Wednesday 8 January 2014

Kenyataan Majlis Konsultansi Perpaduan Nasional dikecam

Lokasi : Pejabat MUAFAKAT, Taman Melawati, Selangor

Acara : Sidang Media NGO Islam mengecam kenyataan Majlis Konsultansi  Perpaduan Nasional (MKPN) berhubung serbuan dan rampasan injil berbahasa Melayu oleh pihak JAIS..

Tarikh : 7/1/2014 @ 3.00 pm

Video kenyataan penuh gabungan NGO Islam


KENYATAAN MEDIA
PERTUBUHAN-PERTUBUHAN MELAYU-ISLAM
Selasa 05 Rabi’ul Awal 1435 / 07 Januari 2013
Kami mengecam keras kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Konsultansi Perpaduan Nasional (MKPN) yang mengadakan perbincangan semalam mengenai isu kalimah ALLAH dan perampasan bibel versi Bahasa Melayu oleh JAIS baru-baru ini.
Dalam kenyataan yang disampaikan oleh Pengerusi MKPN Tan Sri Samsudin Osman seperti yang dilapurkan oleh media cetak dan elektronik termasuk media portal dan siber, MKPN dipetik sebagai mengkritik JAIS atas alasan kononnya tindakan JAIS itu adalah satu ‘blatant disregard for the agreed 10-Point Resolution‘ yang kononnya dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan dan dipersetujui oleh pihak kristian.
Kami mengecam tindakan dan kenyataan MKPN itu atas alasan-alasan berikut:
1. Pihak JAIS langsung tidak dipanggil menghadiri mesyuarat tersebut, atau diberi peluang memperjelaskan tindakan mereka atau membela diri mereka. Pada kami ini adalah satu pencabulan hak asasi dan pelanggaran prinsip keadilan sejagat (natural justice) yang tidak sepatutnya dilakukan oleh sebuah badan yang ditubuh untuk tujuan memupuk perpaduan nasional;
2. Tindakan JAIS adalah dalam menguatkuasakan peruntukkan undang-undang jenayah iaitu Seksyen 9 Enakmen Pengawalan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988 yang berkuatkuasa didalam Negeri Selangor. Seksyen tersebut dengan jelas melarang penggunaan beberapa kalimah termasuk kalimah ALLAH dan menjadikan pelanggarannya suatu perlakuan jenayah;
3. Tindakan JAIS bukannya merampas bibel versi Bahasa Melayu per se, tetapi merampas penerbitan yang melanggar Seksyen 9 tersebut, iaitu disyaki mengandungi perkataan-perkataan yang dilarang penggunaannya termasuk kalimah ALLAH. Ini adalah satu kesalahan jenayah yang, jika cukup bukti, boleh dikenakan tindakan pertuduhan jenayah di Mahkamah Jenayah sivil;
4. Oleh itu, tidak timbul soal JAIS harus berbincang atau berunding dengan mana-mana pihak yang disyaki melakukan suatu perlakuan jenayah. Sebagaimana agensi penguatkuasaan yang lain, tugas, tanggungjawab dan bidang kuasa JAIS adalah untuk menguatkuasakan undang-undang dan mencegah sebarang perlakuan jenayah;
5. Sama juga seperti agensi penguatkuasaan yang lain seperti polis dan lain-lain. Contohnya pihak polis tidak menahan sesebuah kenderaan per se, tetapi menahan kenderaan itu kerana disyaki membawa dadah. Adakah perlu diwajibkan pihak polis berunding dengan pemandu tersebut sebelum mengambil tindakan? Namanya pun agensi penguatkuasaan, maka tindakan JAIS menguatkuasakan undang-undang adalah dalam bidangkuasanya dan menjadi tanggungjawab dan kewajipan yang harus dilaksanakan.
6. Sekiranya mana-mana OYDS (Orang Yang Di Syaki) atau OKT (Orang Kena Tuduh) merasakan mereka mempunyai pembelaan dalam mana-mana prosiding pertuduhan jenayah, maka mereka mempunyai hak mengemukakan pembelaan tersebut didalam Mahkamah dalam prosiding tersebut. Tidak timbul soal hak asasi dan hak membela diri mereka dicabuli atau dilanggar!
7. Berkaitan 10-Point Resolution yang dijadikan sandaran oleh MKPN, ianya sudah dihujahkan di Mahkamah Rayuan dengan panjang lebar dalam isu kalimah ALLAH. 10-Point Resolution itu adalah berkaitan dengan soal kemasukan dan pengimpotan bible versi bahasa Melayu kedalam negara ini. Ia langsung tidak menyentuh dan tidak ada kena-mengena dengan isu kalimah ALLAH.
Sebagai pihak yang berbidangkuasa didalam hal-ehwal impot-ekspot dan perdagangan antarabangsa, Kerajaan Persekutuan berhak memberi kelonggaran atau syarat kepada mana-mana pihak yang mahu membawa masuk atau mengimpot apa juga barangan daripada luar.
8. Dan sebagaimana dalam soal kemasukan dan impot-ekspot barangan luar kedalam negara ini, ianya wajib mematuhi undang-undang negara. Dan undang-undang negara melarang penggunaan beberapa kalimah dan perkataan tertentu dalam mana-mana penerbitan termasuk kalimah ALLAH. Maka membawa masuk atau mengimpot mana-mana penerbitan yang mengandungi perkataan atau kalimah yang dilarang adalah prima facie satu pelanggaran undang-undang yang boleh dikenakan tindakan termasuk merampas bahan penerbitan itu dan dikenakan pertuduhan jenayah di mana-mana Mahkamah Jenayah sivil;
9. Selanjutnya, 10-Point Resolution tersebut hanyalah dasar dan polisi Kerajaan. Mana-mana pihak yang mempunyai sedikit asas pengetahuan perundangan akan sedar bahawa dasar dan polisi Kerajaan tidak boleh melanggar, bercanggah atau bertentangan dengan mana-mana undang-undang negara. Dan jika ianya bercanggah, bertentangan atau melanggar mana-mana undang-undang negara, ianya tidak terpakai dan tidak boleh dikuatkuasakan.
Kami kesal melihat pihak MKPN seolah-oleh tergesa-gesa dan gopoh dalam menangani isu ini. Mengapa pihak MKPN tidak memanggil semua stake-holder dan pihak yang berkepentingan untuk memberi penjelasan atau hujah masing-masing sebelum MKPN membuat sebarang keputusan?
Apa yang kami khuatirkan ialah kelak nanti timbul persepsi seolah-olah MKPN dipenuhi oleh golongan tertentu yang mewakili suara kumpulan tertentu dan sekadar menjadi mouthpiece kepada pihak berkepentingan.
Jika persepsi ini berlaku, maka tanggungjawab legal dan moral MKPN untuk menjadi sebuah badan tanpa kepentingan bertujuan untuk mencari kata sepakat dalam mencapai dan memupuk perpaduan nasional dan keharmonian antara pelbagai agama dan kaum akan gagal; malah sebaliknya akan dilihat lebih mengeruhkan keadaan lagi.
Pada kami MKPN telah gagal dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya secara matang, profesional dan berhemah dengan mematuhi lunas-lunas hak asasi dan prinsip keadilan sejagat (natural justice).
Mengapa isu ini langsung tidak dilihat dari perspektif umat Islam? Apakah umat Islam di Malaysia ini sudah tidak ada hak dalam mempertahankan aqidah dan hak asasi kami untuk menganut, mengamal dan melaksanakan agama Islam dengan aman dan harmoni sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan?
Apakah umat Islam di Malaysia sudah tiada hak didalam negara yang menjadikan Islam sebagai agama bagi Persekutuan?
Satu perkara yang perlu kami tegaskan ialah kita tidak pernah menghalang umat kristian untuk menganut, mengamal dan melaksanakan kepercayaan mereka. Malah kita berbangga Malaysia sebagai sebuah negara umat Islam merupakan antara negara yang mengamalkan sifat toleransi agama dan kaum yang sangat tinggi, dan begitu akomodatif terhadap agama dan bangsa lain walaupun kita menjadi tunjang pemerintahan sejak zaman Kesultanan Melayu sehinggalah era pemerintahan moden ini.
Dan antara rahsia besar pengekalan keamanan dan keharmonian serta perpaduan unik ialah kerana sikap umat Melayu-Islam yang cukup bertolak ansur dan toleran.
Oleh itu kita berharap tidak ada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menguji kesabaran dan sikap toleran umat Melayu-Islam, terutama dalam hal berkaitan bangsa Melayu dan agama Islam. Kerana tiap kesabaran ada hadnya; dan mencabul dan menghina agama Islam dan bangsa Melayu adalah sempadan yang rapuh yang memungkinkan pelbagai perkara berlaku.
Oleh itu kita memberi amaran kepada semua pihak supaya bersikap rasional dan matang dalam menjaga keharmonian antara agama dan perpaduan nasional yang telah kita bina begitu lama. Jangan sampai ianya tercemar dek kerana nafsu dan keghairahan segelintir antara kita yang tidak langsung mengerti untuk menghormati sensitivit dan hak orang lain.
Sekian terima kasih
KENYATAAN INI ADALAH MEWAKILI PERTUBUHAN-PERTUBUHAN BERIKUT:
  1. Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia – MUAFAKAT
  2. Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara – PERKASA
  3. Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam – PEMBELA
  4. Persatuan Peguam Muslim Malaysia – PPMM
  5. Jalur Tiga – JATI
  6. Peguam Pembela Islam – PPI
  7. Institut Pemikiran Tradisional Islam – IPTI
  8. Ikatan Muslimin Malaysia – ISMA
  9. Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia – ASWAJA
  10. Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)
  11. Persatuan Angkatan Islamiah Malaysia (P.A.I.M.)
  12. Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)
  13. Pertubuhan Professional Muslim (Pro-Muslim)
  14. Persatuan Nur Alamiyyah
  15. International Muslim Consumer Association (IMCA)
  16. Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID)
  17. Persatuan Jaringan Kaseh Ixora Putrajaya (JKIP)
  18. Gabungan Bela Hak Insan Pinang (GABUNGAN)
  19. Badan Anti IFC (BADAI)
  20. Sekreteriat Dakwah Pulau Pinang (SDPP)
  21. Raudhatul Huda Pulau Pinang (RH)

1 comment:

  1. nak bela apanya JAIS tu 90% semua ahli PAS laka, dia org pun diam tak nak cakap, biarkan aje mampuslah

    ReplyDelete