Showing posts with label darurat. Show all posts
Showing posts with label darurat. Show all posts

Tuesday, 6 July 2021

Tok Him yakin Zahid akan bawa UMNO keluar dari PN kerana sudah ada mandat PAU2020 dan tidak mampu lagi flip-flop


KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PUTRA

Dato Dr Ibrahim Ali

6hb.7.2021.


TARIKH KERAMAT 7.7.2021


1. Esok bertarikh 7.7.2021, iaitu tempoh tarikh 14 hari yang di muktamadkan oleh Presiden UMNO dengan sokongan majoriti MKT UMNO untuk mengumunkan keluar daripada Kerajaan PN.


2. Berbagai spekulasi kita baca dalam media sosial dan ulasan serta berbagai propaganda politik oleh pihak-pihak yang berkepentingan, serta berita hangat pertemuan-pertemuan pemimpin UMNO dan MP-Mp UMNO, siang dan malam di musim PKP, namun saya percaya esok 7.7.2021, Presiden UMNO akan umum keluar dari PN. Ini ramalan dan logik akal fikiran politik saya yang cetek.


3. Kenapa saya berpendapat demikian. Sebab nya nahkoda kapal tidak mampu lagi dengan kapal nya yang terus di lambong ombak dan dikatakan flip-flop. Presiden UMNO sudah ada watikah untuk keluar dari PN dari mandat PAU 2020 dan keputusan majoriti MKT UMNO.


4. Rakyat pun sudah naik jemu riuh rendah politik UMNO yang tak sudah sudah.


5. Kerajaan PN pun dalam keadaan kapal yang pecah. Walaupun bermacam-macam pengumuman dengan berbagai-bagai dasar yang di umum, namun perlaksanaan nya dan hasil nya menjadi ejekan rakyat. Bendera putih, bendera hitam dan ramai yang bunuh diri menyebabkan umum berpendapat kerajaan gagal. Termasuk bendera hijau yang usung janda, bercerai atas talian dan kahwin pun atas talian dengan Imam Thailand kerana Imam Malaysia tidak ada tauliah yang belum terjamin masuk syurga.

Malaysia sudah jadi negara komidi. Semua ini mesti di hentikan segera.


6. PRU 15 tidak mungkin dapat di adakan dengan segera akibat Covid19. Jika Kerajaan PN runtuh, terpulanglah kepada kebijaksanaan DYMM Tuanku YDPA untuk melantik PM ke-9 untuk memimpin negara.


7. Sama sama kita berdoa semoga DYMM Tuanku Agung dan DYMM Raja-Raja Melayu bersemayam di Singahsana dengan penuh Daulat dan Berkat Petunjuk Allah, membawa Negara keluar dari kemelut politik, melawan Covid19 dengan berkesan dan memulih ekonomi dan kehidupan rakyat yg sedang menderita.


DAULAT TUANKU


PUTRA PERKASA NEGARA


Terima Kaseh.


Dato Paduka Dr Ibrahim Ali 

Presiden Putra.

6.7.2021.


Thursday, 1 July 2021

Sepatutnya kerajaan gagal yang mengibarkan bendera putih, bukan nya rakyat


KENYATAAN MEDIA

PRESIDEN PUTRA

Dato Paduka Dr Ibrahim Ali

1hb Julai 2021 


TANGANI COVID 19, PEMULIHAN EKONOMI DAN DERITA RAKYAT


1. KERAJAAN GAGAL, ini adalah sentimen utama rakyat yang turut disuarakan PUTRA apabila 6,276 angka kes baharu yang di catatkan sehingga semalam (30 Jun 2021) diumumkan. Dalam keadaan darurat dan juga "lockdown" separuh masak ini, angka kes baharu ini menunjukkan KERAJAAN GAGAL segagal-gagalnya menangani pandemik COVID-19 seperti yang diharapkan rakyat, dan dicanang sebagai 'kejayaan' oleh kerajaan dan penyokong kerajaan. 


2. Mengapa KERAJAAN GAGAL? Pada pandangan saya, selaku seorang yang pernah berada dalam kerajaan dahulu dan pernah menjadi sebahagian daripada  perangka polisi negara, pelan tindakan dan mekanisma pelaksanaan SANGAT LEMAH menjadi sebab kepada kegagalan secara menyeluruh pentadbiran negara Malaysia. 


3. Dasar yang di gubal adalah 'flip-flop' dan  'double-standard' yang lebih memihak kepada pihak kapitalis dan bukan ke arah kepentingan rakyat dan negara. Pelan dan inisiatif yang 'direka' umpama melepaskan batuk di tangga, nampak sahaja gah apabila diumumkan tetapi dari segi impaknya kepada rakyat dan negara, bukan menyenangkan, malah makin menyusahkan dan menekan rakyat dengan pelaksanaannya oleh pihak kerajaan tidak menyeluruh dan mampan dalam ertikata lain tiada "thought through process".


4. Dalam PKP 3.0 ini, hampir semua rakyat Malaysia berada dalam keadaan "lockdown", dan, perniagaan tidak "essential", seperti kedai alat tulis dan percetakan, salon gunting rambut, servis komputer dan telefon bimbit dan lain-lain tidak dibenarkan beroperasi. Sekolah pula terpaksa tutup akibat dari kes COVID-19 yang masih lagi tinggi. Dalam keadaan kesempitan dan kesulitan,  anak-anak dirumah tetap terpaksa menjalani pembelajaran atas talian (PdPR) dan pada masa yang sama ada latihan-latihan yang diberikan memerlukan percetakan dan ada juga yang kehabisan alat tulis seperti kertas A4, buku latihan dan sebagainya. 

Hal ini amat menyukarkan dan lebih buruk lagi jika peranti atau komputer mereka rosak, mereka tidak dapat meneruskan pembelajaran akibat daripada kedai membaiki alat peranti dan komputer tidak dibenarkan beroperasi. Ada pula ahli politik yang menangguk di air keruh dengan mencadangkan agar anak-anak yang tidak hadir ke kelas PdPR sebanyak tiga kali berturut-turut wajar digantung persekolahan. Kezaliman apakah yang sedang dihadapi oleh rakyat Malaysia ini, dan adakah virus Covid-19 ini telah 'merosakkan' ahli politik Malaysia sehingga hilang kewarasan dalam berbicara hal ehwal kelestarian rakyat?  


5. Kerajaan telah membelanjakan RM600b sejak pandemik COVID-19 ini melanda negara. Ini adalah satu perbelanjaan yang amat besar akan tetapi masih lagi belum berhasil untuk menangani pandemik ini, malangnya menjadi lebih teruk berbanding tahun 2020. 

Kerajaan boleh berbincang dengan pengusaha-pengusaha kilang dan pemilik hotel untuk menyewa dewan dan fasiliti mereka untuk tujuan mengagihkan vaksin. Pengusaha Hotel boleh hidup dan tidak perlu tutup atau buang pekerja. Apa guna melaksanakan Darurat, jika kerajaan tidak boleh bertegas untuk kepentingan rakyat? Bukankah di bawah kuasa Darurat kerajaan boleh menggunakan apa sahaja hak swasta dan individu termasuk hak kebebasan bergerak rakyat? 

Jika dari awal lagi kerajaan bijak menguruskan kewangan negara bagi menangani pendamik Covid-19, pastinya perbelanjaan ini tidak perlulah sebanyak RM600b kerana angka kes sudah menurun kepada 3  atau 2 angka sahaja. Pepatah Melayu ada mengatakan "mencegah lebih baik daripada mengubati", namun apa yang berlaku umpama "harapkn pegar, pegar makan padi", harapkan kerajaan, kesusahan rakyat pula makin menjadi-jadi. Mungkin ada yang mengaut keuntungan besar di musim darurat dan Covid-19 dari pembelian vaksin dan program vaksinasi yang bercelaru tetapi kos perbelanjaan yang tinggi. 


6. Ini belum lagi mengambil kira faktor kerajaan yang GAGAL MEMBAWA MASUK PELABURAN dari luar negara bagi merancakkan ekonomi negara agar dapat meningkatkan pendapatan rakyat, dan  secara tidak langsung menjamin kestabilan ekonomi negara. TIADA KEJAYAAN LANGSUNG yang boleh diperkatakan tentang kerajaan Malaysia masa kini. Hanya KERAJAAN GAGAL serba-serbi. 

Apabila KERAJAAN GAGAL membawa masuk pelabur dan berbelanja sebesar ini, maka ia memberi impak negatif kepada mikro ekonomi iaitu ekonomi seharian rakyat. Apabila ekonomi rakyat tidak rancak, ianya akan mengurangkan peluang perniagaan secara tidak langsung peluang pekerjaan semakin sempit. Dengan peningkatan kadar pengangguran, maka kadar jenayah dan  penyakit-penyakit tekanan mental juga akan meningkat. 


7. Dengan pelaksanaan PKP banyak sektor ekonomi seperti, pelancongan, sukan, hiburan, peniaga kecil dan sebagainya terpaksa ditutup dan hilang pendapatan bagi menurunkan kes baharu pandemik ini. Apabila "lockdown" yang dikuatkuasakan oleh kerajaan gagal mengekang kes baharu Covid-19, sia-sia sahaja 'pengorbanan' rakyat dari segi hilang punca pendapatan dan simpanan yang makin menyusut dan akhirnya tiada apa yang tinggal jika pentadbiran KERAJAAN GAGAL ini berterusan. 

Tidak dapat dinafikan rentetan kegagalan kerajaan telah menimbulkan masalah baharu iaitu masalah psikososial yang berpunca daripada hilang sumber pendapatan dan juga perbelanjaan harian yang perlu ditanggung. Ini adalah salah satu faktor peningkatan kes bunuh diri di kalangan rakyat dan juga timbulnya inisiatif kibar bendera putih. INI MEMBUKTIKAN KERAJAAN TELAH GAGAL MENJAGA KEBAJIKAN, KESELAMATAN DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT. Sepatutnya KERAJAAN GAGAL yang MENGIBARKAN BENDERA PUTIH dan bukan rakyat


8. Perdana Menteri telah mengumumkan dalam Pelan Pemulihan, rakyat akan dapat moratorium bagi semua pinjaman bermula bulan Julai nanti. Tetapi rakyat perlu menghubungi pihak bank untuk memohon Moratorium. Tidakkah kerajaan sedar bahawa apabila melibatkan Moratorium secara tidak langsung ia juga melibatkan penukaran perjanjian lama kepada yang baharu? Tidakkah juga Perdana Menteri sedar bahawa apabila tempoh perjanjian sesuatu pinjaman pihak bank akan mengenakan caj-caj yang tertentu? Banyak birokrasi yang rakyat perlu lalui semata-mata untuk melanjutkan tempoh Moratorium. Kerajaan perlu fikirkan kaedah untuk meringankan beban rakyat untuk tidak membayar sebarang caj tambahan pada masa depan. 

Apabila pengumuman moratorium dibuat, ianya hanya melibatkan perkara pinjaman sahaja. Bagaimana pula bagi sewa rumah dan sewaan premis? Adakah kerajaan lupa, atau berpura-pura terlepas pandang bahawa inilah antara punca kerisauan rakyat dan peniaga untuk meneruskan kehidupan seharian mereka. Perniagaan tidak beroperasi tetapi sewa bulanan perlu dibayar begitu juga dengan penyewa rumah. Ini salah satu punca meningkatnya masalah psiko-sosial ini. 


9. Dari sudut I-Citra pula, usahlah kerajaan bangga dengan meluluskan dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) KERANA ITU ADALAH WANG SIMPANAN RAKYAT. Sepatutnya kerajaan mencari dana lain untuk disalurkan terus kepada rakyat. BUKAN GUNA DUIT SIMPANAN RAKYAT. 


10. Oleh itu, saya menyarankan kepada pihak kerajaan, terutamanya Perdana Menteri, untuk menyemak semula inisiatif yang diberikan kepada rakyat agar ianya berbentuk satu pelan yang menyeluruh dan mampan serta berpijak di bumi yang nyata dan bukannya semakin menyusahkan rakyat. Berhentilah memperkotak-katikkan rakyat yang telah banyak merana atas kegilaan kerajaan yang lemah dan serabut ini. Banyak sumber kewangan rakyat telah dibazirkan dan hasilnya gagal. Inilah punca mengapa Parlimen perlu bersidang SEGERA SEBELUM KEADAAN MAKIN TERUK.

DYMM YDPA sudah 3 kali bertitah agar Parlimen segera bersidang sebelum tamat tempoh darurat pada 1 Ogos 2021.



Terima Kasih.

Sunday, 20 June 2021

Sewaktu Darurat YDPA bukan saja boleh panggil Parlimen bersidang, malah boleh pecat PM dan Speaker sekalipun





SEWAKTU DARURAT, AGONG BUKAN SAJA BOLEH PANGGIL PARLIMEN BERSIDANG, MALAH BOLEH JUGA PECAT PM - ZAID IBRAHIM 


Kerajaan PN bernasib baik kerana mereka masih lagi memerintah kerajaan, walaupun tidak menentu hala tuju. Mereka bernasib baik kerana Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah lembut dan sabar orangnya.


Dalam masa darurat (dan di mana Parlimen tidak bersidang) Ordinan Darurat yang ada sekarang memberi kuasa penuh kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA).


Baginda boleh panggil Parlimen bersidang esok atau lusa. Baginda boleh pecat Perdana Menteri dan baginda boleh pecat Speaker dan sebagainya. Itulah luasnya kuasa YDPA semasa darurat.


Prinsip Raja Berperlembagaan di mana YDPA mesti mengikut nasihat Perdana Menteri di bawah Artikel 40 Perlembagaan itu tidak boleh digunapakai semasa darurat kerana Seksyen 14 Ordinan Darurat memberi kuasa penuh kepada YDPA, dalam segala hal demi menyelesaikan masalah negara.


Ordinan Darurat memberi kuasa kepada YDPA untuk melakukan apa saja walaupun bercanggah dengan prinsip dan undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan selagi Parlimen tidak bersidang untuk mengubah ordinan tersebut.


Perdana Menteri (dan penasihat beliau) mungkin merasakan, jika mereka memberi kuasa penuh kepada YDPA melalui Ordinan Darurat, mereka boleh mengambil kesempatan berselindung di belakang kuasa YDPA. Mereka akan berkata, “YDPA mesti ikut nasihat kami”, kerana itulah lazimnya prinsip Raja Berperlembagaan.


Mereka tidak menyangka prinsip biasa tidak laku dalam masa darurat. YDPA dan Raja-Raja Melayu juga ada pendirian sendiri dan tidak mahu jadi pak turut.


Mereka salah perkiraan mengenai undang-undang darurat yang mereka sendiri gubal. Ordinan Darurat yang ada sekarang memberi kuasa penuh kepada YDPA.


Jadi, isu baginda perlu mengambil nasihat Perdana Menteri sebelum mengambil apa-apa tindakan itu tidak timbul. Kecuali Parlimen bersidang dan mengubah Perkara 14 Ordinan Darurat sekarang.


PM kita “wants the cake and eat it”, kata orang Inggeris. Beliau mahu darurat yang memberi kuasa mutlak kepada YDPA dengan harapan nasihat beliau sentiasa diikuti oleh baginda.


Itulah sebab orang tua-tua bercerita, “pandai-pandai tupai melompat, jatuh juga ke tanah”.


Krisis yang ada sekatan boleh diselesai dengan mudah. YDPA boleh memanggil Perdana Menteri mengadap dan memberitahu beliau jawatannya sebagai Perdana Menteri akan gugur pada 1 Julai 2021. YDPA juga boleh namakan penggantinya dengan serta merta.


YDPA juga boleh arahkan Parlimen bersidang untuk memilih Perdana Menteri baharu, jika itulah yang difikirkan terbaik.


Notis 28 hari untuk Parlimen bersidang tidak perlu diikuti kerana kita dalam darurat dan segala keputusan YDPA adalah sah semasa darurat, termasuk isu notis mesyuarat dan ianya tidak boleh dicabar.


DATUK ZAID IBRAHIM

Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

Friday, 18 June 2021

YDPA & PM8 langgar sumpah jawatan jika "AS SOON AS POSSIBLE" disalah tafsir

KOMEN Y.B.M. TENGKU RAZALEIGH HAMZAH

AHLI PARLIMEN GUA MUSANG

“As soon as possible”

Banyak pihak memberi pelbagai tafsiran kepada ungkapan ini. Ada yang berkata dalam Bahasa Inggeris, it means “it is like yesterday” atau “semalam”. 

Tengku Razaleigh menambah:

Perdana Menteri tidak boleh menasihat Yang di-Pertuan Agong melanggar Perkara 55 Perlembagaan sebab Yang di-Pertuan Agong, di bawah Perkara 55 itu,  bertanggungjawab  memanggil Parlimen dalam masa 6 bulan daripada tarikh akhir persidangan Parlimen yang lepas. Jika tidak, Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri telah melanggar Perlembagaan dan sumpah jawatan.

17 June 2021

6 Zulqaedah 1442

Wednesday, 16 June 2021

Buka semula Parlimen - YDPA dan Raja-Raja Melayu menterjemah isi hati rakyat jelata



KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PUTRA

16hb Jun 2021, Khamis


YDPA DAN RAJA-RAJA MELAYU MENTERJEMAH ISI HATI RAKYAT JELATA


1. DYMM YDPA melalui siaran media pihak istana olih Dato Pengelola Bijaya Di Raja telah menitahkan supaya PARLIMEN bersidang SEGERA bagi membolihkan Ahli Ahli Parlimen membahas dan membincangkan isu isu berkaitan menangani Covid19, program veksinasi, perbelanjaan wang negara dan pemulihan ekonomi yang semakin tenat. Sebelum ini DYMM YDPA telah pun memberi ampun perkenan agar Parlimen bolih bersidang tapi tidak di hirau olih kerajaan masa kini yang tidak pasti dengan keabsahan nya kerana sokongan majoriti nya menjadi tanda tanya. Tidak ada pilihan lagi bagi kerajaan yang bergayut di dahan rapuh untuk tidak memanggil Sidang Dewan Rakyat secepat mungkin. 


2. Parti PUTRA menjunjung kasih dengan lafaz 'Daulat Tuanku' kerana gesaan Parti PUTRA agar DYMM YDPA menitahkan agar Parlimen Bersidang Segera, jika MAGERAN tidak bolih di wujudkan serta memansuhkan Kabinet yang terlalu besar jumlah nya dan jelas tidak berkesan dan membazirkan wang rakyat. Olih kerana MAGERAN bukan menjadi pilihan, namun Parlimen mesti bersidang segera menjadi pilihan utama, sudah pasti mengembirakan rakyat kerana fungsi Dewan Rakyat bukan sahaja membahas dasar-dasar dan undang-undang tapi yang lebih penting peranan SEMAK DAN IMBANG  kerana wang beratus billion di belanjakan mesti di audit olih Dewan Rakyat serta projek-projek direct nego yang di lulus dalam masa darurat dan lain-lain perkara yang mesti berteraskan ketelusan dan integriti.


3. DYMM YDPA dan Raja Raja Raja Melayu dalam Perjumpaan petang 16hb Jun 2021 telah menzahirkan DAULAT RAJA PAYONG NEGARA dan menentukan DEMOKRASI BERPARLIMEN SERTA RAJA BERPERLEMBAGAAN DI JUNJUNG TANPA TOLAK ANSUR. SEMBAH DAULAT TUANKU DARI WARGA PARTI PUTRA.


4. DYMM YDPA juga menitahkan agar program vaksinasi di perhebatkan sebagai jalan keluar kepada ancaman Covid 19. Hasrat Sasaran 80% matlamat imuniti kelompok (herd immunity) hendaklah di capai secepat mungkin, adalah titah DYMM YDPA. Ini menunjukan bahawa program vaksinasi sekarang amat perlahan dan macam-macam isu berkaitan timbul. Terlalu banyak kritikan, kecaman, berbagai persoalan yg di timbul termasuk pembelian vaksin, sistem my sejahtera sehingga ada tuduhan berlaku ada pihak kuat komisyen yang begitu banyak melalui kroni dan sebagai nya. Amat wajar Menteri yang bertangungjawab ini di ganti dan di wujudkan TASK FORCE dengan melantik anggota-anggota berintegriti dan bukan di kalangan orang politik supaya dapat fokus kepada pencapaian matalamat vaksinasi 80% secepat mungkin. Yang berlagak padai dan menyelam sambil minum air patutlah di rehatkan dari tugas ini.


5. Putra berharap Ahli Ahli Parlimen kali ini bila bersidang, mempamerkan kualiti perbahasan, berfakta, berani dan tegas sebagai suara yang mewakili rakyat dengan gaji yang lumayan. Bercakap dan berbahas sebagai Ahli Parlimen yang mewakili rakyat dan bukan sentimen Parti semata mata.


Sama sama tunggu dan lihat


DYMM YDPA dan Raja-Raja Melayu pasti akan mengikuti peranan Ahli Ahli Parlimen dan keberkesanan Kerajaan yang mendapat kuasa darurat.


Rakyat Memerhati dan Allah swt lagi Maha Mengetahui


Salam Perjuangan Rakyat 


Dato Paduka Dr Ibrahim Ali

Presiden PUTRA

16hb Jun 2021

9.30mlm.

Kegelisahan dan kekecewaan rakyat memerlukan camputangan YDPA dan Majlis Raja -Raja Melayu




KENYATAAN AKHBAR 

Y.B.M TENGKU RAZALEIGH HAMZAH

AHLI PARLIMEN GUA MUSANG


KEADAAN NEGARA DI MASA KINI


1. Rakyat Malaysia terutamanya mereka yang miskin kini berada dalam keadaan terdesak dan kecewa. Mereka ketakutan terhadap perkara yang tidak dapat dikenalpasti dan curiga mengenai keadaan keselamatan diri. Mereka amat tertekan oleh kegelisahan mengenai masa depan.


2. Yang dianggap musuh tidak kelihatan dan ini menimbulkan kebimbangan. Ia mampu bertindak lebih bijak dan ini seolah-olah perjuangan melawan kuasa ghaib. Keadaan biasa tidak lagi wujud. Apa yang dapat diharap pada masa depan bergantung kepada sama ada kepimpinan negara dapat membawa perubahan.


3. Kepimpinan negara masa kini amat penting kesannya terhadap cara hidup rakyat. Sesungguhnya kita berada di dalam keadaan serba salah. Persoalan yang timbul adalah apakah negara ini dapat meneruskan kedudukannya sepertimana keadaan terdahulu. Kepimpinan seperti yang terdapat di masa lampau kini tidak relevan lagi. Di samping itu ia tidak dapat menangani berbagai masalah berkaitan dengan ekonomi yang dihadapi serentak termasuklah masalah pengangguran tinggi, kehilangan pendapatan dan kewangan semakin kurang untuk membiayai, sebagai contoh, makanan dan kesihatan.


4. Keadaan sebegini tidak pernah berlaku di masa-masa lampau. Pada masa dahulu keadaannya tidak serumit kini dan orang ramai lebih optimis. Kini mereka tidak lagi begitu.


5. Perlembagaan dan institusi-institusi negara tidak terbentuk untuk meghadapi keadaan yang sedang melanda kita. Sama ada institusi-institusi kenegaraan kita dapat menangani keadaan ini adalah suatu keraguan oleh kerana mutu kepimpinan pada masa kini menjadi tanda tanya.


6. Terdapat tiga kekurangan Dewan Rakyat, yang ditauliahkan oleh perlembagaan sebagai penentu muktamad untuk memilih Perdana Menteri daripada kalangan Wakil Rakyat, iaitu:

a) Ia tidak berfungsi secara menyeluruh oleh kerana sebahagian daripada Wakil Rakyat mempunyai kepentingan kewangan (sama ada secara terbuka atau pun secara senyap) dan hilang kelayakan mengikut Akta Majlis Parlimen (Kestimewaan dan Kuasa) 1952.

b) Dewan Rakyat kini dalam keadaan tergantung dan tiada pihak mempunyai majoriti untuk membuat keputusan.

c) Juga terdapat ahli-ahli yang tidak menepati peruntukan perlembagaan berkaitan dengan pemilihan mereka dan ini merupakan penipuan terhadap perlembagaan. Tidak terdapat peruntukan di dalam pelembagaan atau mana-mana undang-undang untuk menyelesaikan masalah ini. 


7. Kini perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat mengenai keadaan semasa semakin tebal, walau pun ia tidak disuarakan oleh mereka. Gelombang sepi ini mencerminkan kehilangan keyakinan oleh rakyat terhadap pemimpin mereka. Kita tidak harus membenarkan keadaan ini membiak.  


8. Maka itu, Raja-Raja Melayu bertanggungjawab untuk memainkan Peranan Keperlembagaan yang dianggap penting ketika negara berada dalam keadaan genting ini. Peranan ini timbul selaras dengan Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong di hadapan Raja-Raja Melayu yang memilih baginda mewakili Majlis Raja-Raja Melayu. Peranan ini wujud selaras dengan Sumpah Jawatan itu.


9. Tanggungjawab ini memerlukan pemilihan seorang pemimpin tanpa kepentingan peribadi, parti politik mahu pun pertimbangan peribadi. Pemimpin tersebut semestinya mempunyai kemampuan, keupayaan, visi dan pemahaman mendalam mengenai keadaan semasa demi memimpin kerajaan yang mampu membantu kita mengatasi keadaan teruk yang melanda rakyat sekarang. 


10. Sekarang ini kita menghadapi krisis bertubi-tubi yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Sistem ekonomi kita merudum. Di samping itu, kita mengalami krisis berkaitan dengan keperluan asas seperti bekalan makanan, keadaann kesihatan dan isu keselamatan. Kita ada dua pilihan, sama ada hadapinya dan selesai kesemua masalah atau menempuhi kegagalan. Sedia maklum bahawa kepimpinan mempunyai hubung kait rapat dengan kemajuan negara dan kehidupan rakyat yang baik. Lipatan sejarah banyak merakam kegagalan kepimpinan. Kita tidak harus beri peluang kepada kegagalan.


15th June 2021

4th Zulqaedah, 1442

Plan Pemulihan Negara - tali hayat untuk kekalkan Darurat ?


KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PUTRA

16hb Jun 2021

PLAN PEMULIHAN NEGARA


1. PM telah mengumunkan 4 Fasa Strateji Plan Pemulihan Negara pada petang 15hb Jun 2021, sehari sebelum Perjumpaan Raja Raja Melayu pada 16hb Jun 2021. Apa strateji nya fikir-fikir sendirilah.


2  Plan ini juga bolih di ibaratkan Plan tali hayat PN untuk kekalkan DARURAT dan di jangka Parlimen akan bersidang pada September atau Oktober tapi dengan syarat-syarat tertentu. Darurat patut tamat pada 1 Ogos 2021. Kenapa pula Parlimen di jangka bersidang September atau Oktober? Patut nya awal September sudah bolih bersidang.

MALAH SEKARANG PUN PARLIMEN BOLIH BERSIDANG KERANA DYMM YDPA TELAH BERI PERKENAAN UTK PARLIMEN BERSIDANG 

Rakyat tidak bodoh untuk berfikir atas mainan licik politik yang mempersendakan Sistem Demokrasi Berparlimen. Kalau dahan sudah rapuh, buat macam mana pun, dahan tetap patah. Ikatlah dahan dengan tali ropia setakat yang bolih.


3. Mungkin benar ada yang mendakwa darurat kekal dan mahu di lanjutkan kerana mahu bergayut pada kuasa sebab hilang majoriti. Benjamin Netanyahu, Israel, hilang jawatan PM dengan satu undi sahaja. Bila kekal berkuasa di bawah Darurat, banyak keputusan bolih di buat tanpa semak dan imbang dan bolih nyahkan semua prosedure. Mudah lah lulus projek direct nego  dan macam-macam lagi. Ini dakwaan sesetengah pihak dan persepsi rakyat.


4. PUTRA tidak mahu memberi apa-apa reaksi atau ulasan terhadap apa-apa rancangan Plan Pemulihan yang di umumkan. PUTRA hanya mahu tunggu dan lihat keberkesanan nya. Budaya, belum apa-apa sudah puji melangit. Hasil nya belum ada. Atau mengecam secara tiba tiba, tanpa beri peluang kepada pihak yang bertanggungjawab.

Selalu nya yang di kata good policy tapi berakhir dengan kegagalan demi kegagalan. Sudah banyak bukti. Keupayaan perlaksanaan adalah terburuk di Malaysia

Tengok saja lah program imunisasi yang kelam kabut dan pencapaian nya setakat F kalau exam SPM. Belanja nya berpuluh juta.

"Bunyi guruh di langit tapi hujan tak turun".

"Ayam berkokok, hari tidak siang".


5. PUTRA tidak bercadang untuk bagi apa apa cadangan, kecuali mengesa Parlimen bersidang segera. Biar MP-MP buat cadangan, semak dan imbang. Kalau bagi cadangan pun, bukan di beri perhatian pun. WIRA PUTRA sebelum ini telah menyuarakan 10 cadangan pasca covid 19. Tinggal cadangan saja lah..


6. Semuga Perjumpaan Raja-Raja Melayu pada 16hb Jun menghasilkan kegembiraan untuk rakyat jelata. Keputusan yang akan dilihat RAJA BERDAULAT RAKYAT BERKAT.


PUTRA PERKASA NEGARA


Salam Perjuangan Rakyat


Dato Paduka Dr Ibrahin Ali 

Presiden Putra.

15hb Jun 2021

10mlm

Friday, 11 June 2021

PUTRA mohon perkenan YDPA untuk tamatkan Darurat memandangkan MAGERAN ditolak kerajaan dan pembangkang


KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PARTI PUTRA

11hb Jun 2021


KEMELUT POLITIK, COVID 19, EKONOMI, PARLIMEN & DEMOKRASI


1. Rakyat dan PUTRA berdebar tapi istiqamah menunggu apa keputusan Majlis Raja Raja Melayu yang akan bersidang pada 16hb Jun 2021 bagi menyelesaikan kemelut politik negara dan ancaman berterusan covid 19 serta ekonomi yang makin merundum dan keluh resah rakyat yang hilang punca apa akan jadi kesudahan nya. Ianya amat kritikal dan genting.


2. Berbagai pandangan telah di lontar oleh berbagai pihak, pro dan kontra antara satu sama lain. KDYMM YDPA sedang bertemu dengan semua Pemimpin-pemimpin Utama Parti Politik yang mempunyai Wakil dalam Parlimen bermula 9hb Jun dan yang sudah mengadap DYMM YDPA telah memberi kenyataan-kenyataan pada media. Semua nya menjadi teka teki apa ramuan yg akan di putuskan olih DYMM YDPA dan Majlis Raja-Raja Melayu.


3. Tun Dr Mahathir mendedahkan secara terbuka bahawa beliau mencadangkan penubuhan MAGERAN saperti MAGERAN 13 MEI 1969 kepada DYMM YDPA. Tun M juga mendedahkan bahawa titah DYMM YDPA mengenai cadangan  MAGERAN boleh di laksanakan jika Kerajaan bersetuju.

Apakah di bawah Ordinan Darurat, DYMM YDPA mesti mendapat persetujuan kerajaan tidak lah dapat di pastikan. Apakah setakat ini sahaja kuasa DYMM YDPA? Maka lebih baiklah serah sahaja kepada Kerajaan secara total tanpa ada semak dan imbang apa sahaja yang mahu di laksanakan.Tidak perlu ada mesyuarat itu dan ini. Hebat kuasa seorang PM. Tidak perlu apa-apa semak dan imbang, baik Parlimen atau Majlis Raja-Raja Melayu yang menjadi payong rakyat dan negara.


4. Pihak Kerajaan melalui kenyataan Ketua Setia Usaha Sulit PM, membuat kenyataan secara terbuka bahawa tidak perlu di wujudkan MAGERAN. Cukup apa yang sedang di lakukan sekarang ini bagi menangani ancaman Covid 19 dan usaha memulihkan ekonomi dan kesengsaraan rakyat. Maknanya PM tidak mahu berkongsi kuasa secara mutlak. Parlimen tidak bersidang tapi Ahli-ahli Parlimen terima gaji. Rakyat kata Ahli Parlimen makan gaji buta. Hebat kuasa PM di bawah Darurat ala PN. Tapi keadaan tidak juga bertambah baik.


5. PH juga menolak cadangan tubuh MAGERAN. Kenyataan rasmi telah pun di keluarkan.


6. Pada awal nya PUTRA juga mencadangkan Darurat ala 13 Mei 1969 dengan menubuhkan MAGERAN untuk mentadbir negara buat seketika sehingga dapat menstabilkan semula politik negara dengan cara kembali semula ke 'drawing board' untuk mencari penyelesaian secara total kepada segala masaalah yang di hadapi rakyat dan negara. Banyak juga tokoh-tokoh masyarakat bersetuju dengan cadangan MAGERAN dan terakhir Tun M sendiri turut membuat cadangan yang sama.Tapi beza nya Tun M juga mencadangkan beliau sendiri setuju untuk mengetuai MAGERAN jika dapat ampun perkenan DYMM YDPA. PUTRA menyerahkan kepada kebijaksanaan DYMM YDPA dan berharap sesiapa yang di lantik mestilah tokoh berintegriti, berwibawa, berpengalaman dan di terima olih semua pihak jika MAGERAN jadi pilihan dan bolih dilaksanakan.


7. Oleh kerana MAGERAN bukan pilihan olih pihak Kerajaan(PN) dan Pembangkang(PH), maka apa PILIHAN yang ada? 

JIKA PRINSIP DEMOKRASI DI DAULATKAN DAN SETAKAT KUASA YANG ADA PADA DYMM YDPA SEBAGAI RAJA BERPERLEMBAGAAN, AMAT WAJAR DAN TERBAIK, SELEPAS MESYUARAT MAJLIS RAJA-RAJA MELAYU PADA 16HB JUN 2021, MAKA

PUTRA MENCADANGKAN Ampun Perkenaan DYMM YDPA agar DARURAT DI TAMATKAN SERTA MERTA DAN PARLIMEN BOLIH BERSIDANG SEGERA

Tidak ada pilihan lain.

Urusan Menangani Covid 19 bolih di urus melalui SOP yang lebih berkesan dengan menubuhkan JK OPERASI KHAS COVID 19 dan JK PEMULIHAN EKONOMI NEGARA yang di anggotai olih pakar-pakar yang berwibawa.

Nasib baik sejarah rakyat malaysia adalah rakyat yang tinggi nilai kesabaran nya. Janganlah kesabaran rakyat hilang perhitungan nya. Bermula hujan rintik-rintik berakhir dengan ribut dan taufan.


RAKYAT MALAYSIA BERNAUNG DI BAWAH PANJI-PANJI RAJA-RAJA MELAYU UNTUK KEDAIMAIAN DAN KESEJAHTERAAN NEGARA.


DAULAT TUANKU


PUTRA PERKASA NEGARA


Salam Rakyat Msia,


Dato Paduka Dr Ibrahim Ali

Presiden PUTRA

11hb Jun 2021

Jumaat Jam 3ptg.


Sunday, 30 May 2021

PUTRA mohon YDPA perkenan terma perlantikan JK Khas Bebas Darurat didedahkan kepada umum

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PARTI PUTRA

30hb Mei 2021 AHAD

JAWATAN KUASA KHAS BEBAS DARURAT 2021

1. Parti PUTRA turut bersetuju supaya di dedahkan kepada umum mengenai apakah TERMA DAN RUJUKAN PERLANTIKAN JAWATAN KUASA KHAS BEBAS DARURAT YANG BERJUMLAH 19 ORANG

2. Rakyat perlu di beritahu secara terperinci berapa kali kah Mesyuarat telah di adakan sejak ianya di tubuhkan, iaitu sebaik sebaik sahaja Darurat di isytiharkan. Apakah keputusan yang di buat telah di persembahkan kepada DYMM YDPA sebaik sahaja selesai setiap Mesyuarat. Pengurusi JK Bebas Darurat adalah Tun Ariffin Jaka bekas Ketua Hakim Negara bersama 2 wakil dari JK wajar di beri masa mengadap sebagaimana PM mengadap DYMM YDPA setiap minggu. Mungkin mesyuarat JK Bebas Darurat sekali sebulan maka Pengurusi JK Darurat wajar Mengadap DYMM YDPA sebulan sekali bagi memberi taklimat dan keputusan-ekputusan JK Bebas Darurat. Bukan sahaja melalui bertulis tapi juga di beri ruang untuk mengadap supaya DYMM YDPA tidak menerima lapuran dari pihak ke 2 atau lain-lain pihak.

3. Rakyat tidak tahu apakah "threshold" atau beberapa kriteria yang di tetapkan untuk penamatan darurat yang katakan sudah di buat olih JK bebas Darurat ini? RAKYAT PERLU TAHU.

4. JK Khas Bebas Darurat ini wajib bermesyuarat sebulan sekali atau lebih setiap bulan dan wajib telus kerana PUTRA di fahamkan setiap anggota JK Khas Bebas Darurat yng berjumlah 19 orang dibayar ELAUN TETAP BULANAN RM5 RIBU SETIAP ORANG DAN RM7OO  SETIAP KALI MESYUARAT.

5. Mungkin Elaun Pengerusi berbeza dan perbelanjaan urusetia. JK Khas Bebas Darurat ini adalah Ahli-ahli Parlimen yang sudah menerima elaun dan gaji bulanan walahpun Parlimen tidak bersidang. Kos GAJI dan Elaun Menteri-menteri termasuk Timbalan-timbalan Menteri, yang saiz nya terbesar dalam dunia, walaupun rakyat hanya 32 juta termasuk kanak-kanak. Maka rakyat berhak tahu keberkesanan dan peranan JK Bebas Darurat ini agar segala elaun yang di bayar tidak membazir. Ia nya wang negara yang telah banyak berhutang. Kalau di lantik di kalangan tokoh-tokoh berbagai NGO, mungkin tidak perlu di bayar apa-apa kecuali elaun hadzir mesyuarat sahaja. Sudah memadai. Ramai ada dikalangan tokoh-tokoh berintegriti dan berpengalaman  dari kalangan bekas-bekas pegawai tinggi tentera, Polis, penjawat awam, tokoh-tokoh akedemik yang sepatutnya berada dalam JK Bebas Darurat ini. PUTRA ingin melihat ada atau tidak anggota JK Bebas Darurat ini sanggup menolak elaun tetap bulanan untuk menjimatkan wang negara dan hanya menerima elaun hadzir mesyuarat sudah memadai.

6. PUTRA mencadangkan Pengurusi JK Khas Bebas Darurat mengadakan SIDANG MEDIA selepas mesyuarat dan selepas Mengadap DYMM YDPA dan juga melantik Jurucakap Resmi bagi membolihkan pihak media mengetahui perkembangan semasa pemantauan dan cadangan-cadangan dari JK Khas Bebas Darurat.

Jawatan Khas BEBAS DARURAT INI BIARLAH BEBAS BERURUS SECARA LANGSUNG dengan pihak ISTANA NEGARA.Tiada BIROKRASI


PUTRA PERKASA NEGARA


Salam Perjuangan Rakyat Untuk Negara,


Dato Dr Ibrahim Ali

Presiden Parti PUTRA

30hb Mei 2021.

Ibu Pejabat Parti PUTRA

Kuala Lumpur.