

1
 2
 3
 4
 5
 6
 7
 8
 9
 10
 11
 12


1 comment: