Saturday 17 July 2021

Majlis Pemulihan Negara tidak boleh dikepalai oleh pemimpin yang gagal seperti Mahiaddin Md Yasin



KENYATAAN MEDIA

17 JULAI 2021

MAJLIS PEMULIHAN NEGARA VERSI KERAJAAN GAGAL


1. Lewat petang semalam melalui kenyataan media Kementerian Kewangan, Kerajaan telah mengumumkan akan menubuhkan Majlis Pemulihan Negara.


2. Namun begitu, Majlis yang ditubuhkan oleh Tan Sri Mahiaddin ini berbeza dengan apa yang dicadang oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dan PEJUANG pada asalnya. Cadangan asal Tun Mahathir mengenai Majlis ini adalah bagi mengatasi masalah Covid-19 yang tidak dapat diatasi dan diuruskan oleh kerajaan gagal ini. 


3. Demi tujuan itu, cadangan asal adalah Majlis ini diberi kuasa autonomi menggantikan kuasa eksekutif Kabinet dan bertanggungjawab terus kepada Yang di-Pertuan Agong serta mendapat pandangan/cadangan dari Parlimen.


4. Maka, apabila Tan Sri Mahiaddin dinamakan sebagai pengerusi MPN yang diumumkan oleh Kerajaan, tujuan asal cadangan ini menjadi tidak lagi relevan.


5. Selaku Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin telah mendapat kelulusan Bajet Nasional  yang terbesar dalam sejarah negara, melancarkan pelbagai pendekatan bagi menangani penularan COVID-19, malah telah menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Darurat supaya Kerajaan PN ini dapat bebas membuat sesuka hati tanpa diganggu oleh Parlimen dan Perlembagaan Persekutuan. 


6. Namun beliau masih gagal untuk menyekat penularan wabak ini, dengan angka-angka jangkitan dan kematian terus meningkat, Rakyat semakin tertekan sehingga kes-kes bunuh diri juga bertambah.


7. Bagaimana Rakyat boleh berharap satu perubahan besar akan berlaku sekiranya pemimpin yang terbukti gagal seperti Mahiaddin mengepalai MPN?


8. Tindakan Tan Sri Mahiaddin ini sekadar mahu mengelirukan orang ramai dan tidak sama sekali membawa roh dan aspirasi Majlis Pemulihan Negara yang asalnya dicadang oleh Tun Mahathir. 


9. Majlis Pemulihan Negara hanya akan berjaya jika tidak melibatkan mereka dari kerajaan gagal ini.


DATO’ SERI UTAMA MUKHRIZ BIN MAHATHIR

PRESIDEN

PARTI PEJUANG TANAHAIR

No comments:

Post a Comment