Showing posts with label hina rasulallah. Show all posts
Showing posts with label hina rasulallah. Show all posts

Thursday, 20 September 2012

Ngeh mencabar kesabaran umat Islam Malaysia

KENYATAAN YB DATO’ DR HASAN ALI MENGENAI TWEET YB NGEH KOO HAM




Saya terpanggil untuk memberi sedikit ulasan terhadap tweet yang dilakukan oleh YB Ngeh Koo Ham semalam yang menyifatkan umat Islam seolah-olah membuang masa dan tenaga apabila mengadakan perhimpunan besar-besaran Jumaat ini untuk membantah penghinaan Sam Bacile ke atas agama Islam melalui filem Innocence of Muslims.

Saya merasakan kenyataan tersebut menggambarkan kejahilan peringkat darjah tertinggi beliau tentang Islam walaupun DAP sudah berkawan dengan Parti Islam Se-Malaysia PAS buat sekian lamanya.

Kenyataan sedemikian sudah tentu menyinggung perasaan dan menghiris jiwa keIslaman masyarakat Islam dalam konteks mempertahankan aqidah sehingga sanggup menginfaqkan nyawa untuk mempertahankan kesucian agama mereka. Perasaan sedemikian terbayang dalam demontrasi yang diadakan dikebanyakkan negara Islam dan seperti yang diketahui, ramai menjadi korban akibat daripada manifestasi keimanan yang dipaparkan oleh mereka.

Kenyataan pemimpin DAP Perak itu bagi saya seolah-olah mencabar maruah dan tingkat kesabaran masyarakat Islam di negara ini. Tak cukup dengan kenyataan Karpal Singh yang berterusan bersifat menghina Islam, rupa-rupanya ramai lagi pemimpin-pemimpin DAP yang mudah menyatakan pendirian anti Islam tanpa mengira sensitiviti masyarakat Islam.

Saya merasakan YB Ngeh yang dianggap senior dan sudah begitu lama bergiat dalam politik seharusnya dapat membaca reaksi masyarakat Islam. Saya bimbang kenyataan-kenyataan seperti ini boleh menimbulkan kemarahan dan seterusnya tindakan yang tidak boleh dijangkakan yang mungkin di ambil oleh masyarakat Islam yang terasa begitu di hina oleh orang-orang bukan Islam yang selama ini mereka hormati. Justeru saya menyeru kepada YB Ngeh agar segera menarik balik kenyataan beliau itu dan memohon maaf kepada seluruh umat Islam di Negara ini.

Saya juga ingin melihat pemimpin-pemimpin PAS tampil kehadapan terutamanya mereka yang saya labelkan sebagai parasit untuk menyatakan pendirian mereka sekurang-kurangnya mengeluarkan kenyataan yang boleh melegakan ahli dan penyokong PAS. Tetapi saya tidak terperanjat kalau mereka menyepi diri membisu tanpa bahasa seperti yang biasa berlaku sebelum ini.

  
YB DATO DR HASAN ALI
Presiden JATI
ADUN Gombak Setia
19 September 2012


Wednesday, 19 September 2012

JATI akan turun berdemo bersama Pemuda PAS

KENYATAAN AKHBAR YB DATO DR HASAN 
MOHAMED ALI,    PRESIDEN JATI




 JATI menyambut baik inisiatif yang di ambil oleh Pemuda UMNO dan Pemuda PAS untuk mengadakan demontrasi raksasa pada hari Jumaat 21 September 2012 ini. JATI menganggap tindakan ini amat wajar dan berbangga dengan komitmen dan keterlibatan golongan muda untuk mempertahankan maruah dan kesucian Islam.

Sebagai Presiden JATI saya menyeru supaya semua ahli JATI dan para penyokongnya untuk turut sama melibatkan diri dalam demontrasi tersebut. InsyaAllah saya sendiri bersama dengan barisan kepimpinan tertinggi JATI akan bersama-sama dengan umat Islam seluruhnya memberitahu dunia betapa tersinggungnya kita akibat daripada perbuatan manusia yang tidak bertanggungjawab mencela, menghina dan menjatuhkan maruah Islam dan junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Bagi kita bukan setakat berdemontrasi tetapi demi Islam, jiwa raga kita pun dihalalkan semata mata untuk menentukan Islam sentiasa berada dikemuncak kehidupan Muslim.

Melalui ruang ini saya mengajak rakan-rakan NGO dan seluruh umat Islam di negara ini untuk sama-sama bangkit menzahirkan bantahan kita terhadap mana-mana pihak dalam dan luar negara yang berterusan menghina dan mencabar status Islam yang paling agung di sisi Allah SWT.

Seperti dimaklumi tindakan mempertahankan maruah Islam merupakan satu jihad yang memerlukan pengorbanan dikalangan umat Islam tanpa mengira latarbelakang ideologi politik dan kedudukan dalam masyarakat. Inilah sunnah peninggalan junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Mudah-mudahan langkah kecil yang di ambil ini melakar satu sejarah untuk diteladani oleh generasi muslim yang akan datang.


YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI
19 September 2012