Tuesday 5 September 2017

Wanita Harapan sokong inisiatif NGO tentang POLITIK TOKSIK

Acara : Sidang media Wanita Harapan untuk menyatakan sokongan kepada perhimpunan aman
#WanitaBantahPolitikToksik

Lokasi : Pusat media Keadilan, Merchant Square, Damansara

Tarikh : 5/9/2017 @ 11.00 am



Video 1 - Kenyataan media dibacakan oleh Ketua Wanita Harapan, Zuraida Kamaruddin



*********************************************************************************

Kenyataan Media

WANITA HARAPAN SAMBUT BAIK HIMPUNAN AMAN WANITA BANTAH POLITIK TOKSIK DAN MENYERU SEMUA PIHAK TURUT  SAMA MENJAYAKAN HIMPUNAN.

1. Wanita Pakatan Harapan (Wanita Harapan) menyambut baik Himpunan Aman "Wanita Bantah Politik Toksik", 10 September 2017 yang dianjurkan oleh Wanita-Wanita Malaysia Prihatin daripada pelbagai kelompok dan kumpulan termasuk lah individu-individu berpengaruh dalam masyarakat.

2. Wanita Harapan percaya bahawa usaha yang baik ini  merupakan satu mesej jelas yang dilontar oleh entiti Wanita Malaysia bahawa kita menolak apa jua wajah, gaya dan cara politik bangkrap nilai yang kini semakin parah menyelubungi negara.

3. Toksik adalah  fenomena beracun yang sangat berbahaya kepada kesihatan bahkan upaya mengundang kematian. Ia boleh merebak ke setiap ruang sama ada pada diri individu, masyarakat sekaligus seluruh tanahair yang kita cintai ini. Justeru,  mengangkat ketoksikan politik adalah sangat tepat pada masanya. Rakyat harus segera diperingatkan akan bahaya Politik Toksik yang berupa pelbagai tindakan keganasan, ancaman terhadap individu, ucapan-ucapan penuh rasis, seksis, lucah, pengaiban sekaligus perlecehan terhadap individu wanita dan kebencian sesama. 

4. Memerangi Politik Toksik khususnya oleh kalangan wanita yang tugas hakikinya berperanan sebagai  pendidik dan  membangunkan manusia adalah satu tindakan tepat dan bertanggungjawab bukan sahaja kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat ; bahkan penting dan sangat relevan dalam memastikan penyediaan sebuah negara yang lebih baik untuk generasi kita yang akan datang. Walau bagaimanapun, perjuangan ini bukan hanya terletak di atas bahu wanita sahaja. Semua rakyat Malaysia, lelaki dan wanita, daripada pelbagai kaum, agama serta latar belakang politik yang berbeza harus bersama, berganding tenaga membantah sekaligus memerangi politik toksik.

5. Negara ini khususnya melalui peranan wanita perlu bangkit dengan segala kekuatan bagi menghentikan segera kedurjanaan amalan politik toksik without fear and favour. Malaysia perlu dibina semula dengan rasa penuh tanggungjawab sebagai rakyat yang cintakan keamanan, kebaikan dan rahmat untuk semua. Sekaligus bangkit memastikan semua entiti khususnya institusi-institusi awam kembali berperanan aktif dan efektif mendokong serta mempertahankan keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kesopanan serta kesusilaan.

6. Sebagai aksi solidariti kami Wanita Harapan, dengan ini kami ingin menyatakan secara tegas dan tuntas akan kebersamaan kami semua dalam Himpunan Aman Wanita Bantah Politik Toksik yang akan diadakan pada 10 September 2017 nanti. Kami menyeru seluruh wanita tanpa mengira kecenderungan politik agar Turun dan Turut Sama Hadir menjayakan bantahan ini secara besar-besaran. Ini penting demi perjuangan dan kelangsungan peradaban dalam politik negara sebagai lambang keprihatinan kita semua tentang masa depan Malaysia.

Semoga usaha ini membekas kesan tuntas dalam sejarah pencorakan Malaysia Baharu yang lebih bermakna dan rahmat untuk semua. 

#BantahPolitikToksik
#NegarakuMalaysia
#WanitaSatuHati


YB ZURAIDAH KAMARUDDIN
Ketua Wanita Harapan/ Ketua Wanita
Parti KeADILan Rakyat (PKR)

YB CHONG ENG
Timbalan Ketua Wanita Harapan/ Ketua Wanita
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

YB DR SITI MARIAH MAHMUD
Timbalan Ketua Wanita Harapan/ Ketua Wanita
Parti Amanah Negara (Amanah)

SDRI RINA MOHD HARUN
Timbalan Ketua Wanita Harapan/ Ketua Wanita
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)

Kuala Lumpur
5 September 2017

*********************************************************************************

1
2
3
4



No comments:

Post a Comment